SISI penyampaian ilmunya bersahaja, jelas dan mudah difahami. Bagi penulis, perkongsiannya ketika mengulas sesuatu tajuk seperti  kemusykilan dan hukum hakam agama mudah 'melekat' dalam kepala dan hati.

Rupanya 'sesempoi' orangnya. Ustaz Don Daniyal Don Biyajid juga sangat memudahkan urusan orang lain. Tatkala penulis menyatakan hasrat ingin mengatur sesi temu janji untuk segmen Perspektif ini, persetujuan terus diberikan.

Malangnya, sesi awal yang diatur lebih sebulan lalu ketika bertemunya pada sebuah majlis terbantut dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengekang sebarang perjumpaan.

Sekali lagi, pendakwah yang lebih senang dipanggil Ustaz Don ini mudah memberikan komitmen tatkala dicadangkan agar temu bual dijalankan melalui talian telefon sahaja.

Meniti bulan penuh keberkatan umat Islam sejak dua hari lalu, tahun 'keramat' 2020 ini pastinya akan diingati oleh penceramah terkenal ini, begitu juga kita dan penduduk seluruh dunia.

Wabak Covid-19 yang bermula di Wuhan, China tahun lalu kini telah mengubah gaya hidup manusia ke fasa norma baharu.

Mengakui hakikat itu, Ustaz Don bersikap optimis. Katanya, biarpun segala aktiviti dan pergerakan terhad akibat PKP, masa yang ada di rumah boleh dimanfaatkan sebaiknya.

Baginya, arahan PKP oleh kerajaan  bermaksud umat Islam di Malaysia akan berpuasa, bertarawih dan menghidupkan Ramadan di rumah masing-masing.

“Pada saya, kita boleh melihat sesuatu perkara dari dua jenis pandangan iaitu sama ada dari perspektif mata lebah atau mata lalat,” kata Ustaz Don kepada Sinar Plus baru-baru ini.

Menerangkan maksudnya dengan lebih mendalam, pendakwah selebriti ini menyifatkan sekiranya seseorang menggunakan 'kaca mata lalat' untuk menilai peristiwa yang berlaku, pasti dia hanya akan melihat sisi yang serba kekurangan.

Antaranya, tidak boleh beribadah di masjid, tiada kenikmatan dalam beribadah di rumah, menyedihkan kerana tiada lagi tradisi bulan puasa yang sudah menjadi darah daging dan macam-macam lagi.

Sebaliknya, jika seseorang melihat dari  pandangan mata lebah, dia pasti mencari kebaikan sama seperti lebah yang cuma nampak madu dan bunga. Jadi, apabila Ramadan tiba, dia boleh menyambutnya dengan melakukan kebaikan secara maksimum biar apa pun halangannya.

“Jika sebelum ini kita merasakan serba tidak kena, ke masjid kita kata imam baca laju sehingga tidak sempat memahami makna, namun Ramadan kali ini sudah 'tiada isu' berkenaan.

“Pada masa yang sama, tiada lagi faktor gangguan persekitaran kerana segala-galanya terletak di tangan kita sendiri, sama ada kita ingin menghidupkan atau 'mematikan' Ramadan itu sendiri,” jelas pasangan kepada Dr Husna Mohd Zahry ini.

POTRET keluarga Ustaz Don.

Bagi empunya diri, Ustaz Don berkongsi, beliau sekeluarga telah merancang beberapa aktiviti seperti menyediakan jadual bersahur dan berbuka, bertarawih, solat tahajud dan sebagainya.

Buat umat Islam, bapa kepada tiga cahaya mata lelaki ini mengingatkan agar mereka mengambil peluang meraih keistimewaan bulan ini sebaik mungkin. Barangkali bukan setakat menempuhnya secara biasa-biasa sahaja.

“Kali ini Ramadan sepenuhnya 100 peratus milik kita termasuklah dalam hal menunaikan ibadah dan tanggungjawab lain.

“Bukan itu sahaja, persekitaran juga milik kita, bermula dari sahur sehinggalah malam. Semuanya perlu diatur sebaiknya oleh kita sendiri,” terang Ustaz Don.

Tidak melupakan aspek kekangan yang dihadapi anggota barisan hadapan yang bertugas, ada tip yang dikongsikan beliau.

Iklan

“Boleh lakukan ibadah seperti solat sunat tarawih meskipun hanya dua orang. Yang penting, pastikan kita berusaha menghidupkan Ramadan,” kongsi Ustaz Don.

Dakwah

Sedar akan keterbatasan pendakwah untuk menyampaikan ilmu dengan cara bertemu masyarakat sama ada dalam majlis, di surau atau masjid, figura yang mula dikenali ketika mengendalikan rancangan 30 Minit Bersama Ustaz Don di saluran TV AlHijrah ini berkata, alternatif lain untuk berdakwah adalah secara dalam talian.

“Saya lebih banyak menggunakan dua saluran media sosial utama iaitu Facebook dan Instagram,” ujarnya.

Kongsi lepasan Maahad Qiraat Al-Azhar Shoubra, Mesir berusia 36 tahun ini, beliau biasanya akan berdakwah sehari sekali pada hari-hari biasa.

Lebih menarik, pada hari Jumaat, Ustaz Don akan menggunakan medium yang sama sebanyak tiga kali iaitu pada awal pagi untuk membaca Surah Yaasin bersama rakan sekerja dan diikuti Surah Al-Kahfi. Pada waktu malam pula beliau mengadakan diskusi dengan orang ramai.

“Namun, ia bergantung kepada masa dan kekangan diri. Kadangkala saya tidak sempat live walaupun sekali sehari.

“Pada masa yang sama, terdapat beberapa medium lain yang saya gunakan seperti WhatsApp dan Telegram untuk perkongsian hadis,” katanya.

Sempena Ramadan, beliau menitipkan pesan agar umat Islam tidak ketinggalan mengikuti beberapa rancangan televisyen seperti program belajar mengaji dan perkongsian ilmu terutama berkaitan hal keagamaan sebagai 'makanan' rohani.

Iklan

PROFIL

Nama Penuh: Don Daniyal Don Biyajid

Jawatan: Pengurus Besar KUISCELL Sdn Bhd

Umur: 36 tahun

Asal: Bukit Mertajam, Pulau Pinang

Tarikh lahir: 14 November 1984

Adik-beradik: Anak kedua daripada empat beradik

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat, Maahad Qiraat Al-Azhar, Shoubra' Mesir

Hobi: Menonton anime, main game

Warna kegemaran: Putih

Idola:

  • Hidup: Para ulama
  • Berceramah: Arwah TG Dato Dr Haron Din / Sheikh Nuruddin / Habib Ali Zainal Abidin / Ustaz Dato' Badlishah Alauddin
  • Bekerja: En Md Rozalafri Johori (COO Kuiscell) & Ustaz Nushi Mahfodz (DCOO Kuiscell)

Isteri: Dr Husna Mohd Zahry (33 Tahun)

Anak: Don Mustofa Don Daniyal (6 Tahun), Don Ibrohim Don Daniyal (4 Tahun), Don Sulaiman Don Daniyal (Setahun)

Media sosial rasmi:

  • FaceBook https://www.facebook.com/UstazDonOfficialPage/
  • Telegram https://t.me/ustazdondaniyal
  • Instagram https://www.instagram.com/ddaniyaldbiyajid/    

ANEKDOT

Antara amalan boleh dilakukan sepanjang bulan Ramadan yang dikongsikan Ustaz Don adalah:

  1. Berpuasa dengan bersungguh-sungguh
  2. Bertarawih di rumah
  3. Membaca al-Quran
  4. Melakukan solat sunat Tahajjud
  5. Zikir pada waktu malam seperti berselawat
  6. Bersahur seeloknya setengah jam sebelum azan subuh
  7. Kejutkan orang bangun bersahur meskipun tidak dapat berpuasa
  8. Menyediakan hidangan berbuka
  9. Bertadarus dan katam al-Quran

Foto: Ihsan instagram @husnazahry dan @ddaniyaldbijiyad