KELMARIN kita baharu saja menyambut Hari Belia Negara. Ya, betapa pentingnya peranan belia hingga ada hari sambutan untuk golongan itu.

Barangkali jika tidak kerana pentingnya mereka, tiadalah ungkapan mutiara sarjana, 'Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah kepada anak mudanya pada hari ini'.

Begitu Presiden Soekarno juga pernah mengungkapkan kata-kata, 'Berikan aku 10 orang belia waja, nescaya akan aku gegarkan dunia'.

Lihatlah baik dari segi politik, ekonomi, sosial, budaya atau pendidikan, belia juga penyumbang utama kepada proses pembinaan serta pembangunan negara.

Justeru jika lebih ramai belia yang berjaya, tentulah secara logiknya dilihat ia memberikan impak kepada masyarakat di sekitarnya.

Akan tetapi, untuk menjadi orang yang berjaya, pasti banyak onak dan duri yang perlu ditempuhi. Bagaimana hal itu berjaya dihadapi?

Perkongsian oleh penulis dakwah, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi tentang individu yang juga ikon usahawan muda, Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 32 yang mendapat banyak share sejak ia dimuatnaik semalam ini moga dijadikan inspirasi:

DIARI PENGUTIP SAMPAH!

Apabila ALLAH menghendaki sesuatu berlaku cukup dengan berkata, "jadi maka jadilah."

Namun, pada banyak keadaan ALLAH menjadikan sesuatu dengan bersebab.
Untuk berjaya, manusia perlu menempuh sebab-sebabnya. Itu satu kewajiban.

Dan selepas berusaha, manusia juga diwajibkan bertawakkal. Itu juga satu kewajiban. Itulah sunnatullah dalam meraih kejayaan...dan Muhammad Azlan Amin sesungguhnya telah menempuh syarat itu, lalu dia layak untuk mendapat kejayaan dengan izin ALLAH.

Anak ke-6 dari 21 adik-beradik seibu seayah ini (kini hanya tinggal 16 orang setelah 5 daripadanya meninggal dunia sewaktu kecil) pernah menjalani kehidupan serba daif kira-kira 20 tahun lampau.

Di lantai kemiskinan, segalanya terasa suram bagai gurun yang gersang. Kesenangan kelihatan agak mustahil untuk dicapai, yang ada hanyalah secebis harapan agar terpancar cahaya di hujung terowong dunia.

Keadaan rumah Mohamad Azlan yang uzur sebelum bergelar jutawan.

Beliau membesar penuh susah payah, ke sekolah berselipar jepun dan kerap minum air paip bila dahaga. Yuran jarang mampu dibayar lantaran keluarganya sangat miskin. Bukan hanya tidak pintar menelaah pelajaran, di sekolah beliau selalu dibuli pelajar-pelajar yang lebih senang hidupnya berbanding beliau.

Masih beliau ingat, ketika tiba waktu rehat, beliau lebih banyak berada di dalam kelas  berbanding di kantin. Dari celahan tingkap kelas, dia hanya mampu menelan air sambil menahan lapar tatkala melihat kawan-kawannya menikmati makanan di kantin.

Apa daya, ibu dan ayahnya jarang dapat memberikan beliau wang saku ke sekolah. Beliau hanya sekadar kerap bertahan dengan makan pagi yang disediakan pihak sekolah untuk murid-murid miskin (RMT Rancangan Makanan Tambahan).

Masuk ke sekolah menengah, beliau masih dibuli. Tak tahan dibuli, beliau melawan. Tiada yang sudi membela diri yang terniayai, kemiskinan meletakkan harga dirinya di bawah. Bila di buli lagi, beliau melawan dan terus melawan.

Iklan

Dunia tidak selalunya adil dan manusia sering terkhilaf dalam membuat pertimbangan, lalu beliau akhirnya dibuang sekolah. Yang mempertahankan diri terpaksa menanggung akibat, uang membuli hanya tersenyum puas dengan permainan yang sia-sia. Beliau tidak berdendam, namun sedia mencari ruang untuk membina jatidiri yang lebih baik dengan disiplin tinggi.

Puas ayahnya merayu agar beliau bersekolah semula di Sekolah Nasirudin Shah, akhirnya beliau diterima masuk bersyarat. Waktu itu hanya linangan airmata yang berderaian, terasa diri bagai banduan berbahaya yang dipantau ketat. Namun apa daya, demi ilmu beliau gagahi jua untuk menghabiskan sisa-sisa pelajaran untuk masa depan.

Selepas tamat SPM, beliau bekerja sebagai pengutip Sampah di Kem TUDM Gong Kedak, Pasir Puteh bagi membantu keluarganya. Sewaktu bekerja dengan gaji sekitar RM15 sehari itu, beliau pernah mengambil makanan serta sayur-sayuran terbuang di kem tersebut untuk dibawa pulang ke rumah dan dijadikan lauk pauk keluarganya. Beliau tidak malu bergelumang dengan kotoran asalkan halal.

Berhenti dari bekerja sebagai pengutip sampah, beliau berhasrat menyambung pengajian. Berbekalkan sijil SPM, beliau mendaftar masuk ke sebuah Kolej di Bachok, Kelantan.

Belajar sambil bertani, itulah Muhammad Azlan. Sejak remaja, semangatnya lain dari yang lain. Dia ada impian tersendiri dan tekadnya luar biasa. Lalu saat masih meneruskan pengajian di Kolej, ketika itu jugalah beliau mengusahakan kebun jagung seluas 13 ekar. Biarpun segalanya musnah ditimpa ribut kencang, dia tidak berputus asa.

Beliau lalu mengambil keputusan berhenti berhenti belajar di kolej lalu pulang ke rumah. Keputusannya berhenti belajar ditentang keluarga. Lalu berbekalkan RM1.30 sen dari ibunya, beliau keluar dari rumah dengan tekad untuk berjaya.

Beberapa malam tidur di wakaf sehelai sepinggan, beliau akhirnya bertemu seorang bekas gurunya dan dari situ beliau belajar menjadi ejen jualan hartanah. Bermula tahun 2010, beliau meniti hari mencipta kejayaan hingga kini. Jatuh bangun beliau tempuhi dan kini beliau berdiri gagah di persada dunia perniagaan sebagai seorang pemuda muslim yang berjaya.

Belasan tahun telah berlalu...

Siapa sangka insan yang dahulunya terpaksa menjual motosikalnya untuk membayar hutang akibat kebun jagung yang diusahakannya musnah, kini terbang ke sana sini dengan helikopter untuk meninjau lokasi-lokasi perniagaannya.

Iklan

Jika kita tidak melihat satu demi satu proses yang telah ditempuhnya, kegagalan demi kegagalan yang dirasainya, lautan keringat dan air matanya yang tumpah untuk sampai ke tahap sekarang, kita seolah-olah menyaksikan satu keajaiban.

Namun, jika kita berpeluang meneliti detik demi detik  perjalanannya menuju kejayaan ini, hari kita pasti mengakui...wajar ALLAH mengurniakan dia nikmat ini. Dia telah puas menderita. Dia telah lama berusaha.

Pada hari itu, ( Jumaat 14/8/2020 ) taman perumahan yang menempatkan kediaman saya di Sungai Buloh tiba-tiba meriah dan riuh rendah. Sebuah helikopter dinaiki Jutawan dan Hartawan muda ini berlegar-legar bagai helang yang gagah di udara. Kanak-kanak dan penduduk taman teruja sambil melihat helikopter berpusing-pusing sebelum mendarat.

Ustaz Pahrol Juoi bersama Mohammad Azlan di hadapan helikopter.

Tatkala halikopter itu mendarat dan sosok pemuda berjanggut tebal ini menguak pintu dan berlari kecil keluar diikuti anak-anak muda di bawah pimpinan dan asuhannya, saya bagaikan melihat sebuah 'armada' usahawan Melayu Islam  yang bakal mewarnai pertiwi ini dengan limpahan kebaikan dan ketaqwaan.  Amin.

Bukan kekayaan dan kemewahan itu yang menjadi perhitungan, tetapi impian untuk menabur bakti kepada ummah itu yang menjadi harapan dan sandaran.

Biar dia ikhlas. Biar dia istiqamah. Sekalipun tubuhnya melayang di angkasa, harapan kita... biar dahinya tetap sujud di bumi. Janganlah hendaknya  dia angkuh, kerana  mendaki dengan hati yang angkuh, hanya akan meninggikan tempat jatuh.

Dia hanya hamba, dia cuma insan biasa seperti kita... tanpa taqwa, kuasa, harta, nama dan apa yang dimiliki di dunia akan menjadi penyesalan tanpa kesudahan di akhirat sana. Jika dia terkhilaf, kita perbetulkan. Andai dia salah, kita nasihati. Dan bila dia tersilap, kita maafkan...Dia juga manusia dan kita bukan malaikat.

Dunia perlukan pentadbir yang hebat sebagai khalifah dan hidup perlukan hamba yang taat untuk melaksanakan perintah ALLAH.

Dunia walau sementara, namun sekiranya kita bertaqwa, segala kelebihan di dunia akan menjadi mahar untuk mendapat derjat yang tinggi di dalam syurga. Bukankah ahli perniagaan yang jujur dan amanah akan menjadi jiran para Rasul di dalam syurga?

Muhammad Azlan sering menegaskan, dia tidak mahu mendaki puncak-puncak bersendirian. Dia percaya bantuan ALLAH bersama jemaah yang istiqamah dalam kebersamaan dan kebaikan. Sejarah telah membuktikan betapa para Rasul juga tidak berjuang bersendirian melainkan bersamanya sahabat-sahabat yang setia.

Perlu ada teman, yang bila kita memerlukan, mereka menghulur bantuan. Dan apabila kita lupa, mereka memberi peringatan bahkan amaran.

Dan tengahari Jumaat itu...
ketika dia melayang pergi, dan terbang tinggi semula di udara, saya teringat tulisan dalam kitab lama tentang  pesan yang pernah disampaikan kepada Nabi Sulaiman yang sedang melayang di udara, "jangan angkuh! Jika kau angkuh, sejauh mana kau naik tinggi, maka sedalam itulah juga kau akan dibenamkan ke perut bumi!"...

Mari kita doakan kejayaannya demi melahirkan lagi ramai anak muda yang berjaya bersamanya.

Sesungguhnya, kita rindukan tertegak kembali sebuah negara yang aman makmur dari sudut ekonomi dan mendapat keampunan Ilahi.

Dan untuk membinanya, tidak cukup hanya ada seorang Muhammad Azlan...ummah mendambakan lebih ramai lagi 'Muhamad Azlan'. InsyaAllah....Amin.

Kredit: FB Pahrol Mohd Juoi