PENCERAMAH bebas, Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Ebit Lew sangat dikenali dengan kerja amalnya membantu mereka yang memerlukan.

Kerja amal yang dijalankan oleh Ustaz Ebit Lew sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Terlalu banyak kebaikan telah dilakukan oleh beliau demi melihat orang lain dapat teruskan kehidupan dengan lebih baik.

Terbaharu, Ustaz Ebit mahu membuka 10 cawangan ElewsMart dan Food Bank (bank makanan) di 10 cawangan yang berbeza di sekitar Selangor pada pertengahan Julai tahun ini.

Seperti apa yang dikongsi oleh pendakwah terkenal tersebut di laman sosial Facebook miliknya, Ustaz Ebit berkata, 10 ElewsMart dan Food Bank itu ketika ini masih dalam proses pengubahsuaian.

Beliau juga memohon doa orang ramai agar usahanya untuk menjayakan apa yang dirancang berjalan lancar.

Berita ini sudah pasti menggembirakan ramai orang kerana tujuan beliau membuka cawangan baharu tersebut adalah kerana ingin membantu mereka yang memerlukan dengan menawarkan barangan keperluan pada harga yang jauh lebih murah.

Tambah Ustaz Ebit, beliau mahu membantu lebih ramai orang tanpa kira agama, bangsa dan warna kulit.

Pernah membesar dalam keluarga susah dan miskin membuatkan beliau ingin membantu kerana beliau juga tahu betapa peritnya hidup dalam situasi itu.

Satu tindakan yang baik. Tidak semua orang boleh lakukan perkara tersebut biarpun mereka bergelar jutawan mahupun hartawan.

Mungkin ada yang masih belum tahu bahawa Ustaz Ebit juga ada beberapa perniagaan lain seperti tiga restoran Paramount Coffee House dan Butik Elews.

Sementara itu perkhabaran gembira juga buat mereka yang sedang mencari pekerjaan yang mana Elews Mart juga turut menawarkan peluang pekerjaan buat 100 orang untuk jawatan Pengurus Cawangan, Penolong Pengurus, Pegawai Pemasaran, Penyelia dan Kakitangan Runcit.

Antara cawangan yang terlibat di Bandar Baru Bangi,Kajang, Cyberjaya, Subang Perdana, Sg Buloh, Prima Sri Gombak, Gombak Traders, Shah Alam, Damansara dan Balakong Cheras.

Syabas Ustaz Ebit! Semoga usaha Ustaz dipermudahkan.