PANGGILAN nama Sarjan Misai cukup sinonim buat pelakon veteran tanah air, A. Galak. Meskipun jolokan itu diberikan sempena drama lakonannya, Gerak Khas, nampaknya ia terus sebati dengan beliau sehingga ke saat ini.

Drama aksi arahan Datuk Yusof Haslam itu berjaya memberi kesan mendalam kepada  penonton. Masakan tidak, hampir lebih sedekad lamanya, A. Galak tetap diberi peranan dalam siri yang masih disiarkan melalui saluran TV2 sehingga kini pada setiap hari Jumaat.

Genre kepolisan nampaknya memang cocok dengan beliau. Lihat sahaja portfolio lakonannya. Selepas filem Gerak Khas (GK) the Movie I, II, dirinya terus ‘diajak‘ berlakon dalam GK3 the Movie dan naskhah-naskhah besar lain.

Sesekali A. Galak membawa watak antagonis. Paling diingati ialah watak Taji Samprit iaitu ketua gengster dalam filem Abang Long Fadil 2 (2017). Dalam karya itu, beliau petah berbahasa Jawa.

A Galak

Namun, sejak diserang angin ahmar, penglibatan anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu dalam industri seni semakin terhad.

Keinginan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkembangan datuk kepada 14 cucu itu mendorong penulis cuba menghubungi anaknya, Razak Zakaria.

Penulis bernasib baik kerana diberi kesempatan menemu bual A. Galak walaupun difahamkan beliau masih dalam proses untuk sembuh sepenuhnya.

Bercakap kepada SinarPlus, pelakon itu mengakui, dirinya masih belum sihat 100 peratus.

“Badan pun belum boleh ‘bergasak’ lagi dan berat badan juga turun mendadak. Sekarang tengah nak tambah berat badan. Doakan saya cepat-cepat sembuh dan kembali aktif seperti dulu.

A Galak

“Saya sebenarnya diserang angin ahmar tahun lalu dan sekarang masih berehat di rumah. Badan belum kuat lagi nak berlakon. Harap semua memahami ya.

“Memang saya teringin mahu kembali ke industri seni namun belum masanya lagi,” tuturnya dengan nada yang masih bersemangat.

Masih ‘kuat’ memandu sendirian, anak kepada Seniwati Rokiah Jaafar itu berkata, sejak kebelakangan ini, beliau sering menghabiskan masa bersama keluarga besar Skop Productions.

“Kadang-kadang kalau bosan, saya akan berjumpa dengan Datuk Yusof Haslam di pejabatnya. Jika saya okey, beliau akan bawa saya ronda-ronda ibu kota dengan keretanya.

“Duduk rumah pun adakalanya membuatkan saya terkenang-kenangkan set penggambaran, sebab itu saya datang jumpa mereka untuk lepaskan rindu,” ujarnya.

Imbauan dunia seni

SinarPlus kemudian mengajak beliau mengimbau kembali penglibatannya dalam dunia seni sejak zaman muda.

Artikal berkaitan: Dulu sibuk dengan dunia seni, kini Raja Ema fokus acar buah resipi keluarga

Iklan

Tanpa ada masalah, A. Galak bercerita. Katanya, ibu bapanya banyak memberi pendedahan kepada beliau.

Percaya atau tidak, selebriti malar segar itu memulakan karier seninya sebagai jurusolek pada usia 20 tahun.

“Dari kecil memang saya ikut mak ke set studio penggambaran di Jalan Ampas, Singapura dan membesar di sana. Memang teruja apabila dapat jumpa bintang filem popular termasuk Tan Sri P Ramlee depan mata.

“Selepas studio itu tutup, saya berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki baharu. Ketika itu, bila dapat jumpa kawan lama termasuk arwah Datuk Abdul Aziz Sattar, beliau  tawarkan saya kerja sebagai kru di belakang tabir,” imbaunya.

Hari demi hari, bakat lakonan A. Galak dikesan. Sebagai permulaan, selebriti peramah itu diberi kepercayaan memegang watak sebagai Datuk Puteh dalam filem Azura.

a galak

Iklan

Sejak itu, rezekinya semakin melimpah-ruah.

“Selepas Azura, saya ditawarkan dalam banyak drama dan filem termasuk arahan Datuk Yusof Haslam. Hubungan kami memang rapat sejak dari saat itu.

“Alhamdulillah rezeki dalam bidang seni tidak pernah putus. Barangkali darah seni yang mengalir dalam diri ini membuatkan saya mampu berlakon.

“Kadang-kadang terfikir juga, okeykah saya berlakon? Namun, ramai kata mereka suka stail saya lebih-lebih jika saya pegang watak polis atau gengster,” selorohnya yang terus berharap akan kekal dalam dunia lakonan.

PROFIL

  • Nama: Zakaria Ahmad
  • Nama komersial: A. Galak
  • Umur: 78 tahun
  • Asal: Johor Bahru, Johor
  • Filem: Setinggan, Aku Yang Berhormat, Darah Satria, Azura, Bayangan Maut
  • Pemburu Bayang, Gerak Khas the Movie, Gerak Khas the Movie II dan banyak
  • Drama: Gerak Khas, Debu-Debu Kota Raya, Tanah Kubur, Siri Bercakap dengan Jin dan banyak lagi.