KENAPALAH Aifa jadi begini mak?“ Persoalan acapkali yang disuarakan oleh Nur Aifa Azira Abdul Aziz membuatkan Roslina Aswira Azmi, 37, hiba.

Akui wanita itu, tiada nada-nada indah yang disebut oleh Aifa sejak disahkan menderita sakit kanser. Dari hati terdalam, sebagai ibu, beliau seboleh-boleh mahukan cinta hatinya kekal gembira dan menikmati kehidupan seperti remaja lain. Namun, apakan daya, segalanya sudah tertulis sejak di luh mahfuz.

Kepada SinarPlus, Roslina berkata, beliau sendiri terkejut sebaik mengetahui Aifa disahkan mengalami kanser tumor memandangkan sejarah keluarganya ‘bersih‘ daripada penyakit kronik itu.

Ujar beliau, semuanya bermula pada penghujung tahun 2013, apabila anaknya mengadu sakit leher. Ketika itu, Aifa berusia lapan tahun. Mereka sekeluarga menetap di Sungai Menghulu, Langkawi, Kedah.

“Pada waktu itu, jam 3 atau 4 pagi dia pasti akan terbangun kerana rasa sakit dan menangis semahu-mahunya. Saya ingatkan dia ‘salah‘ bantal, tetapi selepas pemeriksaan di sebuah hospital di utara tanah air membuatkan saya dan suami, Abdul Aziz Din terkedu,“ imbaunya dengan suara yang hambar dan menyedihkan.

Kata Roslina lagi, pakar memberitahu, terdapat ketumbuhan pada saraf tunjang leher Aifa yang turut memberi impak kepada kaki dan tangan kirinya.

aifa kanser

Ternyata, telahan awal kononnya Aifa hanya sakit urat tidak tepat. Percaturannya untuk membawa remaja itu berubat cara tradisional juga kurang mendatangkan kesan. Pun demikian, keluarga itu tidak menyesal dengan usaha yang telah dilakukan untuk merawat Aifa.

Roslina menghela nafasnya sebelum meneruskan bicaranya. Penulis mengandaikan ibu kepada lima cahaya mata itu sudah bergenang air mata. Nadanya tersekat-sekat dan ia jelas dapat didengari menerusi corong telefon.

Artikel berkaitan: Lelaki hampir maut kerana kerap tertidur, kongsi kisah ngerinya

“Aifa sering merintih sedih dan selalu bertanya pada saya, ‘kenapalah Aifa jadi begini mak? Saya dapat menyelam perasaan sedihnya apabila sikat yang dipegangnya ketika menyikat rambut basahnya terlepas daripada genggaman.

“Saya juga sangat sebak melihat tubuh badannya yang semakin lemah dan jalan pun terhuyung-hayang,“ katanya.

Terus melarat

Ujar Roslina, meskipun hatinya berat untuk melihat anaknya ditempatkan di hospital, dirinya tiada pilihan lain. Mahu tidak mahu, bagi memastikan Aifa menjadi normal kembali, beliau terpaksa merelakan anaknya dibedah.

“Saya masih ingat lagi, pembedahan pertama dilakukan ketika Aifa berusia sembilan tahun. Kami menaiki ambulans dan prosedur pembedahan mengambil masa selama 12 jam bagi membuang ketumbuhan pada lehernya,“ katanya.

Pun demikian, wanita tabah itu berkata, pakar memaklumkan terdapat 1 sentimeter tumor (pada saraf tunjang) yang tidak boleh dibuang.

“Tumor tersebut melekat (pada saraf tunjang) dan ia jika dibuang semuanya akan beri risiko bahaya buat Aifa. Dia boleh lumpuh seumur hidup,“ ujarnya.

Kata wanita itu lagi, seusai pembedahan, Aifa kembali aktif dan dapat masuk sekolah semula.

aifa kanser

Iklan

Mereka fikirkan episod kedukaan Aifa akan berakhir. Namun, sangkaan berkenaan meleset sama sekali.

“Pada usia 11 tahun, ketika pemeriksaan susulan dilakukan, doktor maklumkan tumor Aifa kembali aktif dan perlu menjalankan kemoterapi untuk mengecilkan sel-sel kanser. Alhamdulillah lepas prosedur itu, Aifa dah okey.

“Tapi yang sedihnya, bila dia bersekolah di Tingkatan Dua, kakinya mula lemah. Dua kali dia jatuh tangga di sekolah. Mahu dipendekkan cerita, rupa-rupanya sel-sel kansernya membesar semula,“ katanya.

Membuatkan Roslina dan suaminya semakin pilu apabila berkemungkinan tiada lagi prosedur yang mampu memulihkan Aifa untuk kembali seperti sediakala.

Artikel berkaitan: Ibu ini tidak putus-putus berdoa demi Daiyan terus bernafas walau sedang kritikal     

Difahamkan, remaja itu hanya mampu terlantar dan kerap diserang kejang urat sehingga jarinya mengerekot.

Iklan

Ditanya tentang kos, suami Roslina, Abdul Aziz berkata, mereka bersyukur masih menerima bantuan zakat.

“Alhamdulillah, ia (zakat) sangat membantu, tapi terus terang, kadang-kadang saya terpaksa ikat perut demi Aifa dan empat anak perempuan yang lain masing-masing berumur setahun hingga 10 tahun,“ kata mekanik itu.

Justeru, orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Aifa, boleh salurkan bantuan kewangan terus melalui akaun CIMB 761 345 9761 (Abdul Aziz Din) atau BSN 0299 5411 0031 4734 (Roslina Aswira).