PENULIS sebenarnya sudah mengatur temu janji untuk menemu bual usahawan produk kecantikan, Datin Reena Zach sebagai penghias muka depan SinarPlus. 

Namun demikian, semua itu terpaksa dilupakan gara-gara pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pengisytiharan darurat pada 13 Januari lalu. Tidak mengapalah, semua itu demi keselamatan bersama.

Situasi itu kemudian mendorong penulis menggerakkan pelan kontingensi. Akhirnya, penulis dan Reena menemui titik jawapan iaitu sesi wawancara dilakukan melalui corong telefon sahaja. Kata Reena, PKP bukan alasan untuk kami tidak boleh berbicara.

Saat gangang telefon dicapai dan deringan kedua telefon berbunyi, pemilik nama lengkap Nurzarina Zakaria, 37, mesra menyambut salam penulis.

Sapaan yang bersahaja dan konotasi susun atur kata serta gaya bahasanya meyakinkan penulis bahawa Reena bukan sembarangan wanita. Beliau bukan sahaja petah berbicara, malah seorang usahawan jelita yang bijak.

Intro perbualan kami ketika itu terlebih dahulu mengarah untuk mengenali sisi dirinya yang terkenal dalam kalangan ahli perniagaan wanita berjaya di Malaysia.

Beritahu Reena, sebelum bergelar usahawan, beliau adalah seorang pengamal media di sebuah stesen swasta di negara ini.

“Pada masa itu, saya budak-budak lagi. Umur pun baru 22 tahun dan telah ditugaskan sebagai wartawan penyiaran di bilik berita. Kadang-kadang saya diminta menjadi stand upper (bercakap di depan kamera). Pejam celik, pejam celik, tak sangka, sudah lebih 12 tahun saya meninggalkan dunia kewartawanan. Saya sudah tak mampu lagi menulis sebuah story yang baik lagi,” katanya.

Reena Zach
SUDAH 12 tahun Reena meninggalkan profesion sebagai pengamal media dan kini, beliau antara ahli perniagaan wanita yang berjaya di Malaysia.

Gema hilai tawa tatkala mengimbau seketika profesion pertamanya itu membuatkan penulis turut tergelak kecil.

Kemudian, kata Pengarah Urusan Lana Labs Global itu, beliau mengambil satu keputusan yang diluar jangka. Setelah berfikir semasak-masaknya, beliau akhirnya tekad meninggalkan kerjaya dalam bidang penyiaran buat selama-lamanya.

“Bukan apa, dalam otak saya ini hanya berlegar-legar tentang bisnes,” katanya.

Darah peniaga

Momentum perbualan kami semakin serasi. Reena terus bercerita tanpa perlu disogok dengan terlalu banyak soalan. Ya, ibarat bertemu buku dengan ruas. Wartawan menemubual bekas wartawan, katakan.

“Alhamdulillah, jika sudah dinamakan rezeki, segalanya dipermudahkan-NYA. Secara kebetulan juga, saya mempunyai kenalan yang juga usahawan. Dari situlah saya belajar selok-belok perniagaan dan berjaya membuka sebuah kedai kosmetik di Bangi, Selangor sekitar tahun 2010 sebelum mengeluarkan produk jenama sendiri setahun kemudian,” kata graduan Universiti Teknologi Mara Malaysia.

Pun demikian, akui anak sulung daripada empat beradik itu, kecenderungannya terhadap dunia perniagaan sebenarnya adalah percikan daripada pengaruh bapanya, Zakaria Daud yang juga berniaga produk kosmetik.

“Sejak kecil, saya melihat semangat abah berniaga. Hari-hari abah bawa balik duit niaga. Saya pula akan mengira wang niaga abah, kemudian susun elok-elok dalam dompet.

“Sejujurnya, dari bangku sekolah lagi, saya sudah berjinak-jinak untuk berniaga. Bawa katalog Avon dan Amway ke sana ke mari, jual dengan kawan-kawan dan cikgu. Seronok sangat bila tengok hasilnya walaupun hanya RM200 atau RM300 saja,” ceritanya yang berusaha memateri legasi bapa.

Kepada SinarPlus, Reena berkata, beliau menyimpan satu peristiwa menakutkan ketika mula-mula menjinakkan diri dalam perniagaan. Imbasnya, beliau hampir kehilangan anak tersayang!

Reena Zach
KELUARGA BAHAGIA. Reena bersama suami, Datuk Khairilaziry Wahid atau lebih dikenali sebagai Zack Aziry dan dua anak perempuan mereka, Putry Daniella Qistina dan Adellia Auddra.

“Ceritanya begini, saya terpaksa tinggalkan anak nombor dua yang berusia tiga bulan (ketika itu) di rumah dalam jagaan bibik. Namun, saya tak sangka langsung dia akan lari dari rumah.

“Bayangkan, anak saya ditinggalkan dalam buaian. Hampir sejam lah bayi saya menangis sampai kebiru-biruan mukanya. Anak sulung saya pula sekolah pergi sekolah. Saya bernasib baik sebab ada jiran yang prihatin hubungi saya. Kelam-kabut saya berkejar dari Bangi ke rumah saya di Puchong, Selangor. Syukur sangat, semuanya selamat, tapi saya memang kaget sangat saat itu,” katanya.

Tuah PKP

Penulis kemudian mengajukan soalan yang lazim akan ditanyakan kepada usahawan muda sepertinya. Mengapa bidang kecantikan menjadi pilihan Reena? Bukankah sudah banyak jenama-jenama hebat di luar sana? Tidak takut tersungkurkah?

Beliau lantas memberi respons yang optimis: “Oh, sebenarnya itulah bidang yang saya suka. Saya percaya, jika kita ingin lakukan sesuatu, pilihlah bidang apa yang bersesuaian dengan jiwa dan apa yang kita minat.

“Walaupun sudah banyak jenama hebat di luar sana, saya yakin produk saya juga boleh seiring dengan produk lain.”

Ternyata, butiran kata-katanya bukan sekadar cakap kosong. Masakan tidak, produk kecantikan seperti kolagen, gincu, bedak asas dan lain-lain di bawah Megah Herba (M) Sdn Bhd yang diasaskannya telah membolosi pasaran Indonesia, Brunei dan Singapura.

Baru-baru ini, Reena yang mengusahakan perniagaan bersama suami tercinta, Datuk Khairilaziry Wahid tampil dengan buah tangan terbaharu yang merupakan produk kecantikan dan kesihatan yang dinamakan Crystal C White.

Wanita elegan itu menegaskan, dalam mana-mana bidang pun, risiko sukar untuk ditepis, malah ia umpama satu resam dalam perniagaan.

“Kita sebagai wanita dan peniaga juga kena berani dalam membuat keputusan dan risiko itu bagaikan sudah sebati dengan diri saya,” katanya.

Reena Zach
REENA (tengah) bersama tulang belakangnya yang selama ini membantu dalam urusan perniagaannya.

Bagaimana dengan cabaran PKP? Seakan satu magis, hasil jualan produk syarikat meningkat tiga kali ganda berbanding biasa, ujar Reena.

“Syukur alhamdulillah. Ketika itulah, saya kumpul beberapa sepupu yang dibuang kerja untuk menjadi ejen dan stokis kami. Saya seronok tengok apabila mereka memperoleh pendapatan tinggi berbanding makan gaji sebelum ini,” katanya.

Jika sudah namanya pun tauke produk penjagaan kesihatan dan kecantikan, sudah tentulah empunya diri sentiasa menawan dan sedap mata memandang.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan penampilan ibu kepada dua cahaya mata ini persis anak dara! Mendengarkan pujian itu, dengan spontan Reena berkata: “Masya-ALLAH malunya. Terima kasih atas pujian. Alhamdulillah, syukur.”

Anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu tidak lokek berkongsi rahsia penjagaan dirinya. Ujarnya, sejak 10 tahun lalu, beliau hanya mengamalkan pemakanan organik secara konsisten.

“Saya pernah juga menjadi seorang pemakan sayur saja selama beberapa bulan. Bagi saya, kita boleh makan apa sahaja janji dalam kuantiti yang sedikit. Paling penting, elakkan gula berlebihan dalam badan.

“Setiap hari, saya juga akan pastikan tidak akan mengambil kalori berlebihan dan melakukan senaman yoga selama satu jam sehari. Selain itu, saya juga memiliki gimnasium mini di rumah, mudah untuk saya melakukan aktiviti tanpa perlu keluar,” ujarnya yang turut ke spa dan salun rambut pada setiap minggu sebelum pelaksanaan PKP.

Reena Zach
REENA bersama suaminya, Datuk Khairilaziry atau lebih dikenali sebagai Zack Aziry yang bersama-sama bertungkus-lumus membangunkan empayar perniagaan mereka berdua sehingga kini.

Satu lagi tabiatnya yang sukar diubah, kata Reena, dirinya akan membawa 3 liter air masak pada setiap hari ke mana-mana.

“Bagi saya, penting untuk kita banyakkan minum air kosong,” jelasnya.

Percaya kepada suntikan botoks atau tidak? Oh, nampaknya beliau langsung tidak ambil pusing dengan kaedah itu yang disifatkan hanya memakan diri sendiri!

“Jika saya melakukan botoks, ia ibarat saya menyuntik racun ke dalam badan. Sungguh, racun seperti inilah yang saya mahu elakkan dalam badan!” katanya penuh ketegasan.

Pengorbanan ibu

Wanita tinggi lampai itu mendedahkan, beliau telah mendirikan rumah tangga pada usia 20 tahun. Ya, agak muda, namun tidak pernah ada sekelumit perasaan menyesal.

Malah, ibu kepada Putry Daniella Qistina Khairilaziry, 16 dan Adellia Auddra Khairilaziry, 10, berasa seronok mengecapi bahagia bersama.

Iklan

Katanya, walaupun rutin harian sebagai usahawan sangat padat, anak-anak tetap menjadi keutamaan beliau dan suami.

“Walaupun ada pemandu peribadi, saya dan suami akan hantar sendiri anak-anak ke sekolah. Biarpun hanya 30 minit, tetapi ia sangat berharga bagi kami.

“Ketika PKP tiga bulan pada tahun lepas, sejujurnya, ia sangat bermakna kerana dapat luangkan masa dengan mereka. Sebelum itu, saya terlalu sibuk bekerja kadang-kadang sampai jam 4 atau 5 pagi, lebih-lebih lagi ketika perniagaan sedang meningkat naik.

“Begitupun, ketika PKP, segalanya berubah. Bayangkan dua atau tiga tahun tak pernah pegang sudip, tiba-tiba saya masak untuk keluarga dan boleh bantu anak buat kerja sekolah,” ceritanya.

Ramai yang menganggap Reena begitu bertuah kerana dikurniakan pakej yang lengkap, cantik, bijak berniaga selain diulit dengan kemewahan.

Mendengar pernyataan itu, wanita berkulit mulus itu seraya berkata, semuanya adalah anugerah ALLAH SWT dan berkat doa ibunya, Norae Mohamad.

“Seperti yang saya beritahu tadi, saya berkahwin muda. Ketika bergelut menghabiskan pengajian, ibulah yang menjaga anak sulung saya. Ketika bibik lari dari rumah dulu, ibu sanggup datang dari Kelantan untuk jaga anak saya. Walaupun sudah dapat cari pengganti bibik lain, ibu tetap di sisi saya.

“Ibu sanggup tinggal berjauhan dengan abah. Ibu juga akan memantau perjalanan bisnes saya. Walaupun sebelum ini, beliau hanya suri rumah dan tidak pernah ambil pusing dengan bisnes abah, tetapi apabila saya berniaga, ibu jaga betul-betul perniagaan saya. Bukan apa, beliau takut kalau anaknya ditipu,” ceritanya penuh emosi.

Reena Zach
IBU Reena, Norae tidak pernah jemu memberi sokongan dan kata-kata semangat kepadanya dalam setiap perkara yang dilakukan termasuklah dalam bidang perniagaan yang sedang diusahakan kini.

Tatkala ditanya tentang dua puteri yang cantik, Reena nampaknya kembali bersemangat.

Katanya, Putry Daniella Qistina dan Adellia Auddra menunjukkan minat dengan bidang yang diceburi beliau kini. Besar kemungkinan legasinya akan diwarisi oleh dua zuriatnya itu.

“Anak sulung saya secara diam-diam ada berniaga aksesori rambut secara online. Pada mulanya, saya kurang bersetuju, tetapi apakan daya, sukar untuk menolak minat mereka.

“Apa-apapun, saya sangat mementingkan akademik mereka. Saya tidak kisah apa sahaja pilihan mereka, terpulang kepada minat mereka,” ujarnya.

Ditanya apakah yang ingin beliau kecapi lagi pada masa akan datang, Reena tanpa terlalu banyak berfikir terus menyatakan azamnya: “Saya mahu membantu ibu tunggal dan mereka yang dibuang kerja untuk meraih pendapatan menjadi ejen atau stokis produk kami. Saya rasa tanggungjawab saya begitu besar untuk bantu mereka. Namun, tunggulah Covid-19 reda sikit. Doakan untuk saya ya!”

Reena Zach
KATA Reena yang juga mantan wartawan penyiaran, sebelum pelaksanaan PKP, beliau dan suami sering membawa anak-anaknya pergi melancong bagi mengabdikan masa berkualiti bersama-sama.

PROFIL

Nama penuh: Nurzarina Zakaria

Iklan

Jawatan: Pengarah Urusan Lana Labs Global

Umur: 37 Tahun

Tempat lahir: Kota Bharu, Kelantan

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara.

Adik beradik: Anak sulung daripada empat beradik

Hobi: Melancong

Tinggi: 175 sentimeter

Berat: 58 kilogram

Idola: Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary

Warna kegemaran: Hijau

Instagram: @reenazach

Foto: Ihsan Datin Reena Zach