Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR

 

TANGGAL 18 Januari 2016 masih segar di ingatannya. Peristiwa tragis yang pernah menggemparkan negara satu ketika dahulu bagaikan mimpi ngeri buat Siti Aisyah Sahrin.

Dugaannya cukup berat. Gadis itu kehilangan kedua-dua kaki buat selama-lamanya.

Kata Siti Aisyah atau mesra disapa Ecah, dia membayangkan impian untuk bergerak bebas dan memenuhi cita-citanya sebagai seorang pelukis terkenal bakal punah-ranah.

Bukan dirinya sahaja memendam hiba, malah ibu bapanya juga. Ujar gadis itu, apabila melihat raut wajah kedua-dua orang tuanya, jiwanya semakin berkecamuk.

ecah
MUSIBAH kemalangan tragis menimpa Ecah turut mendapat perhatian pemimpin negara. Foto kemalangan yang dikongsi warga maya itu tular dalam media sosial.

“Saya takut menghampakan dan mengecewakan mereka. Bukan mudah sebenarnya untuk melupakan trauma apabila digilis hidup-hidup. Namun saya reda, itu sebahagian qada qadar dan saya tetap tabah berdepan dugaan itu,” katanya ketika ditemui Sinar Plus di rumahnya di Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini.

Pujuk hati

Mengimbau kembali detik tragis itu, Ecah merenung jauh dan memakukan dirinya seketika.

Sambil menghela nafas, dia yang mempunyai senyuman manis jujur berkata: ”Tipulah kalau saya kata saya okey. Tempoh enam bulan selepas kemalangan itu memang saya kemurungan, hilang keyakinan diri, tetapi tak meluahkan rasa yang terbuku kepada orang lain.

“Masa itu, saya rasakan dunia sangat gelap dan tak ada masa depan dah. Bila ayah dan mak minta saya pergi ke Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan pada bulan November 2016, hati sangat berat.”

ecah
MESKIPUN Ecah kini tidak sempurna seperti remaja lain, namun dirinya nekad untuk berjaya dalam acara angkat berat paralimpik.

Namun apabila dipujuk dan dihadiahkan telefon pintar yang ketika itu sememangnya diinginkannya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, Sabak Bernam itu akur dengan permintaan ibu bapanya.

“Sebaik sahaja tiba di tempat itu, saya terkejut ada orang senasib, bahkan ada yang lebih teruk namun mereka gembira dan sudah berjaya.

“Melihat semua itu, saya bagaikan tersedar daripada mimpi. Rupa-rupanya ada orang lain yang menanggung nasib yang sama namun mereka mampu cemerlang,” katanya.

ecah
LATIHAN angkat berat menjadi aktiviti setiap petang buat Ecah selain melukis.

Sukan angkat berat

Iklan

Selepas musibah yang menimpa dirinya mendapat liputan meluas, Ecah berkata, rezekinya semakin melimpah-ruah.

Pada saat dirinya sangat buntu, dia telah didatangi seorang jurulatih Sukan Paralimpik, Mohd Nur Arif yang mencadangkan gadis itu melibatkan diri dalam sukan angkat berat. Dorongan tersebut dibuat berdasarkan penilaian Mohd Nur terhadap kekuatan bahagian tangan Ecah.

Nekad untuk mengubah nasib, pelajar itu yang memiliki bakat melukis mencuba acara powerlifting 55 kilogram dan berjaya meraih pingat emas pada Kejohanan Para Sukma XIX Perak 2018.

Bukan sahaja beraksi cemerlang dalam Kejohanan Para Sukma, dia juga merangkul pingat emas pada Kejohanan Para Powerlifting Kebangsaan Sirkit 2 2019.

Iklan
ecah
ECAH dibantu oleh ibunya, Maimunah Md Razali, 53, untuk membiasakan diri menggunakan kaki palsu.

“Selain menjalani latihan di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, saya jadikan rumah sebagai gimnasium untuk berlatih angkat berat.

“Alhamdulillah saya dapat bangkit semula dan kalau diizikan-NYA, saya mahu tawan dunia menerusi sukan yang saya ceburi. Saya juga harap kawan-kawan senasib, janganlah bersedih. Masih ada peluang untuk kita berjaya,” katanya penuh semangat.

Transisi positif Ecah membuatkan bapa tiri, Roslan Sardi dan ibunya, Maimunah Md Razali sangat teruja.

“Kami gembira melihat Ecah sekarang. Kerisauan kami tentang masa depannya sudah terubat,” kata mereka.