MENGHIDAP penyakit yang jarang berlaku iaitu sindrom Chromosome 13q Deletion, membuatkan adik Nur Mardhiah Shahadah terpaksa menanggung derita sejak usianya mencecah tiga bulan lagi.

Bagaikan penyakit satu dalam sejuta, sindrom kelainan genetik itu bukan sahaja menyebabkan tumbesaran Mardhiah lewat berbanding kanak-kanak normal lain, bahkan terpaksa berdepan masalah pergerakan dan kecacatan kekal seumur hidup.

Bukan itu sahaja, dugaan kanak-kanak perempuan yang kini berusia tiga tahun itu bagaikan tiada titik noktah apabila mata kirinya terpaksa dibuang akibat kanser mata. Selain itu, beliau juga mengalami masalah saluran pernafasan dan jangkitan kuman pada telinga.

Kepada kita yang membaca tentang keperitan yang dilalui si cilik itu sudah cukup meragut perasaan, apatah lagi ibunya, Nur Natasya Rasid.

mardhiah

“Jujur saya katakan, sebenarnya diri ini tidak cukup kuat, namun saya gigihkan diri demi Mardhiah. ALLAH duga kami dengan pelbagai penyakit yang terpaksa ditanggung anak kecil ini, tetapi alhamdullillah Mardhiah mudah dijaga.

“Mardhiah, anak bongsu daripada tiga beradik ini sangat istimewa dan menyenangkan. Bagi saya, menjaga Mardhiah satu pengalaman tidak ternilai dan saya tidak pernah menyesal melahirkannya,“ ceritanya yang menetap di Ipoh, Perak dengan suara sebak.

Akui ibu berusia 24 tahun itu, meskipun ketiga-tiga anaknya hasil perkahwinan pertama, namun suami baharunya, Muhammad Iqmal Ramli, 24, yang bekerja sebagai pekerja kontrak pembinaan sangat menyayangi Mardhiah.

mardhiah

Pernah berdepan dugaan terputus bekalan makanan, namun pasangan muda itu sanggup mengetepikan keperluan diri demi memastikan susu dan ubat-ubatan si cilik itu mencukupi.

“Bagi kami, terputus bekalan makanan itu perkara biasa, makan nasi berkuahkan air masak pun saya pernah rasa. Namun, semua rintangan itu memberikan saya banyak pengajaran dan pengalaman hidup yang bermakna,“ katanya sambil memberitahu, gaji suaminya kadang-kadang tidak menentu dan beliau turut menambah pendapatan dengan membuat jualan secara dalam talian.

Muntah darah

Mengimbau kembali kenangan sepanjang mengandungkan Mardhiah, Nur Natasya berkata, beliau berdepan masalah hemoglobin rendah.

“Ketika Mardhiah dilahirkan, dia tiada beza dengan anak yang lain, cuma ketika usianya tiga bulan, si kecil ini memang kerap masuk hospital kerana jangkitan kuman pada paru-paru. Dia juga selalu muntah darah dan selepas didiagnosis, Mardhiah disahkan menghidap kanser.

Iklan

mardhiah

“Bila doktor maklumkan perkembangan kesihatan yang tidak sejajar dengan usianya, hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan kami,“ ujarnya kepada SinarPlus.

Ditanya tentang kos rawatan yang perlu ditanggung untuk merawat Mardhiah, Nur Natasya terdiam seketika. Kemudian, beliau berkata: “Kami ada memohon bantuan dengan yayasan tertentu untuk meringankan beban. Untuk kos lampin pakai buang dan susu, saya ada mohon dengan Yayasan Myfund Action selain bantuan orang ramai untuk membiayai kos perubatan dan pengangkutan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari Ipoh untuk temu janji setiap tiga bulan.“

mardhiah

Ujar Nur Natasya, selepas kisahnya membonceng anaknya menaiki motosikal (dari Ipoh ke HKL) menjadi viral menerusi laman sosial, beliau bersyukur kerana menerima banyak sumbangan daripada orang ramai.

Iklan

“Sebagai ibu, saya dan juga ibu-ibu lain di luar sana akan sanggup melakukan apa sahaja demi kelangsungan anak, meskipun adakalanya ada risiko-risiko yang perlu kita hadapi.

mardhiah

“Bagi saya, memiliki anak istimewa bukanlah satu bebanan, tetapi ibadah yang wajib dilaksanakan dengan seikhlas hati. Bagi saya, selagi nyawa dikandung badan, saya akan pastikan keperluan Mardhiah mencukupi kerana inilah saham ketika di akhirat nanti. Mohon doakan supaya Mardhiah sentiasa aktif dan ceria kerana dia merupakan sumber semangat dan kekuatan untuk saya teruskan hidup,“ ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu menyumbangkan dana kewangan, boleh salurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1400341000028756 atas nama Nur Natasya Binti Rasid untuk membantu anaknya.