Sudah kering air mata, Siti Suhana mohon bantuan rawat dua anak derita kanser limfoma

limfoma
September 19, 2021
Oleh Arziana Mohmad Azaman

SUDAH kering air mata Siti Suhana Misdi, 36, mengenangkan nasib anak sulungnya yang diduga ujian cukup getir selepas disahkan menghidap kanser limfoma pada usia cukup muda.

Cerita Siti Suhana, pada mulanya, beliau fikirkan demam panas berpanjangan yang dialami anak sulungnya, Iskandar Zulkarnain Azuan Isaidi, 13, hanyalah penyakit biasa, namun hakikat sebenarnya lebih teruk daripada itu.

Kondisi kesihatan remaja berkenaan semakin memburuk apabila mengalami masalah kulit yang menyebabkan bahagian kakinya bernanah dan berdarah.

limfoma

"Abang (nama manja Iskandar Zulkarnain) mempunyai lebihan biji kelenjar yang agak luar biasa pada lehernya. Selepas pemeriksaan, doktor buat kesimpulan bahawa Abang menghidap kanser.

"Pada Mac 2019, Abang dibedah secara mengejut untuk membuang biji kelenjar yang membesar. Selepas prosedur tersebut, Abang dibenarkan pulang ke rumah.

"Selepas itu, saya tidak meneruskan rawatan susulannya kerana ketika itu kami berdepan masalah kewangan," cerita ibu kepada lima cahaya mata itu.

limfoma

Pun demikian, selepas dua tahun berlalu atau lebih tepat pada Mei lalu, keadaan Abang semakin lemah. Pemeriksaan terkini mendapati kelenjar pada bahagian lehernya semakin membimbangkan.

"Saya memang tidak sangka sakit Abang datang kembali.

"Paling meragut perasaan saya apabila doktor maklumkan, kanser limfoma yang dihadapi oleh Abang sukar diubati dan difahamkan tak akan hilang buat selama-lamanya," katanya.

Susulan itu, pembedahan kali kedua dijalankan pada 12 Mei lalu, namun keadaan kesihatan remaja tersebut masih belum memuaskan lagi.

limfoma

Iklan

"Ini kerana masih terdapat beberapa kelenjar lagi pada bahagian lehernya. Lebih membimbangkan saya, ubat yang digunakan untuk merawat masalah kulit Abang telah membuatkan mukanya bengkak dan difahamkan boleh menjejaskan buah pinggang dan hatinya.

"Memang ubat yang dibekalkan itu membuatkan luka pada kakinya pulih tapi beri kesan lain pula. Saya tidak tahu mana silapnya, mungkin ada alahan atau masalah lain.

"Jadi, kini kami gunakan ubat sapu sahaja," katanya yang menetap di Taman Universiti, Johor Bahru, Johor.

Anak kedua juga berpenyakit

Peribahasa sudah jatuh ditimpa tangga sesuai menggambarkan situasi yang dihadapi Siti Suhana.

Masih terkejut dengan nasib menimpa Abang, anak keduanya, Nur Qistina Balqish, 12, atau Kakak turut disahkan menghidap kanser limfoma baru-baru ini.

limfoma

Iklan

Selain itu, Kakak juga menderita ketumbuhan di dalam hidung.

"Susah saya nak ceritakan bagaimana jiwa dan perasaan saya yang berkecamuk. Namun, di depan anak-anak saya tak boleh menangis kerana bimbang mereka sedih dan rasa terbeban.

Baca juga Pilunya, jalan terakhir buat adik ini. Pesakit usus kronik perlukan mesin infusion pump untuk terus hidup

"Hanya kepada ALLAH sahaja tempat saya mengadu dan bergantung harap. Abang dan Kakak memang anak yang baik, ringan tulang dan rajin membantu mengemas rumah selepas solat Subuh.  Pandai menjaga adik-adik lain. Kini, mereka lemah dan sakit,“ luahnya penuh kesedihan.

Meskipun telah menjalani pembedahan membuang biji kelenjar dan ketumbuhan dalam hidung pada 9 Julai lalu, keadaan Kakak masih belum pulih sepenuhnya dan memerlukan pemeriksaan susulan setiap minggu.

limfoma

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Tatkala ditanya kos rawatan dua anaknya, suri hati kepada Azuan Isaidi Khairudin, 34, terdiam seketika.

Akui beliau, suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori roti dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan sebenarnya tidak mampu menampung kos yang diperlukan oleh kedua-dua anak kesayangannya.

"Sebab itu, saya berjualan secara dalam talian untuk menolong suami. Alhamdulillah, baru-baru ini ada insan berhati mulia yang mengetahui kisah Abang dan Kakak, mereka turut membantu meringankan beban kami.

Baca juga ‘Suni cuba nak merangkak, tapi tak boleh sebab kepalanya semakin membesar’. Luahan pilu ibu terhadap anak kesayangannya

"Jujurnya, saya terpaksa berjimat cermat kerana masih ada rawatan yang perlu dibuat ke atas Abang dan Kakak termasuk ujian darah dan sampel bawah kulit yang memerlukan kos tinggi," katanya yang memohon pertolongan orang ramai bagi memudahkan urusan dua anaknya yang sedang bertarung nyawa.

Orang ramai yang prihatin dan sudi menderma, boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Islam Malaysia 01014027723844 (Siti Suhana Misdi).

About Arziana Mohmad Azaman