Jangan lupa follow kami di Instagram!

BIARPUN perjuangan Ratu Gimnastik Artistik Wanita Negara, Farah Ann Abdul Hadi di Jepun berhenti pada kedudukan ke-68, namun aksi beliau di gelanggang Sukan Olimpik Tokyo 2020 meninggalkan momen manis buat rakyat Malaysia.

Atlet berusia 27 tahun itu terpaksa meninggalkan Pusat Gimnastik Ariake pada Ahad lalu selepas menamatkan saingan dalam kelayakan all-around individu.

Pada pusingan kelayakan tersebut gimnas kelahiran Subang Jaya, Selangor itu menyarungkan leotard rona jingga. Beliau mengumpul markah keseluruhan sebanyak 48.565 mata.

farah ann
MIMPI jadi kenyataan. Sejak berusia lapan tahun Farah Ann memasang impian beraksi di gelanggang Sukan Olimpik.

Barangkali, impian anak kedua daripada tiga beradik itu yang tidak kesampaian meraih pingat bukan sahaja mengusik emosinya, malah turut meninggalkan kesan fizikal.

Menerusi Instagram Story Farah Ann berkongsi hantaran yang berbunyi: “Apabila bangun dengan parut selepas bertanding pada Sukan Olimpik.”

Pun begitu, kesedihan beliau tidak berpanjangan selepas melihat sokongan bertali arus daripada rakyat Malaysia.

Rata-rata warga maya menzahirkan rasa bangga dan memuji lenggok tarian rutinnya yang disifatkan memiliki pesona dan aura tersendiri.

Bahkan, barisan selebriti tempatan antaranya Yuna, Marion Caunter, Datin Seri Tiara Jacquelina, Fara Fauzana termasuklah pelatih pakar bedah kelahiran Malaysia yang kini bertugas di United Kingdom, Dr Amalina Che Bakri juga meninggalkan komen positif pada Instagram Farah Ann.

farah anna
RATA-RATA warga maya memuji lenggok tarian rutin beliau yang disifatkan memiliki pesona dan aura tersendiri ketika beraksi pada saingan kelayakan all-around individu Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Artikel berkaitan: Farah Ann Julang Nama Negara

Antara titipan komen warga maya:
– “Ratu Gimnas Negara Congratulations Farah!.”
– “Amazing!! So proud of U!.”
– “You are a Queen through and through. We are so proud of you, Olympian!.”
– “Terbaik Farah bawa nama Malaysia.”
– “You were doing great Farah!.”
– “Jangan nangis lagi tau, kami semua bangga dengan Farah. Keep going.”

Atlet gimnastik Farah Ann individu pertama miliki model Barbie edisi khas
FARAH ANN atlet gimnastik pertama miliki model Barbie Edisi Khas.

Justeru, hari ini jom kita menyoroti 8 perkara menarik tentang Farah Ann berdarah campuran Melayu sebelah bapa dan Kanada (sebelah ibu) ketika sesi interviu bersama SinarPlus siaran 22 Mac 2020.

1. Beliau merupakan atlet gimnastik artistik Malaysia pertama layak ke Sukan Olimpik 2020 selepas 20 tahun.

2. Bicara Farah Ann sejak usia lapan tahun beliau sudah memasang impian bertanding pada Sukan Olimpik kerana sebelum ini ralat tidak berjaya ke Sukan Olimpik Rio di Brazil.

3. Berdasarkan rekod, Farah Ann merupakan gimnas ketiga Malaysia yang layak ke Olimpik selepas Au Li Yen pada tahun 2000 di Sydney, Australia dan Ng Shu Wai di Athens, Itali (2014).

Iklan

4. Penglibatan dalam sukan gimnas berpunca daripada sikapnya yang hiperaktif dan tantrum tidak mengira masa seawal usia tiga tahun serta terlalu lincah memanjat monkey bar di taman permainan.

Artikel berkaitan: [VIDEO] Atlet Gimnastik Farah Ann Individu Pertama Miliki Model Barbie Edisi Khas

5. Bertitik tolak daripada situ, ibu bapanya menghantar Farah ke kelas gimnastik kerana niat asal apabila pulang ke rumah beliau akan tidur dek keletihan dan tantrum pun dapat dikurangkan.

6. Pernah meraih dua pingat emas pada Sukan SEA 2015 di Singapura dan satu pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur tahun 2017.

7. Ini termasuklah mencatat rekod cemerlang apabila merangkul tiga emas dalam acara individu keseluruhan, palang bertingkat dan senaman lantai pada Sukan SEA 2019.

8. Farah Ann pernah cedera ligamen terkoyak pada bahu dan lutut serta ligamen pergelangan kaki kiri putus.

Iklan

Profil

farah anna

Nama penuh: Farah Ann Abdul Hadi
Umur: 27 tahun
Asal: Subang Jaya, Selangor
Adik-beradik: Anak kedua daripada tiga beradik
Pendidikan:
– Sekolah Rendah Kebangsaan Seafield, Subang Jaya
– Sekolah Menengah Sukan Bukit Jalil
– Ijazah Sarjana Muda Sastera Global, Universiti Monash
Hobi: Menonton wayang, melancong dan selam skuba bersama ahli keluarga
Instagram : @farahann94
Jumlah pengikut: 458,000

Sumber: Bernama dan Instagram @farahann94