Bagi kami, biarlah Aqilah hilang satu matanya dan bukannya nyawanya. Hati kami sungguh berat untuk merelakan pembedahan membuang mata kirinya, namun demi keselamatan dan nyawanya, kami akur. – Nur Ashikin Saat

NUR ASHIKIN SAAT, 29, seolah-olah hilang kata-kata ketika memperihalkan nasib sedih anaknya, Nur Aqilah Adawiyah Muhammad Shazuli kepada SinarPlus.

Ketika memberitahu anaknya Nur Aqilah atau disapa Aqilah disahkan mengalami ketumbuhan pada mata dan berisiko kehilangan nyawa, nada suaranya berubah.

“Aqilah baru menginjak usia setahun lapan bulan. Sebenarnya, saya kini ‘pinjam‘ semangat Aqilah sebab rasa diri tidak kuat bila mengenangkan mata kirinya ada ketumbuhan dan (mata) perlu dibuang segera,“ luah Nur Ashikin yang sudah mula menangis.

Beliau kemudian menarik nafas sedalam-dalamnya untuk terus bercerita.

“Terus terang, jauh di sudut hati ini, saya masih tak boleh terima hakikat apabila doktor pakar maklumkan mata kiri Aqilah perlu dibuang dengan kadar segera.

“Ini kerana tidak sampai tempoh seminggu berjumpa pakar Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada awal Ogos lalu, Aqilah diminta  menjalani segera prosedur pembedahan,“ katanya yang tergamam mendengar saranan tersebut.

Artikel berkaitan: Doakan adik Adawiyah, terpaksa buang mata kiri kerana kanser

Ketika itu ujarnya, beliau dan suami tidak mampu memberi reaksi balas apatah lagi bertanyakan apa-apa soalan.

Kata wanita itu, beliau hanya bersetuju dengan arahan pakar tanpa memikirkan apa-apa lagi.

“Bagi kami, biarlah Aqilah hilang satu matanya dan bukannya nyawanya. Hati kami sungguh berat untuk merelakan pembedahan membuang mata kirinya, namun demi keselamatan dan nyawanya, kami akur.

“Masa hantar Aqilah ke bilik pembedahan pun, kaki ini memang tak kuat nak melangkah tapi saya pinjam semangat Aqilah yang tetap ceria dan happy go lucky seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku padanya,“ tuturnya.

Aqilah kanser mata

Mengimbau kembali bagaimana keadaan Aqilah ketika dalam kandungan, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, beliau tidak mengalami sebarang komplikasi termasuk kencing manis mahupun darah tinggi.

“Saya cuma alami alahan kecil seperti muntah-muntah. Sepanjang mengandungkan Aqilah mahupun abangnya, Muhammad Aqil Anaqi, 4, saya tak berdepan sebarang masalah.

“Cuma saya ada perasan masa umur Aqilah sebulan, saya ternampak sinar pada mata hitamnya jika dipandang sekilas lalu. Namun, masa itu, saya ingatkan hanya silau lampu,“ ungkapnya.

Pun demikian, adik ipar Nur Ashikin memaklumkan bahawa mata kiri Aqilah seperti ada katarak.

“Kami terus jumpa pakar mata di HUKM. Selepas membuat ujian MRI (pengimejan resonans magnetik), barulah kami tahu rupa-rupanya selama ini Aqilah ada ketumbuhan pada mata.

“Disebabkan Aqilah seorang yang aktif, tidak pernah sakit mahupun merengek (disebabkan mata), kami tak fikir ada sesuatu yang tak kena padanya sehinggalah kami jumpa pakar,“ katanya.

Iklan

Doa

Pada tanggal 14 Ogos lalu, Aqilah selamat menjalani pembedahan membuang mata kirinya, kata suri rumah itu.Kini, si kecil berkenaan masih menjalani rawatan susulan bagi memastikan luka dalaman pulih sepenuhnya.

“Keadaan Aqilah semakin pulih dan kembali aktif seperti dulu meskipun jahitan pada mata kirinya terbuka sedikit. Mungkin sebab Aqilah gosok matanya masa tidur, itu sebab jahitan ada terbuka sedikit. Pun demikian, doktor kata, tiada jangkitan dan semua okey.

Aqilah kanser mata

“Sekarang, kami hanya menunggu sehingga luka dalaman kembali sembuh sebelum prosedur seterusnya. Sama ada perlu pakai ‘mata batu‘ atau sebaliknya, kami tunggu keputusan doktor,“ beritahunya.

Iklan

Sama seperti Nur Ashikin, suaminya Muhammad Shazuli Zaini, 31, berterima kasih kepada orang ramai yang membantu memberi sumbangan untuk menampung kos pembedahan anak mereka.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang mendoakan Aqilah. Hanya ALLAH yang dapat membalasnya.

“Setakat ini, cukuplah dengan sumbangan yang ada. Kami hargai sangat-sangat bantuan dana kewangan yang diberikan,“ ujar yang bekerja sebagai penyelia pembersihan.

Cuma pinta lelaki itu agar orang ramai mendoakan Aqilah terus sihat dan membesar seperti kanak-kanak lain meskipun bergantung kepada satu mata sahaja.

“Saya akan cuba sebaik mungkin untuk pastikan Aqilah bahagia dan akan menjaganya sebaik mungkin,“ katanya.