MUNGKIN ramai beranggapan ular sejenis haiwan menakutkan, namun bagi saya, reptilia itu mendidik saya menjadi seorang yang lebih tenang. Malahan, melihat reptilia membesar dengan sihat dengan saiz menakjubkan, itu satu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.”

Itu alasan yang diberikan Rozaiatun Azura Che Amat, 28, bagi menjawab persoalan dilontarkan SinarPlus dalam program Cerita Orang Kita mengenai obsesi hobi mencabarnya itu.

Bagi sesetengah orang, pandangan dan pemikiran wanita itu agak keterlaluan, namun beliau sedikit pun tidak kisah.

fanatik ular

Dengan nada ceria, Rozaiatun Azura atau mesra disapa Rozai berkata, minat membela haiwan eksotik itu sudah berputik sejak kecil lagi. Pun demikian, ia ditentang keras oleh keluarganya pada peringkat awal.

“Barangkali disebabkan minat saya yang pelik dan sukakan ular membuatkan ahli keluarga terutamanya emak membantah. Kalau diikutkan, saya seorang sahaja dalam adik beradik yang begitu fanatik dengan reptilia tersebut.

Baca juga Hampir 18 juta tontonan, ramai kagum gadis comel berani pegang puluhan ular

fanatik ular

“Saya masih ingat lagi kenangan kami sekeluarga ada melawat sebuah zoo di Langkawi, Kedah, ketika itu saya baru berusia sembilan tahun. Apabila ternampak ular depan mata, saya terus teruja dan cepat-cepat mahu memegangnya, sedangkan adik beradik lain sudah menjauhkan diri,” ceritanya sambil tertawa kecil.

Bermula saat itu, Rozai terus bertekad dan memasang azam untuk mendalami ilmu mengenai ular. Antara inisiatif terbesarnya, beliau memilih untuk menyambung pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Penternakan.

“Dengan ilmu yang ada, saya praktikkan sebaiknya ketika diterima bekerja di sebuah zoo di Serdang, Selangor sebagai seorang renjer haiwan sejak empat tahun lalu dan alhamdulillah, inilah jiwa saya. Saya dapat meluangkan masa (yang lebih) dengan reptilia eksotik termasuk ular.

“Pada masa sama, saya juga membantu mendidik masyarakat supaya lebih peka terhadap hidupan haiwan eksotik kerana ‘mereka’ juga perlu disayangi dan bukannya menjadi mangsa fesyen semata-mata,” kata graduan Universiti Malaysia Kelantan itu.

Rozai melalui pelbagai pengalaman yang barangkali ditakuti oleh sejumlah besar daripada kita.

fanatik ular

Cerita wanita berani itu, beliau pernah dipatuk ular sawa liar pada tahun 2019.

“Insiden tersebut memang meninggalkan trauma kerana masa itu saya baru sahaja dua tahun bekerja. Tidak sangka pula perlu mengendalikan ular sawa liar yang sesat masuk ke dalam kawasan zoo.

“Ular ini kalau ada ancaman, ia akan cuba untuk memagut demi melepaskan diri dan ketika itu nasib tidak baik, tangan saya yang menjadi mangsa,” katanya.

Bela ular, tikus

Meskipun pernah berdepan insiden mencemaskan, namun minat dan kecintaan suri hati Raahsan Alwi itu terhadap haiwan eksotik semakin menebal ditambah dengan sokongan suami tercinta.

fanatik ular

Iklan

“Alhamdulillah, suami pun mempunyai minat serupa dan beliau pun bekerja dalam bidang yang sama, jadi tiada masalah. Hari-hari kami akan pantau dan bersihkan bekas ular di bilik khas kerana kebersihan penting demi mengelakkan terkena jangkitan,” ujarnya.

Bukan setakat di zoo sahaja, pasangan unik itu turut membela lebih 30 jenis baka ular pelbagai saiz di rumahnya yang terletak di Puchong, Selangor. Setiap satu haiwan eksotiknya, ada lesen sah!

Baca juga Ular Sawa 250kg, 100kg ala Anaconda ditemui di Terengganu, berikut 8 fakta berkaitan

Tidak hanya tertumpu kepada pelbagai jenis baka ular, pencinta haiwan itu juga memiliki koleksi binatang peliharaan lain seperti Sailfin dragons, tikus belanda dan burung kakak tua.

fanatik ular

Apabila ditanya mengenai ‘pelaburan’ yang sanggup dibelanjakan demi mendapatkan baka ular yang istimewa, pasangan suami isteri itu mengakui, mereka mempunyai tabung simpanan khas untuk semua itu.

“Jika dicongak, kos seekor anak ular boleh dianggarkan hingga RM2,500 ke atas dan menjadi kepuasan kami apabila semua haiwan itu membesar dengan sihat depan mata. Kos makanan dan penjagaannya juga tidak mahal.

Iklan

“Antara koleksi ular paling disayangi adalah jenis Caramel burmese python kerana warnanya lebih menyerlah dan cantik. Selain itu ada juga jenis Albino burmese python dan banyak baka yang dibeli dari luar negara,” katanya.

fanatik ular

Bagi pembaca SinarPlus yang mempunyai keinginan untuk membela haiwan eksotik tersebut, Rozai turut berkongsi tip supaya tidak culas soal penjagaan terutamanya bab makanan selain mesti mempunyai lesen sah.

“Tidak sukar sebenarnya untuk membela ular ini kerana apa yang penting, mesti ada ilmu. Sentiasa menjaga kebersihan, pastikan bekas simpanan habitat selamat dan selesa,” tuturnya menutup perbualan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan