KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan Dr Masliza Mahmod sebagai penyelidik berkelas dunia yang cemerlang dan terbilang.

Dalam satu wawancara eksklusif bersama SinarPlus, Dr Noor Hisham berkata, peranan anak jati Johor itu penting di peringkat antarabangsa yang secara tidak langsung memberi manfaat kepada Malaysia.

“Dengan posisi tinggi di universiti berprestij dunia, beliau mempunyai pengaruh yang kuat untuk mencurahkan bakti kepada negara dengan memberi peluang dan kerjasama rapat menghubungkan bakal doktor penyelidikan dan pakar perubatan dalam negara dengan institusi pendidikan berkenaan,“ kata Tokoh Maal Hijrah 2020 itu.

TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ujar Dr Noor Hisham lagi, pengorbanan figura itu juga sangat dihargai apabila sanggup menolak tawaran di hospital swasta demi cita-cita dan azam beliau yang jitu untuk memperbaiki taraf hidup pesakit jantung melalui penyelidikan.

Kejayaan Dr Masliza juga ungkapnya, sudah pasti akan menghasilkan lebih ramai lagi doktor sepertinya yang bukan sahaja berperanan sebagai pengamal perubatan waima sebagai penyelidik akademik terkemuka dalam mencari rawatan yang lebih baik untuk pesakit-pesakit jantung seantero dunia.

Berdasarkan rekod, di Malaysia, terdapat ramai pakar dalam bidang kardiologi, namun hanya segelintir yang terlibat dalam bidang perubatan akademik kardiovaskular.

Kebanyakan pakar jantung di Malaysia adalah pakar klinikal yang sebahagian besarnya berada di hospital swasta, ujar Dr Noor Hisham.

Kepada satu soalan, beliau berkata: “Sudah tentu kejayaan Dr Masliza akan memberi inspirasi kepada kaum wanita untuk mengambil bidang yang sama (kardiologi) ataupun bidang-bidang yang lain juga.“

Sebenarnya, Dr Noor Hisham merupakan alumni Universiti Kebangsaan Malaysia sama seperti Dr Masliza. Sesungguhnya, ketekunan dan kesungguhan kedua-dua individu berkenaan dalam arena masing-masing sangat dihargai oleh kita semua.

Melawan sindiran, erti merdeka

Perbualan saya dengan Dr Masliza memang panjang lebar. Terus terang, saya memang larut bersembang dengan seorang yang berilmu seperti Dr Masliza. Daripada soalan bernada serius, saya bertanya tentang sisi lainnya.

Kata wanita yang peramah itu, di Universiti Oxford, beliau ialah saintis, pensyarah, penyelidik dan doktor.

Pun demikian, apabila di rumah, beliau masih seorang ibu yang menjaga tiga anak tersayang.

Iklan

“Di sini, saya masih masak sendiri, mengemas. Makan luar bukan tradisi, semua makan di rumah. Kos hidup sangat tinggi, saya tiada pembantu rumah dan hidup di sini tidak mewah.

“Gaji saya juga tidak besar. Pendek kata, kita kena pandai urus wang untuk terus survival,“ akuinya yang menetap di Oxfordshire sejak 2010.

Melihat vektor kehidupan dan cabaran Dr Masliza, meyakinkan saya bahawa beliau bukan wanita biasa-biasa. Menjadi dirinya, perlu ada sinergi dalam pelbagai aspek termasuk kecekalan, kesabaran, keteguhan dan kekuatan iman.Sebagai pengamal media yang rasional, saya langsung bertanyakan kepadanya, apa sumbangan yang boleh beliau beri kepada tanah air? Bukan mahu skeptikal, namun saya mewakilkan diri untuk menyuarakan pandangan sinis masyarakat terhadap penyataan ‘bakat tempatan, negara luar yang dapat‘.

Dr Masliza tidak pesimis, konotasinya tenang tatkala memberi reaksi balas. Katanya: “Saya terus kekal di sini demi Malaysia. Saya mempunyai pengaruh untuk membantu Malaysia, misalnya, beri tempat dan cadangan untuk sesiapa yang layak ke Oxford. Saya juga berpengaruh untuk membuka sebarang kolaboratif dalam penyelidikan.“

Tidak terhenti setakat di situ, Dr Masliza berkata, di Universiti Oxford, beliau bertindak sebagai duta memperkenalkan Malaysia yang sebelum ini jarang diketahui.

Iklan

“Di sini, saya ingin buat sesuatu yang membanggakan termasuk mewujudkan persepsi positif tentang rakyat negara kita dan melaksanakan kajian-kajian yang akhirnya memberi impak kepada dunia terutama rakyat Malaysia,“ katanya yang kini sedang menyelia dua pelajar PhD Malaysia di kampus Oxford.

Mereka ialah Aliah Abdul Jamil yang sedang mengikuti jurusan Kejuruteraan Biomedik dan Dr Azlan Helmy Abd Samad, pensyarah perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia yang akan memulakan PhD September ini dalam bidang Sains Perubatan.

Mengenai penyelidikan terkini, selaku Ketua Kumpulan Penyelidikan Klinikal, Pusat Penyelidikan Resonans Magnetik Klinikal, Bahagian Perubatan Kardiovaskular, Universiti Oxford, Dr Masliza berbangga apabila mendapat geran penyelidikan kardiovaskular menerusi kajian penggunaan teknik resonans magnetik jantung bernilai RM16 juta.

Ujarnya, kajian tersebut sangat signifikan dalam mencari penggunaan ubat baharu yang lebih baik dalam mengubati kegagalan jantung manusia.

Hasil penyelidikan itu yang akan didedahkan dalam masa beberapa bulan lagi bakal mencipta satu lagi historiografi dunia dalam bidang kardiovaskular.

Kejayaan memperoleh geran penyelidikan itu turut membawa perkhabaran gembira apabila Dr Masliza diiktiraf sebagai Pensyarah Penyelidikan pada tahun 2017.

Ya, dalam tempoh lebih kurang seminggu lagi, Malaysia bakal menyambut kemerdekaan kali ke-63. Apa erti merdeka bagi anak Malaysia yang mengharumkan negara di serata dunia itu?

Dengan nada penuh patriotik, Dr Masliza menjawab: “Pada saya, perjuangan Tunku Abdul Rahman dan kepimpinan beliau sehingga memperoleh kemerdekaan daripada jajahan British pada tahun 1957 adalah satu kejayaan yang amat dibanggakan.

“Saya rasa perjuangan saya dan juga rakyat Malaysia lain yang berada di UK selama ini sehingga mendapat pengiktirafan di sini membuktikan yang Malaysia (negara yang pernah dijajah oleh British), kini sudah setara.“

Benar, mencari manusia separuh malaikat sangat mustahil, namun sinopsis perjuangan Dr Masliza dalam arena pilihan dan kehidupannya sudah cukup mencetuskan inspirasi.

Katanya, kegagalan adalah perkara mutlak yang perlu dilalui oleh sesiapa tidak kira apa status, strata atau kedudukan sosial.

“Kita tak boleh harapkan akan berjaya sahaja. Macam saya, apa yang anda nampak adalah selepas saya melalui terlalu banyak kegagalan, mungkin dalam 100, 90 peratus adalah kegagalan. Namun, tak mengapa, yang penting jangan jemu berusaha, cuba dan cuba lagi,“ katanya.