ANAK buah penulis yang merupakan seorang Penolong Perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Beberapa bulan lalu, beliau pernah bersembang tentang pengorbanan seorang doktor yang hamil sedang bertarung bersama petugas barisan hadapan menangani Covid-19.

Kisah itu menimbulkan kekaguman penulis. Mana tidaknya, melawan virus yang tidak boleh dilihat ditambah dengan membawa satu nyawa di dalam badan, bukan satu perkara mudah.

Selepas itu, individu yang disebut-sebut oleh anak buah penulis rupa-rupanya ialah Dr Tengku Ezulia Tengku Nun Ahmad. Penulis mengetahui mengenai selepas beritanya tersiar di majalah Nona terbitan Karangkraf beberapa bulan lalu.

Usaha SinarPlus untuk mewawancara empunya diri menjadi kenyataan apabila beliau menjawab mesej yang dihantar melalui Instagram.

Persiapan untuk sesi fotografi seperti tempahan studio, jurumekap termasuk jurufoto sudahpun disusun. Pun demikian, manusia hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segalanya. Aturan tersebut terpaksa dibatalkan tatkala kes Covid-19 mencatatkan angka yang luar biasa.

Dr Tengku Ezulia memahami situasi itu dan beliau bersetuju ditemu bual secara maya sahaja.

Bagi SinarPlus, plot cerita Pensyarah Perubatan dan Pakar Bedah Telinga, Hidung, Tekak (ENT), Kepala dan Leher di PPUM itu agak unik untuk dikongsi.

Sebelum melangkah lebih jauh, penulis bertanya kepadanya mengapa memilih pengkhususan dalam ENT dan pembedahan, tidak kepada obstetrik dan ginekologi yang selalu dikaitkan dengan doktor wanita?

Dengan susunan kata penuh teratur, Dr Tengku Ezulia, 35, memberitahu, bidang tersebut dipilih disebabkan ramai ahli keluarga dan rakan-rakannya mengalami masalah telinga, hidung dan tekak.

“Saya memasang niat untuk membantu mereka. Alhamdulillah, pada hari ini saya berbangga kerana dapat membantu mereka. Itulah hasrat dan impian saya dari awal-awal lagi,” katanya memberi pencerahan.

Bicara graduan Universiti Manipal, India itu, bidang tersebut memberi cabaran tersendiri kerana telinga, hidung dan tekak merupakan lokasi kritikal yang berhubung dengan organ-organ penting seperti otak, mata, rongga pernafasan, salur darah yang besar pada leher dan saraf-saraf penting.

“Dalam bidang ENT, kefahaman dari segi anatomi dan kemahiran yang tinggi sangat diperlukan untuk seseorang itu mahir dalam bidang tersebut. Alhamdulillah, itulah cabaran yang saya berjaya rentasi,” katanya.

Dr Tengku Ezulia bersama suaminya Prof Dr Mohd Zulkiflee Abu Bakar yang turut bertugas dalam bidang yang sama di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Selepas itu, kecintaannya terhadap ilmu diteruskan apabila beliau melanjutkan pula pengajian dalam Rhinology Skullbase, Head and Neck Surgery di Memorial Sloan Kettering Cancer Center, New York, Amerika Syarikat.

‘Pahlawan’ Covid-19, cerita hamil kembar

Sesungguhnya, kehadiran dan kepakaran pakar seperti Dr Tengku Ezulia sangat ditagih lebih-lebih lagi gelombang pandemik virus korona dilihat berterusan mengganas dan boleh mencabut nyawa manusia pada bila-bila masa. Tenaga-tenaga perubatan inilah yang merupakan ‘pahlawan’ pada kala pandemik menakutkan ini.

TUGAS hakiki Dr Tengku Ezulia dalam memerangi wabak Covid-19.

Kepada SinarPlus, wanita jelita kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu berkata, cabaran yang ditempuh dirinya bersama petugas barisan hadapan (frontlines) bukan biasa-biasa. Kudrat yang ditumpahkan sememangnya tidak berbelah bagi dan sukar untuk dicongak.

Rintangan yang direntas menjadi bertambah mendebarkan apabila beliau tanpa diduga hamil anak kedua ketika fasa pertama Covid-19 mula menyerang negara pada awal tahun lalu. Perasaannya bertambah bercampur-baur apabila mengetahui dirinya bakal melahirkan anak kembar lelaki.

“Sebelum ini, ketika belajar di New York, saya berdepan dengan tantangan apabila saya terpaksa berpisah dengan anak pertama saya, Nik Alesha yang kini berusia 2 tahun. Itulah detik paling tidak boleh dilupakan, syukur ibu saya menjaga anak dengan baik dan memberi dorongan dan sokongan pada karier saya.

CAHAYA mata kembar lelaki Dr Tengku Ezulia dan pasangan yang diberi nama Nik Areq Al-Birran dan Nik Arez Al-Birran pada September tahun lalu.

“Kali ini, sekali lagi ALLAH SWT memberi satu lagi dugaan indah apabila saya hamil ketika virus korona sedang berleluasa,” katanya tanpa sedikit rasa kekesalan.

Meneruskan sinopsis kisahnya ketika berjuang di barisan hadapan merawat mangsa Covid-19, pertuturan Dr Tengku Ezulia bernoktah seketika. Barangkali beliau sedang mengingatkan kembali momen-momen yang telah dilintasinya.

“Jujur saya cakap, diri ini sentiasa risau dan sangat berhati-hati tetapi tugas hakiki sebagai frontliners tetap perlu dilaksanakan.

“Ya, hamil pada waktu ketika masing-masing tidak kenal apakah virus itu memang sangat mencabar kerana hospital tempat saya bertugas ini juga merupakan salah sebuah lokasi penting merawat pesakit Covid-19.

“Walaupun tengah sarat mengandung, saya masih bekerja dan melakukan pembedahan terutamanya untuk kes yang berisiko tinggi yang memerlukan doktor pakar untuk melakukannya,” tutur isteri kepada Prof Dr Mohd Zulkiflee Abu Bakar itu.

KELUARGA kecil Dr Tengku Ezulia.

Keadaan kadangkala bertambah sulit apabila berdepan dengan kemelut kekurangan kakitangan termasuk doktor yang menjalani kuarantin sebaik dikesan mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19, katanya.

Pun demikian ujar anak ke-2 daripada tiga beradik itu, semua warga PPUM tabah melalui segala rintangan itu dan semestinya langkah berjaga-jaga dititikberatkan termasuk pemakaian pakaian perlindungan diri, pelitup muka dan sentiasa membersihkan tangan dititikberatkan.

Iklan

“Sebagai pakar, pada setiap hari saya akan melakukan prosedur melibatkan pemeriksaan hidung, tekak dan juga peti suara yang mana transmisi virus Covid-19 juga melibatkan struktur pernafasan yang sama. Sebab itulah ujian calitan (swab test) dilakukan pada hidung dan tekak,” ujarnya.

Akhirnya, selepas bertarung habis-habisan sebagai frontliner, Dr Tengku Ezulia bersyukur kerana diberi kemudahan melahirkan cahaya mata kembar lelaki yang diberi nama Nik Areq Al-Birran dan Nik Arez Al-Birran pada September tahun lalu.

“Alhamdulillah kedua-duanya sihat walafiat dan kakak kembarnya gembira dengan kehadiran dua adiknya. Terasa semua kelelahan berbayar dan diberkati oleh-NYA, ” katanya.

Social influencer, pesanan penting

Mereka mengikuti laman rasmi Instagram Dr Tengku Ezulia, @drtengkuezulia, sebenarnya sedia maklum bahawa pakar berkenaan juga merupakan social influender yang berpengaruh dalam bidangnya.

Ditanya mengenai hal tersebut lebih lanjut, doktor berkulit putih mulus itu berkata: “Di hospital, saya masih merupakan seorang doktor, tetapi saya menggunakan media sosial seperti Instagram dan TikTok untuk mendidik masyarakat di luar sana mengenai ilmu-ilmu perubatan mengikut kepakaran yang saya miliki.”

Untuk itu, Dr Tengku Ezulia telah mewujudkan satu lagi akaun Instagram khas yang memfokuskan tentang dunia perubatan @drtengkuezulia.ent.

Beliau antara lain menerangkan tentang situasi penyakit yang dialami oleh pesakitnya dan kadangkala turut membuka pertanyaan kepada orang awam dengan menggunakan tanda pagar #askdrtengkuezulia.

Berbicara tentang pertanyaan-pertanyaan lazim masyarakat, Dr Tengku Ezulia berkata, beliau ingin mengambil kesempatan untuk memperbetulkan beberapa tanggapan salah tentang hal telinga, hidung dan tekak.

Katanya, kesilapan yang sering dilakukan oleh orang ramai adalah tabiat suka mengorek telinga.

Iklan

“Tak boleh begitu, tindakan tersebut boleh mencederakan kulit dalam telinga dan akan menyebabkan luka. Jika keterlaluan, gegendang telinga juga boleh pecah,” beritahunya.

Seperkara, perilaku mendongakkan kepala tatkala hidung berdarah juga satu respons yang tidak tepat.

“Sepatutnya mereka perlu segera tegakkan badan lalu bongkokkan sedikit ke hadapan,” terang beliau.

Sebenarnya, Dr Tengku Ezulia tidak keseorangan dalam melayari kehidupan sebagai doktor perubatan yang sentiasa sibuk dan perlu bersiap siaga pada setiap masa.

Akuinya, beliau sangat beruntung apabila suaminya, Dr Mohd Zulkiflee juga seorang pakar dalam pengkhususan yang sama dengannya juga di PPUM.

“Dalam hidup ini, kita sememangnya memerlukan sistem sokongan dan saya bersyukur suami sentiasa berada di sisi dalam apa jua keadaan. Saya dan dia kerap bertukar-tukar pandangan dalam bidang yang penuh mencabar ini,” katanya yang turut berterima kasih pada ibunya, Noorhayati Mohd Yasin yang membantu mengurus tiga zuriatnya.

Sebelum melabuhkan tirai perbualan, Dr Tengku Ezulia menitipkan beberapa pesanan kepada orang ramai.

Pertama, amalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat dan sentiasa berfikiran positif walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan terutama bab kesihatan.

“Pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, saya nasihatkan terus patuhi prosedur operasi standard yang seringkali diuar-uarkan. Jika anda berkerja di sektor berisiko seperti saya kena lebih berhati-hati, mandi terlebih dulu sebaik pulang ke rumah. Semoga negara kita berjaya mengekang penularan wabak Covid-19 dengan baik. Jangan pandang enteng virus ini, ya,” pesan Dr Tengku Ezulia.

PROFIL

  • Nama penuh: Tengku Ezulia Tengku Nun Ahmad
  • Jawatan: Pensyarah Perubatan dan Pakar Bedah Telinga Hidung Tekak, Kepala dan Leher di Pusat Perubatan Universiti Malaya
  • Tempat lahir: Kota Bharu, Kelantan
  • Bilangan adik beradik: Tiga orang adik beradik
  • Pendidikan:
  • – i) Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan di Universiti Manipal, India (2009)
  • – ii) Pakar Pembedahan Kepala dan Leher (Otorhinolaryngology) di Universiti Kebangsaan Malaysia (2016)
  • – iii) Fellowship dalam program Rhinology Skullbase Surgery, Memorial Sloan Kettering Pusat Kanser Universiti Malaya, New York
  • – iv) Fellowship dalam Rhinoplasty di Istanbul, Turki
  • Hobi: Meluangkan masa bersama anak-anak
  • Warna kegemaran: Biru
  • Instagram: @drtengkuezulia (184,000 pengikut)