FIZA FRIZZY antara hos pilihan kami dalam mengacara program yang semakin dikenali ramai, Borak Bibir Merah (BBM).

BBM dikendalikan oleh kru SinarPlus dan bersiaran dua kali sebulan sejak tahun lalu.

Berikan apa sahaja tajuk tidak kira berkisar tentang pergolakan rumah tangga, inspirasi mahupun tentang undang-undang, Fiza nampaknya tidak mempunyai masalah langsung. Profesionalismenya tidak dapat disangkal dan pengetahuan yang dimilikinya dalam segenap topik sangat dikagumi.

fiza frizzy

Gaya spontan Fiza mengacara memang menghidupkan program BBM. Beliau juga sentiasa memberi kerjasama yang baik tatkala penggambaran berlangsung. Bukan sahaja kepetahan, malah keramahannya sudah cukup membuatkan kami menyenanginya.

Bagi penulis, Fiza mempunyai identiti tersendiri. Dengan signatur rambut kerinting dan perwatakannya yang ceria menjadi faktor signifikan dirinya berbeza berbanding pengacara lain di Malaysia.

Kesempatan menemubual pemilik nama sebenar Nur Hafizah Md Saad baru-baru ini telah membuka ruang kepada penulis untuk menebak sisi peribadinya dengan lebih mendalam.

fiza frizzy

Kepada SinarPlus, wanita berkulit sawo matang itu mengakui, kerjayanya sebagai seorang pengacara televisyen mahupun dalam talian sebenarnya tidak pernah tertulis di dalam diari hidupnya sejak kecil.

“Mungkin ramai tidak percaya, sebenarnya impian saya adalah untuk menjadi doktor gigi.

“Disebabkan keputusan peperiksaan kurang memberangsangkan, saya terpaksa simpan cita-cita tersebut dan menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Biosains dan Pengurusan di Universiti Malaysia Sarawak,” katanya.

Barangkali sudah tertulis, jurusan itu bukan jiwanya. Kata Fiza tanpa penyesalan, beliau hanya sempat bertugas selama enam bulan sahaja di Lembaga Minyak Sawit Malaysia sebelum mengalihkan profesionnya ke dunia korporat.

fiza frizzy

“Jika mahu ceritakan sejarah kerjaya saya agak lucu sebenarnya, daripada seorang penyelidik, saya kemudian pernah menjadi konsultan merekrut pekerja yang sememangnya memerlukan saya untuk berjumpa dan berkomunikasi dengan ramai orang.

“Daripada situ, saya mula belajar cara untuk menghilangkan rasa segan berdepan dengan orang ramai, pupuk keyakinan dan mula menjadi diri sendiri,“ katanya yang selepas itu mencuba nasib sebagai pengacara dalam satu program realiti, Projek Metro pada tahun 2013.

Jasa Fara Fauzana

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu meneruskan naratif ceritanya. Beritahu beliau, bakat yang terpendam dalam diri yang tidak pernah disangkanya itu sebenarnya digilap oleh Fara Fauzana.

Siapa tidak kenal Fara yang merupakan salah satu personaliti televisyen dan radio tersohor negara tidak lama dulu.

fiza frizzy

“Jujur saya katakan, apabila saya diserap masuk oleh Fara Fauzana (dalam Projek Metro), semua itu bagaikan mimpi. Bayangkan idola pujaan kita bantu membina karier sebagai pengacara, memang ia menjadi momen tidak dapat dilupakan sampai bila-bila,“ kata bekas penyampai radio iM4U.FM yang begitu teruja membongkar sejarah lama.

Fiza nampaknya sangat menghargai jasa Fara. Bayangkan ketika diwawancara, beliau kerap mengulangi pernyataan bahawa personaliti yang sedang mengendalikan platform digital, DBilique itu telah membawanya sehingga ke tahap sekarang.

“Beliaulah yang banyak bantu saya untuk menyesuaikan diri dalam industri dan berkongsi banyak tip. Beliau juga menjadi sifu dan jasanya cukup besar,“ ujar wanita ini yang juga pernah berkhidmat dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai eksekutif.

fiza frizzy

Bersama Siti Nurhaliza, beliau banyak bertindak sebagai menjadi pengacara dalam majlis anjuran selebriti ternama itu.

Kalau diperhatikan secara kasar, wajah anak kelahiran Kuala Lumpur itu sebenarnya terpampang di hampir kesemua stesen televisyen di negara ini.

“Betul!“ sahut Fiza spontan. Disebabkan tidak terikat dengan mana-mana stesen televisyen kerajaan mahupun swasta, telah membuatkan dirinya lebih selesa untuk menyusun jadual dengan lebih baik.

Bagi wanita genit itu, demi mencipta pengalaman lebih luas, membuatkan beliau begitu komited ketika melunaskan kerja yang diamanahkan.

fiza frizzy

“Jika terikat dengan sesebuah stesen, mungkin tugas saya hanya untuk program tertentu sahaja dan tidak meluas. Berkerja di setiap stesen televisyen mahupun di bawah label suratkhabar dan majalah, memang berbeza antara satu sama lain.

“Di situlah saya menimba pengalaman yang lebih berkualiti. Saya pun jenis yang suka untuk ‘terbang bebas’ menuntut ilmu dalam bidang ini,“ katanya yang turut bercita-cita menubuhkan sebuah syarikat bagi melatih individu yang mahu membina kerjaya sebagai pengacara.

Apresiasi

Sambil menghela nafasnya, Fiza berkata, dirinya sudah tidak muda lagi. Kalau dihitung, tahun ini usia beliau sudah menginjak 33 tahun.

Iklan

“Terasa masa berlalu dengan cepat dan seperti tak sangka, saya telah mengharungi banyak perkara dalam kerjaya saya. Saya bersyukur dengan segala kurniaan-NYA,“ katanya seperti ingin menyampaikan sesuatu kepada penulis.

fiza frizzy

Ya, benar seperti ditelah. Fiza berkata, selepas mendirikan rumah tangga bersama insan tersayang, Fazli Zulkifli, 39, membuatkan beliau semakin selektif dalam menerima pelawaan mengendalikan sebarang program.

“Jika sebelum ini, saya memang jenis aktif dan kerja kuat siang dan malam. Semua job saya ‘sapu‘, malahan pada hari minggu pun saya akan bekerja kerana minat yang mendalam dalam bidang ini. Selepas berkahwin, saya mengingatkan diri saya bahawa saya perlu berubah.

fiza frizzy

“Saya kini adalah seorang isteri dan ibu, tanggungjawab menjadi lebih besar. Alhamdulillah, saya dikurniakan suami yang penyayang, penyabar dan pemalu orangnya. Beliau juga banyak mendidik saya untuk menjadi lebih baik,“ kongsinya.

Ujar Fiza, beliau sangat berterima kasih kepada Fazli yang juga merupakan pemain bola sepak Kuantan FA kerana telah banyak berkorban untuknya dalam segenap perkara termasuk dalam arena pengacaraan, selain ibu bapanya.

fiza frizzy

“Saya tiada pembantu rumah dan apabila ada job, suamilah yang banyak membantu menjaga anak kami, Mohd Faeeq Zuhayr, 4, dan bayi yang baru lahir. Masanya lebih fleksibel kerana mengurus bisnes sendiri, di samping bermain bola.

Iklan

“Lagipun kami sebaik-baiknya mengambil peluang untuk menjaga anak sendiri tanpa bantuan orang luar kerana bimbang dengan isu keselamatan anak-anak yang selalu dikaitkan dengan pembantu rumah. Lagipun kos menggaji amah bukannya murah,“ ujar beliau.

Masih lagi dalam mood raya, SinarPlus mengambil kesempatan bertanyakan bagaimana sambutan lebaran Fiza kali ini dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan masih dilaksanakan?

fiza frizzy

Ujar pengacara CJ Wow Shop itu, Syawal kali ini sungguh bermakna kepada dirinya.

Masakan tidak, beliau baru sahaja melahirkan cahaya mata kedua seberat 3.25 kilogram pada hari raya keempat lalu.

“Syukur alhamdulillah, segalanya dipermudahkan. Kehadiran zuriat ini cukup bermakna kepada keluarga saya, ia cukup membahagiakan walau saya terpaksa beraya dalam pantang,“ katanya tertawa manja.

fiza frizzy

Kata Fiza lagi, seperti tahun lalu, pada Aidilfitri kali ini beliau tidak ke mana-mana disebabkan larangan merentas daerah yang telah dikuat kuasakan di seluruh negara.

“Ibu dan ayah saya ada di Johor Bahru, Johor. Hanya panggilan video sahaja pengubat rindu di hati ini. Siapa yang tidak rindukan emak dan ayah, lebih-lebih lagi ketika ini ini saya sedang berpantang.

“Mungkin tidak dapat berjumpa depan mata, sekurang-kurangnya dapatlah kami berbual dan berkongsi cerita di corong telefon. Alhamdulillah emak dan ayah sihat dan itu yang paling penting,“ katanya.