TIADA apa lagi yang diimpikan oleh Nur Nadiah Rosli, 33, selain melihat zuriat kesayangannya, Muhammad Hail Nafis Mohd Hanafi membesar dengan sihat.

Ujar Nur Nadiah, anak bongsunya yang berusia setahun itu disahkan menghidap Hirshprung, salah satu penyakit jarang jumpa di Malaysia.

Gangguan kesihatan berkenaan membuatkan Muhammad Hail atau mesra disapa Hail tidak dapat membuang air besar secara normal selepas dilahirkan.

hail pesakit cilik Hirshprung

Si kecil itu juga kerap mengalami masalah kembung perut dan muntah hijau, selain sering dijangkiti kuman.

Disebabkan itu, ujar Nur Nadiah, untuk mengeluarkan najis Hail,  beliau terpaksa menggunakan kaedah wash out.

“Saya buat wash out selama tiga kali sehari. Pada awalnya doktor ada cadangkan rawatan stoma, saya enggan kerana tak sanggup lihat perut si kecil ini ditebuk. Namun apakan daya, saya relakan juga prosedur tersebut dibuat,“ kata beliau.

Guru Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain itu memberitahu, Hail merupakan anak pramatang yang lahir pada usia kandungannya 37 minggu.

“Sebenarnya ketika hamil, saya berdepan dengan masalah kencing manis dan saya dinasihatkan untuk bersalin awal. Hail dilahirkan secara normal dan semuanya berjalan lancar.

“Saya memang lega sebab semuanya selamat dan tiada yang pelik-pelik berlaku,” katanya yang bersalin di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah.

hail pesakit cilik Hirshprung

Pun begitu, kegembiraan menimang cahaya mata kedua itu cuma seketika.

“Seperti yang dimaklumkan oleh doktor, Hail mengalami gejala sindrom kelainan pada jarak mata, paras telinga yang agak ke bawah dan lebihan lemak pada lehernya.

“Saya memang terkejut dan tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan ini. Lebih membuatkan saya terpinga-pinga apabila doktor menyebut istilah Hirshprung yang saya tak pernah dengar pun sebelum ini.

“Bagaimanapun saya sedikit lega apabila lebihan lemak (pada leher) sudah semakin hilang apabila usianya menginjak dan matanya juga menunjukkan tanda yang positif,“ ujarnya.

Ujian bertambah

Dugaan datang bertali arus. Selepas beberapa ketika, prosedur pembedahan usus Hail yang dijadualkan pihak hospital terpaksa ditangguhkan selepas anak lelakinya dikesan mengalami masalah Patent ductus arteriosus (PDA) pula.

PDA merujuk kepada masalah kelainan pada jantung yang biasanya dialami oleh bayi pramatang.

“Pada saat itu, saya semakin keliru, hanya ALLAH sahaja yang memahami gejolak dalam hati ini. Saya dan ahli keluarga tak pasti yang mana perlu didahulukan, sama ada Hail perlu jalani pembedahan jantung atau usus.

Iklan

“Jujur saya kata, hal-hal itu membuatkan saya depresi dan sampaikan satu tahap, saya salahkan diri sendiri atas apa yang berlaku. Hati ibu mana yang sanggup melihat anak kecil menanggung ujian yang tidak henti-henti,” tuturnya.

hail pesakit cilik Hirshprung

Selepas perbincangan dilakukan bersama pakar, akhirnya prosedur pembedahan jantung dijalankan terlebih dahulu di Hospital Pulau Pinang ketika usia si kecil itu memasuki dua bulan. Seterusnya, pembedahan usus (pada usia tujuh bulan) dilakukan di Hospital Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pula.

Berkongsi perkembangan Hail ketika ini, suri hati kepada Mohd Hanafi Mohd Jait, 30, memberitahu, kesihatan jantung Hail semakin baik.

Pada usia 11 bulan, buat pertama kalinya si manja itu sudah boleh membuang air besar secara normal.

Iklan

Pun demikian, beritahu Nur Nadiah, semuanya masih di peringkat awal dan perlu dipantau secara teliti. Baru-baru ini, si kecil itu ditahan wad selepas mengalami radang usus.

hail pesakit cilik Hirshprung

“Hail perlu buat wash out tiga kali sehari sebab ususnya masih belum dapat ‘bekerja’ lagi. Buang angin pun jarang-jarang dan selepas wash out, Hail akan selesa, namun selepas beberapa jam, perutnya akan kembung semula.”

Kepada SinarPlus ibu kepada dua orang anak itu berkata, Hail tidak seperti kanak-kanak normal yang lain.

“Tumbesaran Hail agak lambat sedikit disebabkan keadaannya yang masih belum pulih, manakala tangan kanannya memerlukan latihan fisioterapi untuk melembutkan lagi otot.

“Saya dengan penuh rasa rendah diri mohon masyarakat Malaysia mendoakan agar Hail segera sembuh dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain,” katanya dengan nada terharu.