BERSAMA Pakar Pencegahan Jenayah, Prevent Crime Now, Shamir Rajadurai

SOALAN

Statistik menunjukkan kes keganasan rumah tangga meningkat khususnya selepas pandemik Covid-19 melanda negara cukup membimbangkan.

Ramai para wanita membayangkan keganasan rumah tangga itu disebabkan dimarah atau dipukul semata-mata, namun sebenarnya definisi keganasan rumah tangga itu lebih luas.

Kesempitan hidup disebabkan kehilangan kerja dan tertekan ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikatakan sebagai penyumbang kes penderaan semakin meningkat.

Sejauh mana kebenaran tersebut?  Apa yang harus para mangsa ini lakukan untuk menyelamatkan diri dan anak-anak? Mohon penjelasan supaya ia menjadi panduan kepada mereka di luar sana.

JAWAPAN:

Isu keganasan rumah tangga ini cukup penting untuk diberikan perhatian sewajarnya kerana melibatkan penderaan mental, seksual dan fizikal terhadap mangsa.

Saya tidak menafikan statistik menunjukkan kes keganasan rumah tangga sejak PKP semakin meningkat dan masih banyak lagi kes sama yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

kes keganasan rumah tangga

Jika sebelum ini, mungkin mangsa hanya didera oleh suami ketika pulang bekerja atau cuti hujung minggu sahaja, namun bayangkan keadaan isteri apabila suami seharian berada di rumah sepanjang tempoh PKP.

Bagaimana tahap ketakutan yang mereka alami sepanjang hari apabila ‘terperangkap’ bersama suami yang jenis pembuli dan panas baran?

Bukan sekadar dipukul, diseksa mental dan seksual, para mangsa ini juga dikatakan sudah brain wash supaya hidup mereka hanya untuk suami sahaja.

Lazimnya, pendera akan memberikan alasan masalah kesempitan hidup, tertekan kehilangan kerja dan sebagainya untuk melepaskan amarah kepada isteri atau anak-anak.

Tanpa sebab remeh sekalipun, golongan ini akan mudah untuk angkat tangan dan sering menyalahkan wanita disebabkan tindakan tersebut.

Iklan
kes keganasan rumah tangga
Satu kes yang ingin saya kongsikan kepada pembaca SinarPlus, seorang isteri yang menanggung penderitaan menjadi mangsa keganasan rumah tangga hampir 20 tahun.

Kenapa mangsa sanggup bertahan dengan semua penderitaan itu? Saya percaya mungkin disebabkan beberapa faktor, antaranya campur tangan keluarga, tiada sumber pendapatan dan bimbang masa depan anak-anak.

Ini kerana sebanyak 30 peratus mangsa terdiri daripada suri rumah dan mungkin mereka membayangkan tidak mampu meneruskan hidup tanpa suami kerana tiada punca pendapatan.

Lagi satu, keadaan mental mangsa dera juga tidak cukup kuat untuk keluar daripada genggaman pendera iaitu suami sendiri.

Oleh itu, saya boleh menyarankan kepada mangsa supaya kuatkan semangat dan mendapatkan bantuan segera dengan menghubungi Talian NUR dan membuat laporan polis.

Iklan

Mereka juga boleh mendapatkan perintah mahkamah untuk sekatan kepada suami yang dianggap dengan ancaman keselamatan. Jika pemangsa masih berdegil dan melanggar perintah mahkamah, mereka boleh dihukum penjara atau saman sebagai pengajaran.

Pun begitu, terdapat segelintir kes yang mana laporan polis ditarik balik kerana mangsa mudah lembut hati dan termakan janji-janji palsu yang kononnya suami akan berubah.

kes keganasan rumah tangga

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Percayalah, suami tidak akan berubah dengan sekelip mata dan situasi mungkin menjadi bertambah buruk lagi. Jangan biarkan wanita terus menjadi mangsa kerana keganasan rumah tangga juga memberi kesan kepada mental anak-anak.

Justeru, saya menasihatkan kepada semua supaya segera mendapatkan bantuan demi keselamatan diri dan anak-anak sebelum terlambat.