TIDAK betah duduk diam, Jaafar Onn yang pernah terkenal dalam sitkom drama Cili Padi itu suka berkongsi resipi kek dan biskut di dalam media sosial selain memberi sumbangan makanan.

Tidak tertumpu kepada anggota polis dan petugas pejabat pos, pemilik nama sebenar Jaafar Onn Awang juga suka memberi sumbangan makanan kepada pengawal keselamatan.

Berkongsi mengenai kegiatan harian sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), jurucakap dan duta produk itu percaya amalan bersedekah dapat memberikan kegembiraan kepada mereka yang memerlukan.

jaafar onn
ANTARA menu yang dimasak sendiri untuk disumbangkan kepada komuniti termasuk pengawal keselamatan yang bertugas sepanjang PKP.

“Saya pernah rasa pahit manis hidup sebelum bergelar artis dan percaya berkat bersedekah dalam hidup. Sudah menjadi prinsip hidup kenalah ikhlas dan bersedekah walaupun secawan kopi.

“Kalau sebelum PKP memang selalu lepak dengan kawan makan di kedai dan bila nampak budak-budak, saya akan belanja mereka makan,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Plus baru-baru ini.

Pengacara yang pernah menggemparkan media tempatan apabila menerima lebih 1,000 lamaran wanita itu tidak menolak pandangan wabak Covid-19 ini sedikit sebanyak menjejaskan sumber pendapatan artis.

“Namun, kita hendaklah selalu istighfar dan selawat atas nabi setiap hari. Jangan lupa solat dan doakan moga-moga wabak ini cepat hilang dan keadaan kembali normal.

Iklan

“Dalam usia mencecah 69 tahun ini, saya tidak mengharapkan apa-apa dan jika ada rezeki berlakon lagi syukur alhamdulillah. Saya percaya rezeki yang ALLAH tentukan tidak pernah salah alamat,” bicaranya penuh positif.

jaafar onn
RESIPI kek dan biskut raya yang dikongsikan dalam media sosial.

Mengulas lanjut mengenai hasrat untuk kembali ke set penggambaran, Jaafar Onn yang mesra dengan panggilan papa itu berkata, bakat dalam lakonan tidak pernah pudar.

Iklan

“Akhir sekali saya lead watak dalam drama cetusan idea sendiri iaitu Rendang Krispe yang dijalankan pengambaran awal tahun lepas dan kini disiarkan di Astro Warna.

“Minat berlakon itu ada tapi kalau ada rezeki produser panggil, saya akan kembali. Untuk meminta-minta watak untuk berlakon memang tidaklah,” kongsinya yang turun 10 kilogram sepanjang PKP.