SELALU hilang dek bermain di dalam kebun berhampiran dan suka lompat-lompat seperti arnab. Si kucing putih yang mesra dipanggil Baby rupa-rupanya ada kawan istimewa.

Jangan tak percaya, bukan kucing biasa jadi peneman tetapi si lembu yang ditambat di tepi kebun menjadi sahabatnya. Apa yang melucukan, gerak geri si Baby yang suka bermain dengan haiwan lebih besar daripadanya menjadi perhatian pemiliknya.

Ismahani Jamil, 25, berkongsi gambar kucing peliharaannya yang suka menemani si lembu milik jirannya itu dalam akaun Facebook ternyata mencuit hati warganet.

kucing lembu

Masakan tidak, si Baby sanggup menemani anak lembu itu seharian. Hanya pulang ke rumah untuk makan dan minum sahaja kemudian berlari bermain dengan kawannya sehingga petang.

Aduh si putih ni ada saja gelagat mencuit hati. Gaya si Baby bermain buaian sambil menikmati angin petang bagaikan orang senang hati sering menjadi usikan Ismahani.

Pandai memanjat dan menghayunkan buaian sendiri menjadikan si Baby berbeza daripada kucing belaannya yang lain.

[jwplayer MqhpLhs1]

Menurut Ismahani ketika dihubungi SinarPlus, kucing kacukan parsi dan kampung itu dibela sejak kecil lagi selepas ditemui dalam keadaan kotor di tepi rumahnya.

Iklan

“Pada mulanya saya nak bela tapi ayah kata dah banyak kucing dalam rumah…bila pujuk mak nak bela, mak pun suruh mandikan dan bagi makan.

“Bila dah bersih…cantik pula bulu dia macam kapas bergerak. Jadi ayah dan mak pun dah jatuh hati dan bela si Baby ni sampai sekarang,” ceritanya.

Iklan

Bukan sahaja peneman si lembu pada waktu siang, kucing kesayangan Ismahani itu juga jadi bantal peluk buat ayah dan emaknya pada waktu malam.

Sekali pandang, memang macam arnab si Baby ni dengan bulu putih gebu. Seronok pula tengok dia main buaian petang-petang kalah orang ni dibuatnya.