Dr Noor Hisham kongsi kisah semangat jururawat kematian anak ini ketika Covid-19…

May 13, 2020
Azimah

ITULAH beza bila kita berkhidmat sebagai satu ibadat.”

Ini antara baris ayat dalam status yang dimuatnaik Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, semalam.

Perkongsian beliau tentang dugaan ditempuhi Siti Roha Mat Aroff, Jururawat Klinik Kesihatan Tenglu, Mersing tatkala negara diserang Covid-19 meraih perhatian warga siber.

Menyentuh hati netizen, status memuatnaik Dr Noor Hisham berkenaan jururawat itu mendapat lebih 634 shares dan lebih 12k tanda emoji termasuk tanda suka.

Apa tidaknya, biarpun anak kedua Siti Roha, Widad Izz Nayla Mohd Azam dijemput ILLAHI akibat kanser otot, jururawat itu tidak mengambil masa lama berendam air mata. Sebaliknya, beliau tetap gigih mahu membantu rakan setugas berdepan musim kerja semasa wabak Covid-19.

“Sepatutnya cuti saya habis sampai bulan 6. Tapi anak dah meninggal 6 April, jadi cuti tu terputus.

Kalau nak diikutkan saya nak sambung lagi. Tapi saya tak boleh duduk kat rumah. Sebabnya kalau di rumah setiap masa saya akan ingat dia (anak).

Jadi hari keempat lepas dia meninggal tu saya cakap kat suami saya nak kerja, saya tak boleh duduk di rumah,” katanya dalam berita disiarkan Astro Awani, semalam.

Perasaannya bercampur, sedih, kasihan dan bersemangat melihat rakan setugas.

Beliau merasakan untuk apa teruskan bercuti. Jadi Roha nekad mahu berkhidmat menggantikan tempat dan bersama rakan lain yang terpaksa bertugas.

“Beberapa hari lepas naik kerja, bila pakar tanya siapa yang nak pergi, terus cakap saya nak.

Kekuatan dan dorongan memang dari suami. Mulanya memang agak keberatan untuk bagi saya kerja ambil semua sampel (Covid-19). Tapi saya cakap pada dia, saya kerja jururawat, kerja saya, jihad saya pada negara.

Kalau dia izinkan saya pergi, dia pun berjihad izinkan isterinya pergi untuk berjihad. Alhamdulillah dia memahami,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Roha tetap bersyukur diberi rezeki oleh ALLAH membesarkan anak.

“Tak boleh terlalu bersedih. Kita reda dengan apa yang telah ALLAH tetapkan. ALLAH telah berikan yang terbaik. ALLAH dah bagi kita pinjam sekejap untuk tiga tahun. Saya fikir orang lain ALLAH bagi pinjam ketika mengandung dalam perut je. Saya rasa saya patut bersyukur.

Saya rasa kesedihan itu tak patut buat saya terganggu dalam aktiviti harian,” katanya.

Sempena Hari Jururawat Sedunia, hanya satu permintaan Siti Roha, rakan setugas kekal bersemangat dan tabah. Beri khidmat rawatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

Memuatnaik komen tentang semangat Roha itu di status Facebook beliau, Dr Noor Hisham menyifatkan ramai warga kesihatan bekerja dengan ikhlas.

“Niat kita hanya untuk membantu mereka yang sakit. InsyaAllah berkat usaha dan tawakal kepada ALLAH semoga berjaya dunia akhir.

“Luar biasa semangat frontliner jururawat kita. Tahniah kerana memiliki niat yang murni dan ikhlas. Itulah beza bila kita berkhidmat sebagai satu ibadat,” tulisnya. -AG #PastiAdaSinar