Gigih jaga ibu sakit, mandikan sebelum pergi & balik sekolah, remaja anak yatim raih 11A SPM

BERKAT menjaga ibu yang sakit saraf sejak empat tahun lalu, seorang pelajar yang dikenali sebagai Muhammad Shahril Saidi, 18, meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan baru-baru ini.

Kegigihan dan pengorbanan Muhammad Shahril yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Ugama Darul Iman, Beris Lalang, Bachok, menjaga bonda tercinta, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, yang terlantar tidak menjadikan beliau gagal.

Malah, ia seolah-olah menjadi penguat semangat buat anak muda ini bersungguh-sungguh menuntut ilmu hingga meraih A dalam semua mata pelajaran.

Lebih menyentuh hati, anak muda yang telah kematian bapa itu dikatakan melakukan rutin memandikan ibunya terlebih dahulu sebelum ke sekolah.

Malah sekembalinya dari sekolah, sekali lagi Muhammad Shahril akan melakukan perkara yang sama buat bonda tercinta.

“Tiada apa yang mengubah rutin hidup saya walaupun ketika ibu sedang sakit kerana saya memang suka berada di rumah menemaninya.

“Selain itu, seorang kakak saya, Noor Syahida, 25, yang sentiasa menjaga ibu di rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Jumaat.

Menjadikan Uwais Al-Qarni sebagai idola, Muhammad Shahril turut berkongsi tip perkara paling utama untuk berjaya ialah memuliakan ibu bapa selain sentiasa berusaha menjadi individu terbaik.

“Bagi saya lebih mementingkan orang lain daripada ibu bapa juga merupakan perkara yang tidak sepatutnya” katanya.

Baca juga: Walau diri sendiri sakit, ibu mithali jaga dua anak terlantar seumur hidup, cacat pendengaran

Baru-baru ini tular di laman sosial video kunjungan guru-guru ke rumahnya hingga meraih lebih 500,000 tontonan.

“Pelajar cemerlang Sekolah Menengah (Ugama) Darul Iman Beris Lalang, Bachok mendapat straight A’s.

“Tidak bersama kawan-kawan menerima keputusan peperiksaan kerana menjaga ibu yang sakit. Anak yang cukup baik.

“Hari ini inisiatif pihak sekolah hadir ke rumah beliau bagi meraikan kejayaannya. YA ALLAH semoga dipermudahkan urusan anak ini untuk menyambung pelajaran nanti,” titip pengguna laman sosial, Norhabibi Mamat.

Menerima kunjungan sekumpulan guru, Muhammad Shahril kelihatan sayu dan menyeka air mata.

“Tahniah anak, besar sungguh pengorbanan awak menjaga emak sakit. Semoga urusan awak pada kemudian hari dipermudahkan,” titipnya.

Baca juga: Bertuahnya gadis ini! Rezeki dapat tunai haji, SPM pula paling cemerlang

 

Disaksikan ibu tercinta dan keluarga, salinan keputusan SPM, jambangan wang tunai dan plakad tertera 11A diserahkan kepada Muhammad Shahril membuatkan warganet sebak.

 

Iklan

Ujar mereka:

– “ALLAH balas pengorbanan dia nak jaga mak dia yg sakit dgn kejayaan mendapat semua A SPM. Tahniah adik. Semoga terus cemerlang dan berjaya.”

– “ALLAHU hebatnya awak adik, cemerlang akhlak dan akademik. Tahniah”

– “Dalam banyak video result spm, ini paling sebak. YA ALLAH anak yang hebat. He deserves the straight A’s .”

– “YA ALLAH sedihnya. semoga ini salah satu asbab kamu berjaya. ”

– “Subhanallah, Alhamdulillah. Sebaknya. Tahniah anak dan ibunya. Awak anak yang hebat, semoga ALLAH rahmati dan berkati seluruh hidup kamu.”

Iklan

– “Bukan hanya berjaya dalam pelajaran tapi hakikatnya adik ini lebih berjaya menjadi anak yang soleh untuk orang tuanya.”

Muhammad Shahril yang sedang pengajian di Tingkatan Enam Rendah di Maahad Yakubiah, Bachok mendapat A untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Sains, Syariah, Usuluddin, Manahu al-Ulum Al Islamiah dan Al Adab Wal Al-Balaghah manakala A untuk Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Syariah dan Al-Lughah Al Arabiah Al-Muasirah.

Semoga kisah anak muda ini menjadi inspirasi.

Baca juga: Anak sulung raih 9A SPM 2022, Menteri Pendidikan peluk, ucap tahniah

Sumber: @norhabibimamat, Sinar Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi