MASIH segar dalam kotak memori Datuk Fazley Yaakob, acap kali kehadiran bulan Ramadan, rutin petang beliau tidak sama seperti kanak-kanak lain.

Jika selepas Asar, rakan sebaya sudah bersiap sedia dengan senarai makanan untuk dibeli di bazar Ramadan bersama keluarga, namun cef selebriti tersebut pula mempunyai rutin sebaliknya.

Anak sulung daripada empat beradik itu hanya duduk di rumah. Beliau membantu ibunya, Datin Umi Kalsom Abdol Latib memasak ataupun membuat kerja-kerja di rumah. 

Beliau mengakui, kesusahan hidup yang dialami menjadi kekangan utama untuk beliau dan adik-beradiknya berbelanja di bazar Ramadan.

“Maklumlah, pada zaman kanak-kanak selepas seharian berpuasa, kita pasti teringin membeli bermacam-macam juadah di bazar.

“Namun, setiap kali memberitahu keinginan untuk ke sana (bazar) pasti terbantut. Pesan ibu, duit yang ayah beri  harus disimpan untuk membeli keperluan utama sahaja,” luah lelaki berusia 42 tahun itu kepada SinarPlus baru-baru ini tatkala mengimbau momen Ramadan zaman kanak-kanaknya.

Bicara pelantun lagu Asmara Ini itu, beliau dilahirkan dalam keluarga susah. Arwah bapanya, Datuk Yaakob Mohammad, menyara keluarga dengan menjual mi dan kuetiau goreng di hadapan Hospital Besar Alor Setar, Kedah.

Ibunya pula berasal daripada keluarga penoreh getah dan menjual kuih-muih Melayu.

“Saya membesar dalam keadaan sederhana sehingga pernah melalui detik tiada baju Melayu baharu pun untuk berhari raya. Bahkan, pada satu tahap saya sanggup menyarungkan kasut sekolah yang koyak selama berbulan-bulan. 

“Pun begitu, saya sedikit pun tidak mengeluh kerana memahami situasi ibu dan ayah yang bekerja keras memberikan kehidupan sempurna buat kami adik-beradik.

“Ibu sentiasa mengamalkan konsep perbelanjaan secara berhemah. Disebabkan itu, keinginan membeli juadah di bazar ataupun daripada penjual kuih dari rumah ke rumah terpaksa dilupakan,” jelas beliau. 

Tutur Fazley, biarpun momen itu kedengaran pahit, tetapi di sebaliknya terselit kemanisan apabila ibunya akan memasak apa sahaja menu yang diingininya.

“Secara jujurnya, sedikit ralat apabila tidak berpeluang membeli juadah di bazar seperti rakan-rakan lain. Biarpun begitu, kesedihan itu berbalas dengan kegembiraan apabila ibu menyediakan sendiri juadah yang diingini.

“Dek pengalaman itulah sehingga kini saya sentiasa menasihati anak-anak supaya jangan membazir. Sentiasa menghargai makanan terutamanya air tangan keluarga,” cerita Fazley.

Berbicara lanjut kisah Ramadan, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan berkenaan memberitahu, apabila menginjak dewasa beliau seolah-olah ‘membalas dendam‘.

fazley
FAZLEY mengakui beliau lebih suka menikmati masakan air tangan isteri apabila berada di rumah.

Saban hari, Fazley yang pernah menjuarai program Master Cef Selebriti musim pertama itu wajib mengunjungi bazar-bazar berlainan.

”Boleh dikatakan satu hari satu bazar. Kadangkala, rambang mata jadinya kerana mata saya lebih besar daripada perut (ketawa). Bagaimanapun, saya masih berjimat cermat bagi mengelakkan pembaziran.

”Juadah kegemaran saya semestinya kuih-muih tradisional Melayu dan menu berasaskan ayam, baik ayam bakar, ayam percik mahupun ayam panggang,” ujarnya yang berasa sedih apabila rutin ke bazar Ramadan tahun ini tidak dapat dilakukan.

Ia susulan arahan kerajaan yang memutuskan tiada bazar Ramadan dibenarkan beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan terbabit bertujuan memerangi penularan dan memutuskan rantaian wabak Covid-19 di negara ini.

”Sememangnya, saya terkesan dengan situasi normal baharu kehidupan ini. Mana tidaknya, berpuasa bagaikan tak lengkap apabila tidak singgah ke bazar Ramadan. Kita akan terlepas detik untuk menjamu mata, menghidu aroma menyelerakan dan peluang terserempak dengan teman-teman.

”Tapi, sedikit sebanyak kesedihan itu terubat dengan adanya inisiatif e-bazar. Sekurang-kurangnya kita membantu dan menyokong peniaga tempatan biarpun secara maya,” terang beliau yang  menasihatkan pengguna jangan terlalu ghairah menempah makanan sehingga melebihi bajet harian.

Juadah ideal PKP

Dalam pada itu, ditanya mengenai juadah berbuka puasa yang ideal dimasak sepanjang tempoh PKP, Fazley yang mengasaskan restoran SukaSucre Bistro dan Minang Tapau di Kuala Lumpur berkongsi beberapa tip menarik.

Memahami situasi PKP yang mana rata-rata masyarakat mengambil langkah berjimat, maka beliau mencadangkan jenis lauk pilihan. 

”Biarpun bukan hari raya, namun rendang adalah antara masakan yang bukan sahaja menjimatkan wang, malah boleh dinikmati semasa bersahur. Ini disebabkan ia tidak mudah rosak apabila disimpan di dalam peti sejuk dan dipanaskan berkali-kali.

Iklan

”Selain itu, masakan dendeng atau daging kering juga adalah antara menu yang sesuai. Ia sedap dan ringkas apatah lagi dimakan bersama nasi panas,” tutur suami kepada Datin Azrene Soraya Ahmad ini.

Tambah abang ipar kepada pelakon Mawar Rashid ini, para wanita juga boleh memilih lauk masak lemak cili padi baik daging salai mahupun ayam salai.

”Pes lemak cili padi itu selepas dikisar boleh disimpan di dalam peti sejuk beku. Apabila nak masak kita hanya perlu tuangkan santan dan masukkan protein pilihan (ayam, daging atau ikan).

”Secara tidak langsung, langkah seumpama ini memudahkan kita merancang menu masakan dan perbelanjaan dapur,” ulas beliau yang lebih gemar menikmati hidangan air tangan isteri apabila berada di rumah. Kongsi Fazley, hasil masakan cinta hatinya lebih hebat daripada dirinya.

Bersama famili 

fazley
FAZLEY (kiri,belakang) bersama isteri dan empat cahaya mata kesayangan beliau.

Sementara itu, mengulas kehidupan di sebalik PKP, bapa kepada empat cahaya mata berkenaan menghela nafas seketika. Ujar personaliti yang kini aktif bermain TikTok, berada di rumah bersama keluarga dalam tempoh lama ada pro dan kontra tersendiri. 

”Setidak-tidaknya perintah ini (PKP) mempunyai hikmah manis berbanding pahit. Kekal duduk di rumah bersama keluarga selama 24 jam bukanlah tempoh masa yang singkat, apatah lagi setiap ahli keluarga memiliki ragam tersendiri.

”Justeru, situasi itu mendidik saya menjadi individu yang lebih sabar. Maklumlah, sebelum ini kita mungkin ‘berpisah‘ dengan mereka lebih daripada empat jam kerana keluar bekerja, tetapi dalam tempoh PKP rutin adalah sebaliknya.

”Bertambah manis apabila menguatkan lagi ukhuwah dan mencambah benih kasih sayang antara satu sama lain. Lagipun inilah masanya untuk kita lebih mengenali dan mengambil hati insan tersayang,” katanya yang melakukan pelbagai aktiviti menarik bersama famili sepanjang Ramadan dalam tempoh PKP. 

Iklan

Antaranya, sesi memasak lauk berbuka bersama-sama memandangkan tidak ke bazar Ramadan. 

Selain itu, dek tidak berpeluang menunaikan solat berjemaah di masjid, maka Fazley menggunakan kesempatan itu beribadah dengan anak-anak, isteri, ibu dan adik kerana mereka tinggal sebumbung.

”Lazimnya, pada waktu petang saya akan menghabiskan masa bersama anak-anak bermain bola, piano, melakukan tutorial masakan dan menonton televisyen.

”Kemudian, menunaikan solat jemaah Maghrib, Isyak dan tarawih serta membaca al-Quran kerana saya dan isteri memasang impian untuk khatam dalam tempoh berpuasa,” celoteh beliau yang turut menasihatkan agar para lelaki merebut peluang mengimamkan solat tarawih di rumah.

Tambah Fazley: ”Tidak dinafikan segelintir lelaki bimbang untuk menjadi imam. Ada yang bimbang tentang bacaan selawat antara solat dua rakaat dan surah lain selepas al-Fatihah. 

”Apa yang penting kita lakukan yang terbaik. Inilah masa terbaik mengetuai solat jemaah memandangkan Ramadan sebelum ini mungkin bukan semua ahli keluarga berkesempatan ke masjid.”