PADA malam Aidiladha lalu, saya berbicara panjang lebar menerusi aplikasi Zoom dengan Dr Masliza Mahmod, 48, anak Malaysia kedua yang dilantik sebagai Profesor Madya di Jabatan Perubatan Radcliffe, Universiti Oxford, United Kingdom (UK).

Sebelum itu, pada tahun 2016, Dr Phaik Yeong Cheah diiktiraf menjadi Profesor Madya di Jabatan Bioetika dan Perhubungan di universiti sama.

Kredibiliti intelektual Dr Masliza memang tidak diragukan. Bait-bait yang dibutirkan oleh seorang genius seolah-olah menata hati saya untuk kembali menuntut ilmu di menara gading. Bagi saya, kata pengantar dan isi perbualan lebih kurang dua jam lamanya dengan beliau, sangat bermakna, bermanfaat dan tersendiri.

Antara predikat saintis itu yang terkesan hingga ke dasar atma saya antara lain berbunyi: “Jika kita ada kemahuan, pihak universiti (Universiti Oxford) akan tolong sampai berjaya. Di Oxford, awak tak perlu jadi terlalu pintar, namun jika awak ada potensi, semangat, kemahuan dan bakat, Oxford akan pupuk.

“Persekitaran di sini sangat menyokong, kondusif dan memberangsangkan. Mereka mahukan orang (pelajar) yang datang  rasa selesa dan gembira.

“Bila kita gembira, kita akan belajar dan lakukan yang terbaik. Percayalah, bila di sini, semangat nak belajar akan datang tiba-tiba. Tiada orang malas di Oxford, orang malas tidak akan kekal lama di sini. Di Oxford, semua sama sahaja. Kita tak akan rasa kita dungu dan kena yakin dengan kebolehan kita”.

DR MASLIZA (kanan) bersama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Mohamad Sadik Kethergany (tengah); Pakar Onkologi Klinikal, Dr Yolanda Augustine (dua dari kanan) dan Pakar Nefrologi, Dr Rafidah Abdullah (dua dari kiri) berbincang mengenai strategi kerjasama antara doktor-doktor di Malaysia dan UK.

Daripada nada dan tutur kata yang disampaikan itu, saya melihat ada kesungguhan dan ketulusan dalam dirinya untuk mengajak lebih ramai anak Malaysia agar tidak muak mengejar ilmu.

Gelombang kesulitan

Tidak keterlaluan untuk dirumuskan, Dr Masliza kini menjadi pusat tumpuan dunia. Keandalannya dalam bidang kardiovaskular sudah diiktiraf, namun ia bukan tiket untuk dirinya melangit.

Dengan penuh rasa rendah diri, pakar kardiologi yang prolifik itu berkata, banyak lagi penyelidikan yang sedang dan bakal dilaksanakannya untuk manfaat manusia sejagat.

Namun sebelum pergi jauh, saya bertanya tentang susur galur dirinya sebelum berada pada kedudukan sekarang.

Ibu kepada tiga anak itu cuba menjelaskan sehalus mungkin. Ujar beliau, kecintaannya terhadap dunia perubatan  timbul sejak kecil.

“Minat itu tak dipengaruhi sesiapa. Saya suka tolong orang. Saya suka berinteraksi dengan masyarakat. Saya suka tengok orang gembira kerana ia memberi satu kepuasan,“ kata Ahli Royal College of Physicians itu yang kemudian memutuskan mahu bergelar doktor falsafah dalam bidang perubatan kardiovaskular demi membaktikan usianya untuk kebaikan.

Ternyata, keikhlasan telah membawa figura sofistikated itu ke tahap sekarang. Pun demikian, katanya, landasan yang dilalui banyak keloknya. Ujian yang ditempuh berbeza dengan orang lain. Gelombang kesulitan juga lebih ‘ganas‘.

“Sebenarnya, untuk mendapat posisi clinical academic iaitu seorang doktor perubatan mendapat kedudukan tinggi dalam akademik, adalah sangat kompetitif di UK, lebih-lebih lagi untuk orang yang bukan berasal dari UK atau Eropah. Banyak prosedur yang perlu dilalui, prosesnya sangat panjang dan rumit.

“Sebelum saya bersetuju menggalas jawatan itu, saya mahu pastikan saya kuat, mempunyai kelayakan yang setara, yakin dan tabah,“ katanya yang telah hampir 20 tahun melalui peringkat pengajian dan latihan, tidak termasuk kerja-kerja klinikal.

Beritahu Dr Masliza, rintangan paling genting adalah untuk mendapatkan pengiktirafan kepakaran kardiologi di UK.

“Saya bukan warga Eropah atau UK, jadi saya wajib dapat (pengiktirafan) di sini sebagai pakar. Kebanyakan latihan kepakaran saya di Malaysia tidak dikira. Justeru, saya diwajibkan tambah latihan kardiologi selepas tamat PhD.

“Memang tak senang nak dapatkan kepakaran di UK jika bukan penduduk tetap dan ini adalah salah satu syarat kelayakan memohon jawatan profesor madya bagi seorang pakar perubatan.

Sambungnya lagi, untuk mendapatkan jawatan itu (profesor madya) di Jabatan Perubatan Radcliffe, beliau perlu buktikan prestasi akademiknya dalam bentuk geran yang diperoleh dan penerbitan jurnal, selain menyelia para pelajar PhD dan memeriksa pelajar-pelajar lain.

“Saya juga salah seorang panel yang memilih permohonan kemasukan PhD ke Universiti Oxford dalam bidang sains perubatan,“ katanya.

Dr Masliza berterus terang, pengajian PhD yang dilaluinya juga lebih sibuk dan intensif berbanding PhD bidang lain.

“Ini kerana saya juga perlu merawat pesakit di Hospital John Radcliffe sepanjang tempoh belajar,“ terangnya.

‘Lamaran‘ awal

Kepada SinarPlus, Dr Masliza memberitahu, sebenarnya beliau telah ditawarkan jawatannya kini oleh Ketua Bahagian Perubatan Kardiovaskular Universiti Oxford, Profesor Stefan Neubauer ketika beliau masih dalam tahun kedua pengajian pada 2012.

“Neubauer meneliti hasil prestasi PhD saya terlebih dulu. Sebenarnya, saya tiada cadangan mahu meneruskan kerjaya di Oxford, saya nak balik Malaysia. Namun, Oxford minta saya terus di sini untuk mengetuai kumpulan penyelidikan klinikal.

“Kumpulan berkenaan belum wujud lagi. Jadi saya diminta membentuk dan menerajui kumpulan tersebut. Kiranya, saya perintis kepada bidang yang belum lagi ada di Universiti Oxford,“ katanya.

FOTO kenangan Dr Masliza (kanan) bersama Al-Sultan Abdullah ketika Seri Paduka berkenan berkunjung ke London, UK tahun lalu.

Bidang yang dimaksudkan Dr Masliza ialah penyelidikan klinikal menggunakan pengimejan resonans magnetik (CMR) sebagai asas untuk mengkaji kesan rawatan baharu penyakit jantung.

Iklan

‘Lamaran‘ itu ujarnya, tidak dijangka dan adalah satu kejutan. Bagaimanapun, beliau tidak tergesa-gesa berkata ‘ya‘.

“Bagi saya, ia satu keputusan yang besar. Saya tak boleh terus sahaja menerimanya. Ia juga satu percaturan dan satu risiko memandangkan hal itu sesuatu yang tak pernah saya buat.

“Namun, profesor berkenaan yakin dengan potensi saya. Beliau telah membuat cadangan kepada pihak jabatan supaya melantik saya memegang jawatan tersebut.

“Oleh sebab saya terasa ia beban yang terlalu berat dan tertekan, saya kata saya fikir dulu,“ katanya yang mengambil masa dua bulan sebelum bersetuju.

Pada masa sama, beliau turut berbincang dengan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia ketika itu, Profesor Raymond Azman Ali yang juga memberi sokongan terhadap keputusannya.

Pemilihan Neubauer ternyata tepat. Masakan tidak, selepas dua tahun menjawat jawatan tersebut, Dr Masliza berjaya menaikkan nama Universiti Oxford sebagai salah sebuah pusat penyelidikan terbaik dalam kajian penyakit kardiomiopati yang menjadi punca kematian mengejut dalam kalangan atlet dan orang-orang muda.

Penyelidikan tersebut merupakan kerjasama dengan 44 pusat penyelidikan dunia yang merangkumi UK, Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah. Dengan kejayaan awal itu, pakar kardiologi tersohor itu telah memperoleh Skim dan Ganjaran Pengiktirafan daripada Jabatan Perubatan Radcliffe pada 2015.

Petanda baikSelepas berita kenaikan pangkat Dr Masliza diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui media sosial, hebahan itu menjadi tular dalam sekelip mata.

Jujurnya, kata wanita itu, keluarganya di Batu Pahat, Johor mengetahui perkhabaran gembira tersebut daripada media, bukan daripada mulutnya sendiri.

Iklan

“Saya tak sempat beritahu mereka. Dalam hal ini, kredit juga boleh diberi kepada Dr Noor Hisham. Beliau antara individu yang menggalakkan saya menolong Malaysia dan beri sokongan.

“Saya maklumkan kepadanya berita baik saya itu, beliau berbangga dan katanya, ia perlu diketahui umum,“ ujarnya.

Apabila menerima ucapan daripada orang kenamaan terutama daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, apa reaksinya, tanya saya.

“Terharu dibuatnya, tak sangka diri dihargai sebegitu sekali kerana beberapa tahun sebelum ini saya bekerja keras, fokus dan melakukan banyak benda tanpa diketahui sesiapa.

“Apabila Malaysia menghargainya, ia sesuatu yang positif, satu petanda yang baik. Langkah saya lebih mudah untuk berkongsi pengetahuan terutama kepada generasi muda,“ ujar wanita geliga penuh iltizam itu.

Ternyata, pencapaian beliau bukan sembarangan. Dianugerahkan sebagai Profesor Madya di Jabatan Perubatan Radcliffe daripada sebuah universiti kedua tertua di dunia yang terkemuka dan berprestij merupakan sesuatu yang luar biasa.

Selain melahirkan lebih 120 pemenang Olimpik dan 26 Hadiah Nobel, kampus bersejarah itu turut mendidik lebih 30 pemimpin dunia moden seperti Bill Clinton, Indira Ghandi dan 26 orang Perdana Menteri Britain.

Terkini, berdasarkan Times Higher Education World University Rankings 2020, Universiti Oxford terus mengungguli tempat pertama carta.