SAYA berbicara dengan seorang jurufoto acara dan perkahwinan, Mohd Safuan Salahudin selama 54 minit melalui Google Meet pada Isnin lalu.

Daripada butir kata-katanya, beliau yang disapa sebagai Safuan, 35, dilihat seorang yang merendah diri, air mukanya tenang dan sering tersenyum.

Barangkali pada pandangan mata kasar orang lain, tiada istimewanya Safuan. Namun, saya tidak sembarangan untuk memilih personaliti yang boleh diangkat menjadi inspirasi untuk dikenang.

Peribahasa tuah ayam nampak pada kaki, tetapi tuah manusia tiada siapa tahu, menggambarkan takdir indah lelaki itu.

Beliau tiada sijil, diploma mahupun ijazah dalam bidang fotografi, hanya berbekal minat dalam arena fotografi yang jauhnya sukar digapai. Beliau juga mencari makan dengan mengambil gambar pada majlis korporat dan perkahwinan sahaja.

Namun, dengan status sederhana itu, siapa sangka bidikan foto Safuan berjaya menobatkannya sebagai juara pada Canon Photomarathon (CPM) Asia 2019. Skala CPM sangat berprestij di mata dunia.

Tatkala dipuji, Safuan tersenyum lebar, namun nadanya menjadi melankolik apabila mengenang semula saat sebelum diiktiraf.

“CPM 2019 telah membawa saya terbang ke Jepun untuk bertanding dengan 14 jurufoto terbaik di Asia. Saya layak sertai CPM selepas saya memenangi CPM Malaysia 2018.

Sampai di sana, perasaan rendah diri dan takut menguasai saya ketika melihat kredibiliti jurufoto antarabangsa lain. Saya nampak talent mereka jauh lebih hebat, tapi saya berkata pada diri, tak mengapalah,“ kata graduan Ijazah Kejuruteraan Elektrikal Automasi dan Robotik di Universiti Tun Hussein Onn.

Ternyata strategi Safuan yang mengarah kameranya membidik foto di lokasi berbeza dengan jurufoto lain di bumi Jepun itu, membawa tuah kepadanya.

“Saya tak menduga, hasil kerja saya yang berupa bunga sakura dan kereta api lokomotif wap berjaya mencuri perhatian juri sehingga dinobatkan juara keseluruhan,“ ujar anak jati Kedah tersebut.

Gambar bunga sakura, lokomotif wap angkat Safuan juarai pertandingan fotografi berprestij dunia
BIDIKAN lokomotif wap yang masih aktif digunakan di Jepun yang menambat hati juri untuk memilih Safuan menjuari CPM Asia 2019.
Gambar bunga sakura, lokomotif wap angkat Safuan juarai pertandingan fotografi berprestij dunia
BUKAN senang untuk merakam aksi serangga sebegini kecil.

Beliau yang baru dilantik sebagai Duta Canon EOS 2020 itu berkata, terjemahan kegembiraan saat namanya diumumkan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

PKP ubah segalanya

Ketika itu, Safuan berkata, kotak fikirannya gagal memisahkan kenangan terhadap keputusannya meninggalkan jawatan sebagai Ketua Kejuruteraan, Continental Tyre AS Malaysia (2008 hingga 2013).

Itu tidak dikira momen perit kehilangan tiga set kamera gara-gara keretanya dipecah ketika mula-mula menjadi jurufoto profesional.

Namun, kini, tiada siapa mampu menafikan kebolehannya. Kejayaannya merupakan satu sejarah yang tidak boleh dipadamkan oleh sesiapa.

Atmosfera perbualan kami menjadi ‘kelam‘ seketika saat saya bertanya tentang penangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu. Ternyata, PKP bukan satu sandiwara, ia banyak meragut rezeki rakyat marhaen.

Mengiyakan situasi itu, sambil menggelengkan kepalanya ditambah riak wajah sedikit muram, beliau berkata, dirinya senasib dengan jurufoto acara lain.

Iklan

(Jom baca: Tangkap hanya sekadar suka-suka, tak sangka foto sawah padi jadi pilihan IG Apple )

(Jom baca: Sagopop Kapten Akram viral, pengganti rezeki yang hilang)

Beritahunya, kalau dihitung, hampir 50 peratus tempahan acara dibatalkan atau ditunda dari awal PKP hingga kini.

Sebelum era Covid-19, biasanya beliau boleh peroleh sekitar RM8,000 hingga RM10,000 sebulan, namun kini angka itu sungguh sukar untuk dicapai lagi.

Dua bulan pertama masa PKP, saya tak tahu nak buat, bayangkan setiap hari saya tengok kipas berpusing. Tak pun saya merakam gambar burung yang berlegar-legar di pokok di depan rumah saya.

Saya tertanya apa akan jadi pada kerjaya jurufoto yang saya minat sejak kecil?,“ katanya menceritakan kekusutan yang sedang berselirat ketika itu.

Sesungguhnya, ALLAH adalah sebaik-baiknya perancang. ALLAH menghadirkan rezeki apabila dirinya diberi peluang berkolaboratif dengan Jabatan Bomba Alor Setar dan Balai Polis Kuala Muda untuk merakam detik-detik pihak berkuasa itu melakukan operasi sanitasi kuman.

Iklan

“Memang syukur sangat, rezeki saya tetap mengalir. Pada masa sama, ia turut membantu ‘memulihkan‘ skil bidikan saya,“ katanya yang memendam impian merakam keindahan hidupan laut bersama batu karang suatu hari nanti.

Gambar bunga sakura, lokomotif wap angkat Safuan juarai pertandingan fotografi berprestij dunia
ANTARA foto-foto sentuhan Safuan sepanjang tempoh PKP dan gambar kenangannya di Jepun ketika menyertai CPM Asia tahun lalu.

Reda dengan qada dan qadar ALLAH adalah sebaik-baik pendekatan. Seperti orang lain yang sentiasa mendoakan agar pandemik Covid-19 melabuhkan serangannya, Safuan juga begitu.

Kepada SinarPlus, lelaki yang penuh inspirasi itu berharap dapat membuka sebuah akademi untuk mengajar bakat baharu dalam arena fotografi.

Oh, ya, sebelum terlupa, berkat kesabarannya, tiga biji kamera Safuan yang hilang tujuh tahun lalu, telah ‘diganti‘ sebanyak enam biji selepas beliau memenangi enam pertandingan CPM beberapa tahun lalu.

Sumber foto: Mohd Safuan Salahudin