Dr Amalina kongsi 5 tip elak lengah tugasan, istimewa buat pelajar Malaysia

June 1, 2020
Farah Eliani

SEPERTI yang diketahui, rata-rata pelajar universiti telahpun memulakan kelas secara dalam talian (online) dalam usaha mengekang pendamik Covid-19.

Sememangnya tidak dapat dinafikan, agak sukar untuk memberi sepenuh perhatian dalam kelas online.

Masakan tidak, sedangkan kelas dalam dewan kuliah pun ramai yang tidak fokus, inikan pula kelas secara dalam talian kerana yang pasti banyak rintangan yang perlu dihadapi oleh para mahasiswa seperti akses kepada internet terutamanya mereka yang berada di luar bandar.

Semalam, seorang pelajar genius negara yang kini juga sebagai pelatih pakar surgical di United Kingdom, Dr Amalina Che Bakri yang memperolehi 17A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2004 telah berkongsi 5 tip untuk kekal bermotivasi ketika pembelajaran online dan tidak melengah-lengahkan tugasan menerusi Twitternya.

Berikut merupakan perkongsian Dr Amalina:
1. Matikan alat atau media sosial. Tetapkan had masa pada telefon dan tablet anda.
2. Tetapkan matlamat harian dan matlamat jangka masa panjang. Rancang jadual waktu dan tetapkan tarikh akhir.
3. Berikan ganjaran kepada diri sendiri dan berehat setelah anda mencapai matlamat.
4. Bekerja dengan sekumpulan rakan dalam talian untuk memotivasi anda dan mempunyai rakan belajar atau secara berkumpulan.
5. Beritahu rakan anda tujuan anda supaya mereka dapat mengingatkan anda untuk berhenti menunda-nunda tugasan.

“Saya turut mendoakan kejayaan semua pelajar, kegigihan dan tekad adalah kunci kejayaan, teruskan berjuang,” tulisnya.

Beliau juga berkongsi satu foto yang diambil semasa tamat pengajian Sarjananya pada tahun 2015 di University of Cambridge.

Terdahulu, pada 27 Mei lalu, Kementerian Pengajian Tinggi telah mengarahkan semua pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk belajar secara online sehingga 31 Disember tahun ini.

Foto : @DrAmalinaBakri