BERAT mata yang melihat… berat lagi bahu ini yang mengalas…
Tiada dipinta untuk jadi begini. Ketentuan-NYA telah tertulis… siapa di dunia ini nak sakit… semua nak sihat…

Itu antara monolog wanita bernama Norliza Husain yang menghidap kanser fibromatosis iaitu satu ketumbuhan yang merosakkan kaki hingga menyebabkan kakinya hampir dipotong.

Kadang terpaksa mengesot, kadang terpaksa bertongkat untuk lebih memudahkannya biarpun natijahnya sering tersungkur. Jika menggunakan kerusi roda pergerakannya terhad.

Mula dikesan mengalami sakit itu sejak di sekolah menengah dan menjalani pembedahan pada tahun 1999, hari-hari dilalui Norliza kini lebih sukar dengan keadaan kakinya yang semakin merosot.

Sebelum ini beliau menerima rawatan di hospital berhampiran rumahnya di Kampung Sungai Rotan, Jalan Jenun, Pendang Kedah, berdekatan guar Chempedak dan Gurun.

Akan tetapi, setelah keadaan kakinya itu semakin serius, Hospital Sg Petani merujuk beliau ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan.

“Bagi menyelamatkan kaki ini, tulang kaki kiri terpaksa dipotong dan diganti tulang kecil kaki kanan. Penyembuhan yang agak lama. Bila dua-dua kaki dibedah, lama juga diri ini mengesot, hampir dua tahun lebih.

“Tapi semangat kecekalan itu buat diri saya insya-ALLAH mampu harungi semua ini. Namun diuji lagi, diserang sakit lagi, dibuang dan sehingga kini sudah menjalani radioterapi sebanyak 28 kali.

“Namun tak lama kemudian terkena pula jangkitan kuman dua kali. Sakitnya bagaimana hanya ALLAH yang mengetahui..,” kongsinya wanita tabah berusia 40 tahun ini dengan SinarPlus.

Februari lalu, suaminya, Mat Zaini Johari, 40, sebelum ini bekerja di syarikat swasta sebuah pasar raya pula terpaksa diberhentikan kerja susulan ekonomi negara yang tidak memberangsangkan selepas dilanda wabak Covid-19.

Begitupun, bagi Norliza, sabar itu indah.

Buat bermacam kerja

Untuk menampung keperluan perubatan berulang alik terutama untuk ke HUSM yang mengambil masa perjalanan kira-kira tujuh jam dari rumahnya, beliau melakukan bermacam kerja hingga saat ini.

Biarpun dalam keadaan mengesot dan sering terjatuh dek kakinya yang selalu tersadung, beliau masih membantu suami menjual burger depan rumah yang sebelum itu hanya diusahakannya seorang.

Pendapatan mereka hasil jualan burger kira-kira RM30 sehari.

“Bukan mudahnya melalui, menahan segala kesakitan dan keperitan ini. Hanya yang merasai akan tahu bagaimana melalui semua ini. Kesihatan memang tiada menentu.

“Namun semangat dan kecekalan diri..doa dan sokongan buat diri ini menjadi kuat. Untuk sekarang masih dalam rawatan yang berterusan, dalam pantauan doktor,” kata Norliza yang masih perlu berulang alik ke hospital sekurang-kurangnya tiga bulan sekali.

https://www.facebook.com/norliza.husain.92/videos/2632838897036634/

Ibu kepada seorang anak yang sedang menuntut di Politeknik Kulim ini sebenarnya memerlukan susu dan perubatan ulang alik ke HUSM yang sememangnya memerlukan kos yang agak tinggi.

Buat masa ini pendapatan beliau dan suami hanya dari hasil jualan burger sejak Zaini ditamatkan kerja sebelum ini.

“Perniagaan burger ini sebenarnya sudah lama bagi menampung pendapatan sebelum ini. Tapi kita hanya merancang ALLAH yang tentukan. Kini daripada menampung menjadi pendapatan utama.

“Memandangkan saya tak sihat untuk menguruskan sepenuhnya seperti sebelum ini. Untuk sekarang suami sama-sama membantu pada perniagaan yang sedia ada ini. Sesungguhnya saya percaya pada rezeki ALLAH. Andainya kita berusaha pasti ada sinar yang akan menanti walaupun hanya berniaga..Insya-Allah…Aamin,” katanya.

https://www.facebook.com/norliza.husain.92/videos/2535735066747018

Katanya apa yang diharapkannya kini bukan hanya simpati sebaliknya membantu menyokong perniagaan burgernya dan mendoakan kesembuhan serta kekuatannya.

“Buat masa ini ada juga mereka di sekeliling dan satu dua NGO yang membantu. Saya bersyukur sangat..hanya ALLAH yang dapat membalas segala jasa baik semua,” katanya.

Doa SinarPlus moga urusan Norliza dan suami dipermudahkan serta diberikan kesihatan yang baik. -AG #janganputusasamalaysia