LAGU Darjat dendangan kumpulan trio A To Z memang sinonim dengan kaki karaoke pada era 1990-an. Lagu Itik Gembo-Gembo yang mempunyai melodi meriangkan juga tidak kurang hebatnya.

A To Z pada asalnya dianggotai oleh Lann, Jeff dan Fendi. Namun, Fendi digantikan dengan Chap selepas itu.

Dalam tempoh lima tahun, A To Z berjaya mengeluarkan lima album. Mereka hilang dari radar sejak tahun 2002, namun dendangan lagu mereka masih terus kedengaran menerusi corong radio.

Bagaimana keadaan mereka sekarang khususnya Lann A To Z? Dengar cerita, beliau masih aktif menyanyi di majlis perkahwinan atau keramaian.

Hati penulis terdetik untuk mengetahui lebih lanjut keadaan anak jati Selangor itu selepas muncul satu notifikasi dalam Facebook yang menunjukkan beliau kini bergelar ‘saudagar buluh‘.

lemang

Hasil perkongsian nombor telefon rakan baiknya, penulis berjaya menghubungi bapa kepada dua anak itu yang kini menetap di Sungai Buaya, Rawang, Selangor.

Sebaik sahaja perkataan saudagar buluh disebut, Lann atau nama sebenar, Norazlan Abdul Aziz, 51, tertawa kecil.

Tidak menafikannya, Lann berkata, beliau tidak menyangka buluh menjadi rezekinya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.Sebelum itu, Lann berkata, beliau menjalankan perniagaan tempahan sewa peralatan audio.

lemang LANN ATOZ

”Apabila PKP dilaksanakan akibat Civid-19, semua job dibatalkan. Masa itu, saya terfikir nak jual buluh untuk lemang buat sementara waktu sebab nak masuk bulan Ramadan,” cerita pemilik akaun Instagram @lannatoz itu.

Tempahan cecah 7,000 batangSelepas memuat naik iklan menjual buluh, Lann tidak menyangka sambutan yang diterima sungguh luar biasa.

”Saya sendiri pun tak sangka ALLAH bukakan pintu rezeki saya. Barangkali sebab PKP, ramai tak boleh nak ke mana-mana. Jadi tempahan yang saya terima mencecah 7,000 batang pada Aidilfitri lalu,” katanya.

Lann berkata, dia telah bekerjasama dengan masyarakat orang asli untuk mendapatkan bekalan buluh yang dijual dalam harga kira-kira RM1.50 hingga ­RM­2 sebatang.

Bagaimana pula dengan perancangan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha kelak?

”Untuk raya haji pun dah ada orang siap tempah dah. Syukur alhamdulillah walaupun job tak ada, tapi ALLAH bagi rezeki lain untuk kami sekeluarga tampung keperluan dan kelangsungan hidup,” katanya.

Di samping itu, suami kepada Siti Nurain Daud, 33, juga tidak segan untuk menjual kuih lidah buaya dan bayam Brazil rangup secara dalam talian.

Artikel berkaitan: “Nina ubah hidup saya”: Noh Salleh

”Bila permintaan lemang sudah kurang, saya cuba jual kuih lidah buaya dan bayam goreng pula. Kalau tak sedap memang saya tak jual sebab saya pun utamakan kepuasan pelanggan.

Iklan

”Alhamdulillah, betul kata mak, kita kena rajin. Lagipun saya jenis tak boleh duduk diam, nanti sakit satu badan. Kena aktif,” tuturnya.

Ya, barangkali, itulah rahsia Lann yang masih kelihatan awet muda meskipun sudah meniti usia 51 tahun.

lemang LANN ATOZ

”Ramai ingat saya masih 40-an, tapi sebenarnya dah 50-an. Ramai yang tak percaya. Tak susah untuk nampak muda. Petuanya mudah, kena jaga makan, aktif dan kena selalu buat aktiviti yang kita suka contohnya menunggang motosikal.

”Tak kaya tak apa, asalkan hidup serba-serbi cukup. Kena rajin berusaha sebab ALLAH sentiasa bukakan jalan untuk mereka yang sentiasa berusaha,” nasihatnya.

Langsung berbual dengannya, kesempatan itu diambil SinarPlus untuk bertanya tentang dunia seninya.

Iklan

Tidak menolak untuk menjawab, Lann berkata, A To Z mempunyai perancangan untuk kembali aktif.

 LANN ATOZ

”Kumpulan A To Z tak pernah berpecah walaupun kami tak aktif lagi menyanyi. Masing-masing masih bawa nama A To Z untuk persembahan atau program lain bahkan kami tak pernah putus hubungan.

”Lagipun sekarang ini zaman digital dan rumah masing-masing ada mini studio. Jika nak buat kemunculan semula, tiada masalah. Cuma kena ada perancangan teliti,” katanya yang masih menjual cakera padat berjudul Lann A To Z berjudul Satu Tanda Mata kepada peminat.

Lann berkata, beliau kadang-kadang akan menyanyi dalam majlis perkahwinan yang menggunakan perkhidmatan siaraya miliknya.