PADA asalnya beliau hanya suri rumah biasa yang menguruskan anak dan rumahtangga ketika suami keluar bekerja di ladang sawit.

Siapa sangka dengan pencapaian dikecapinya hanya dalam tempoh singkat. Beliau membuktikan ‘tangan yang menghayunkan buaian mampu menggoncang dunia’.

Apa tidaknya video yang dihasilkan dengan kerjasama insan tersayangnya mendapat perhatian seantero pelosok muka bumi hanya dari hujung jari.

Asalnya hanya berkongsi video masakan di YouTube, siapa sangka dengan pencapaian Sugu Pavithra, 28, yang semakin dikenali sebagai YouTuber dari Sungai Siput, Perak ini.

Lebih popular sejak namanya menjadi sebutan Perdana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kisah wanita berketurunan India yang fasih berbahasa Melayu itu barangkali boleh dijadikan inspirasi buat wanita lain di luar sana.

Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Itu dibuktikan oleh teman hidup kepada M Sugu, 29, yang juga ibu dua anak itu.

Pernah Pavithra berkongsi dengan wartawan bahawa video direkodnya sendiri ketika suami bekerja dengan terpaksa meletakkan telefon di atas cawan kerana ketiadaan alat seperti tripod. Telefon pintar yang digunakannya pada awalnya pula hanya secara berhutang.

Begitupun, barangkali dek keikhlasan diri yang tergambar di wajahnya yang polos selain lembut dalam berbicara berjaya menambat hati warganet. Pengikutnya kian bertambah dari hari ke hari.

Sehingga ke hari ini lebih 600k follower beliau di laman sosial.

Video yang dihasilkannya hampir keseluruhan menggunakan bahasa kebangsaan berjaya menarik penonton biarpun perkongsian yang tidak berkenaan resipi.

Petua dalam menguruskan dan membersihkan alatan rumah serta kehidupannya yang berkebun kecil yang dikongsikan dalam YouTube turut menarik perhatian.

Apa yang menarik, tidak seperti segolongan kita yang hanya membuang masa sia-sia ’24 menghadap telefon’, beliau dan suami memanfaatkan alat digital itu sebaiknya.

Terbukti, bermula dengan video biasa masakan yang dihasilkannya selepas diajar seorang rakan, dalam tempoh singkat, hasil perkongsian Pavithra mengubah kehidupannya walaupun berada jauh di ceruk estet.

Pavithra dan suami sebaik selepas menunjukkan tutorial memasak, akan makan bersama keluarga kecilnya.

Pada 19 Mei lalu penantian beliau dan suami untuk mendapatkan imbuhan daripada laman YouTube sejak Januari akhirnya tercapai.

Sejak mendapat tuntutan bayaran gaji tertunggak itu sebaik menjadi rakan YouTube (YouTube Partner), Pavithra semakin ligat.

Wanita berasal dari Buntong, Ipoh itu berkata, gaji sulungnya sebagai YouTuber itu antaranya digunakan untuk membeli keperluan buat diri, malah ahli keluarganya yang lain.

Pencapaian baharu

Sememangnya Pavithra berjaya membuktikan kebangkitan wanita untuk  mengubah kehidupan keluarga. Imbalan hasil usahanya dengan sokongan suami, beliau baru-baru ini membawa keluarganya berpindah ke rumah baru.

Rumah baru yang akan dihuninya di Pekan Sungai Siput, menurutnya terletak tidak jauh dari rumah ibu mertuanya.

Pastinya hasil usahanya itu dikecapi selepas pencapaiannya yang melonjak ke fasa baharu sebagai YouTuber.

Iklan

Dalam satu video yang baru dimuat naik, beliau memberitahu, suaminya kini sudah berhenti kerja sebagai pekerja ladang di tempat mereka tinggal sebelumnya.

Ia bagi memberikan tumpuan terhadap ‘pekerjaannya’ sekarang sebagai YouTuber dengan bantuan suaminya itu.

Apa yang lebih menarik jika dulu Pavithra bergantung kepada pendapatan suaminya yang bekerja di ladang dengan gaji RM1,000 sebulan, namun kini semuanya berubah.

Semalam Pavithra berkongsi video beliau dan keluarganya berpindah ke rumah baharu.

“Ini dia rumah baru kami, dekat Sungai Siput je.

“Sangat luas ya rumah ni,” katanya sambil menunjukkan bagaimana beliau, suami dan dibantu keluarga terdekatnya mencuci rumah baru itu, dari lantai, dinding hinggalah ke tingkap rumah.

Iklan

Itupun ternyata menarik perhatian warganet apabila beliau menunjukkan bagaimana rumah itu ‘dimandikan’ hingga bersih termasuk di celah-celah sudut yang sukar.

Ramai warganet yang mengucapkan tahniah dan berharap Pavithra semakin berjaya dalam bidang baharu beliau bersama suaminya itu.

SinarPlus juga berharap Pavithra terus cemerlang dan menjadi ikon mendekatkan semua rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama. -AG #janganputusasamalaysia