LINCAH sekali jari-jemari kaki kecil molek Norfarrah Syahirah Shaari menekan papan kekunci bagi menyiapkan tugasannya sebagai Pembantu Tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan, Perak.

Jika dilihat keupayaannya menulis, memotong kain, menjahit pakaian bahkan memandu kereta menggunakan anggota berkenaan pula pastinya tergambar kesukaran untuk insan biasa melakukan pergerakan tersebut, apatah lagi dirinya.

Namun demikian, anak kelahiran Bagan Datuk, Perak yang tidak memiliki lengan itu membuktikan keupayaan luar biasanya dan melakukan segala-galanya dengan penuh senyuman.

Ya, carilah siapa di dunia ini yang mahu dilahirkan sebagai insan kelainan upaya (OKU)? Sudah terpasak dalam kepala akan dugaan yang dirasakan berat tatkala menjadi insan terpilih itu, lebih-lebih lagi perlu menyesuaikan diri dan hidup berdikari.

Bagaimanapun, bagi gadis berusia 32 tahun itu, beliau tidak pernah menyesali takdir, bahkan lebih bersyukur dengan keadaannya yang mampu mengurus diri dan memiliki pekerjaan tetap.

gadis tiada lengan
NORFARRAH SYAHIRAH SHAARI

“Tipulah kalau saya cakap tak pernah pendam rasa. Kalau dulu masa kecil, pernahlah terfikir kenapa dilahirkan dan jadi macam ini. Kenapa ALLAH pilih jadi OKU. Banyak persoalan ketika itu.

“Namun bila dah menginjak dewasa, sudah ada kerjaya sendiri dan pelajaran yang elok, saya bersyukur seadanya. Walaupun tidak sempurna, tapi saya mampu buat segala-galanya tanpa bantuan sesiapa,” ujarnya penuh sebak.

Persepsi

Kebolehan luar biasa anak kelapan daripada sembilan beradik itu terus menjadi sumber inspirasi golongan OKU di luar sana. Beliau sering dipanggil untuk sesi motivasi murid dan pelajar sekolah.

Kekurangan yang ada pada dirinya itu diubah oleh Norfarrah menjadi suatu kelebihan.

gadis tiada lengan
KEMAHIRAN menjahit menggunakan kaki menjadi kelebihan buat gadis berusia 32 tahun ini menyiapkan kelengkapan PPE untuk petugas barisan hadapan Covid-19.

“Sejak kecil, ibu banyak ajar saya gunakan kaki untuk buat kerja. Bermula dari situlah saya berdikari.

“Saya cuba cari aktiviti yang boleh dilakukan menggunakan kaki. Lama-kelamaan apabila sudah biasa, semua kerja jadi mudah. Meskipun orang lain lihat macam susah, namun saya sudah biasa,” tuturnya penuh positif.

Berkongsi pandangan mengenai dakwaan bahawa golongan OKU sukar mendapat pekerjaan dek kekurangan diri, Norfarrah Syahirah menepis persepsi negatif tersebut.

gadis tiada lengan
KEUPAYAAN kaki tidak ubah seperti tangan buat Norfarrah Syahirah dalam menjalani aktiviti seharian.

Baginya, golongan istimewa sepertinya tidak sukar mencari pekerjaan atau membina kerjaya sendiri jika mempunyai kemahiran dan keunikan tersendiri.

Iklan

“Walaupun ada kekurangan, namun jika ada nilai tambah dalam diri, tak mustahil golongan seperti kami mampu bersaing dengan orang normal,” bicaranya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Artikel berkaitan: Jean cakar ayam trademark orang Besut

Ungkap gadis yang mampu memandu kereta sendiri itu, beliau cuba membuktikan keupayaan diri selepas mendapat tawaran bekerja di Sabak Bernam, Selangor pada tahun 2012.

“Ketika itu, saya fikir sudah tiba masanya berdikari tanpa susahkan ayah untuk hantar pergi dan pulang kerja. Saya belajar daripada YouTube macam mana cara memandu kereta guna kaki.

Iklan

“Ambil masa dua minggu jugalah nak belajar sebelum berani mohon lesen memandu. Alhamdulillah sudah lapan tahun saya memandu sendiri,” kongsinya penuh bangga.

gadis tiada lengan
TIDAK kekok menulis meskipun menggunakan jari kaki ketika menghadiri sesi motivasi pelajar sekolah.

Tidak mahu golongan OKU di luar sana terus menyendiri dan tersisih daripada kepompong komuniti, lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menitipkan kata-kata motivasi.

“Janganlah putus asa dan kuatkan semangat untuk berjaya. Cuba cari kelebihan diri yang boleh buat kita mampu bersaing dengan orang normal lain.

“Belajarlah kemahiran yang sesuai dengan keupayaan diri dan ambil pendekatan positif. Jangan sesekali salahkan takdir ALLAH kerana setiap ujian yang diberikan ada hikmahnya,” katanya.