TERLANTAR sakit dan kerap diserang kekejangan urat. Itulah keadaan Nur Aifa Azira Abdul Aziz, 14, yang menanggung kanser otak sejak 2013.

Mulanya hanya mengadu sakit leher pada usia lapan tahun dan tiada siapa menyangka, keadaan anak sulung daripada lima beradik bertambah buruk.

Badan mulai lemah dan tidak boleh bangun berjalan sendiri. Panik dengan keadaan itu, bapanya Abdul Azizi Din, 42, membuat pemeriksaan susulan di hospital di Pulau Pinang.

Kata Abdul Azizi, kepalanya bagaikan dihempap batu apabila doktor mengesahkan Aifa ada ketumbuhan di saraf tunjang pada bahagian leher sehingga menyebabkan keadaannya menjadi begitu.

“Pembedahan pertama dijalankan pada 22 Januari 2014 lalu untuk buang ketumbuhan pada bahagian leher dan sampel yang diambil disahkan bukan tumor biasa-biasa.

“Rawatan susulan dibuat sampai sekarang apabila kanser kembali aktif dan sudah menjalani rawatan radioterapi dan kemoterapi,” ceritanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru.

Iklan

kanser otak

Kisah Aifa tular sejak perkongsian pemilik akaun Facebook, Syima Rayyqyss yang memohon bantuan orang ramai bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga itu.

Iklan

2 hari lepas saya ada memuat naik kisah liku ranjau kehidupan seorang anak gadis sunti bernama Aifa yang sedang terlantar di katil meniti hari-hari berlalu.

Saya juga ada menunjukkan bagaimana kehidupan keluarganya yang serba daif. Siling rumah yang mereput dan terkopak sana sini hampir saja runtuh perlu diganti segera.

Pada mulanya saya mati akal memikirkan cara untuk memberikan keselesaan serta keselamatan Aifa. Bukan keselamatan Aifa saja, malah keselamatan mereka sekeluarga.

Alhamdulillah beberapa pihak ada menghubungi saya menyampaikan niat ingin membantu. Tetapi bantuan yang diperlukan mereka bukan sekadar membaik pulih siling rumah sahaja. Keluarga ini perlu dibantu sewajarnya.

Tempoh PKP, memberi tamparan hebat buat si ayah yang cuma seorang mekanik. Seorang mekanik yang pendapatannya bergantung pada jumlah kereta yang dibaiki, terpaksa akur dengan keadaan semasa yang melanda negara.

Berjimat-cermat itu perkara biasa bagi mereka. Makan apa yang ada. Taraf hidup yang serba kekurangan, mengajar mereka sentiasa bersyukur dan tidak meminta-minta. Bayangkan 15 tahun mereka disitu, ada tetangga yang masih tidak tahu tentang Aifa dan kesusahan mereka.

Sahabat..
Sudah beberapa tahun mereka diuji. Dan hari ini, Allah hantar mereka sebagai ujian kepada kita. Saya menyeru kepada semua sahabat dermawan, sumbangan ini akan kita gunakan untuk memberi sedikit keselesaan kepada mereka. Cuma sedikit.…”

Orang ramai yang ingin membantu, boleh salurkan bantuan kewangan terus kepada CIMB 7613459761 Abdul Azizi Bin Din (ayah) dan BSN 0299541100314734 Roslina Aswira (ibu) dengan rujukan Tabung Ehsan Ringankan Beban Pejuang Kanser Kanak-kanak.