SEMPENA HARI JURURAWAT ANTARABANGSA

PADA pertengahan Ramadan lalu, rata-rata media melaporkan, kadar penggunaan katil di hospital hampir penuh di beberapa buah negeri susulan peningkatan kes Covid-19.

Ada di antara hospital kerajaan yang mengendalikan kes berkenaan sudah tidak mampu lagi menampung pesakit. Justeru, pesakit dipindahkan ke hospital lain atau pendekatan lain, mereka terpaksa menggunakan wad biasa untuk merawat pesakit virus korona.

Mendengarkan pernyataan itu sahaja, boleh mengalutkan minda, apatah lagi kepada petugas barisan hadapan yang tidak henti mengerahkan kudrat. Situasi berkenaan nampaknya berterusan sehingga ke hari ini.

Melihat kepada senario yang menakutkan itu, bukan hanya mangsa dan waris sahaja yang perlu kental mengharungi tekanan tatkala diuji, malah kakitangan hospital seperti jururawat turut bergelut dengan perasaan sama.

Cerita mengenai jururawat yang mengalami stres berpanjangan akibat lambakan pesakit memang selalu didengari. Mereka juga antara kelompok yang tidak mempunyai kualiti masa yang berharga.

Untuk memperuntukkan masa bersama suami atau isteri dan anak-anak juga gagal dipenuhi, apatah lagi menjengah ibu bapa di kampung halaman.

Luahan keperitan mereka menerusi laman sosial memang cukup meruntun perasaan.

Memetik kata seorang jururawat yang juga rakan penulis, Ramadan direntasnya dengan penuh kesabaran, manakala Aidilfitri dilaluinya dengan penuh kesayuan.

“Nampaknya, virus Covid-19 dianggap enteng oleh segelintir pihak meskipun kadar jangkitan dan kematian semakin bertambah dari hari ke hari.

“Kena ingat, kami sebagai jururawat bukan hanya menjaga dan merawat pesakit Covid-19, malah pesakit-pesakit yang mempunyai penyakit lain juga bertambah dan perlu diberi perhatian.

“Terus terang saya katakan, makna keseronokan itu sudah hilang meskipun Aidilfitri menjelma. Fikiran kami hanya terbayangkan pesakit yang sedang terlantar,” luahnya secara sponton ketika kami berbual melalui panggilan telefon beberapa minggu lalu.

Penulis terkelu dan tidak mampu memberi reaksi balas. Sesungguhnya, pengorbanan beliau dan jururawat-jururawat lain begitu besar dan tidak terhitung.

Justeru sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia baru-baru ini, SinarPlus mengambil peluang menemubual tiga jururawat yang sama-sama tegar berjuang demi menyelamatkan banyak nyawa pesakit.

Kesanggupan mereka mengetepikan soal kegembiraan bersama insan tersayang ketika Aidilfitri, wajib diberi tabik hormat. Seperti kata mereka, pesakit sangat memerlukan mereka dan hospital tidak pernah bercuti.

Dayang Rohani hidupkan suasana raya di wad 

Apabila diskedulkan dirinya tidak dapat bercuti pada hari pertama Hari Raya, jururawat senior di Hospital Pantai Cheras, Dayang Rohani Nasip, 32, berkata, beliau pasrah.

Dayang Rohani.

Nampaknya, alunan takbir hanya didengarinya menerusi corong radio hospital.

“Kalau awak tanya perasaan saya, pastinya ia susah nak diluahkan dengan kata-kata. Sedih memang sedih kerana tak dapat tunaikan solat hari raya di masjid, sediakan juadah raya, berkumpul memohon maaf, apalagi berziarah di rumah saudara-mara,” katanya yang cuba menahan sebak.

Pun demikian, mengingatkan pesakit-pesakit yang memerlukan khidmatnya, perasaan pilu itu terpadam secara beransur-ansur.

“Mereka (pesakit) sentiasa dalam kotak ingatan saya. Bagi saya, tak kisahlah kalau tak dapat beraya kerana saya lebih puas melihat pesakit sembuh seperti sediakala daripada terus ‘menghuni’ wad,” kata anak jati kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu yang turut ditemani beberapa rakan sejawat yang lain meraikan lebaran di hospital.

Tidak mahu terus dirundung duka, Dg Rohani berkata, beliau dan rakan-rakan yang lain akan berkumpul bersama-sama untuk menghiasi wad di hospital bagi menghidupkan suasana pagi raya buat seketika.

“Meskipun tidak dapat pulang ke kampung halaman, sekurang-kurangnya persekitaran di hospital membangkitkan aura kegembiraan antara kami dan para pesakit yang sama-sama berkampung di rumah sakit,” katanya.

Ujar jururawat itu lagi, sepanjang tempoh tujuh tahun dalam perkhidmatan, beliau menzahirkan rasa syukur kerana suami dan keluarganya sangat memahami akan tanggungjawab yang dipikulnya.

“Kali ini disebabkan saya bertugas, suami membawa anak pulang ke kampung mertua saya di Selangor untuk meraikan hari raya di sana,” katanya.

Bukan kali pertama Nurul-Aina berkerja di pagi raya

Beritahu Nurul-Aina Mohamad Bidin, 31, raya pada tahun ini bukan kali pertama beliau perlu bertugas.

“Sudah beberapa kali saya diminta bekerja pada hari pertama raya. Perasaan sayu itu memang tak dapat dielakkan, tetapi rakan sekerja lain pandai memujuk saya.

“Pada pagi lebaran lalu, mereka berkongsi menu raya dengan saya. Mereka membawa lemang dan rendang untuk saya nikmati. Hilang sedih saya sekejap,” selorohnya yang bertugas sebagai jururawat di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang ketika dihubungi baru-baru ini.

Ironinya, selain beliau, empat adik beradiknya yang lain juga merupakan petugas barisan hadapan.

Iklan

“Secara kebetulan, kami semua kena bekerja pada hari pertama lebaran. Saya pula perlu bertugas sepanjang empat hari berturut-turut untuk syif pagi. Namun, kami sudah lali dengan tanggungjawab mulia ini. Ya, sekali lagi, kami tak berkesempatan berjumpa dengan mak ayah di kampung.

“Kami jauh di mata, tetapi dekat di hati. Kalau nak ikutkan, sudah empat bulan tak jumpa mereka (ibu bapa), saya mengharapkan semuanya akan baik-baik sahaja,” katanya yang turut ditugaskan untuk mengendalikan pesakit Covid-19 di lokasi yang sama.

Kepada SinarPlus, Nurul-Aina berkongsi cerita lagi. Ujar beliau, sepanjang sembilan tahun bertugas, terdapat satu kenangan yang tidak dapat dilupakannya.

“Ya, saya masih ingat lagi. Pada tahun 2014, saya telah diarahkan melakukan lawatan dari rumah ke rumah pada Hari Raya Aidilfitri.

“Pada masa itu, saya bekerja di Klinik Muadzam Shah. Ya, memang saya kelihatan seperti sedang bertandang (dari satu rumah ke rumah lain), tapi bukan berseronok untuk beraya, ya. Saya perlu lakukan pemeriksaan kesihatan ke atas penduduk lengkap dengan pakaian seragam lengkap jururawat.

“Memang manis untuk diimbau kembali. Sehingga ke hari ini, saya seperti sudah tidak kisah kalau tak dapat beraya sakan kerana sebagai seorang jururawat, saya seronok dengan kerjaya ini. Insya-ALLAH, saya  akan tunaikan amanah ini seikhlas dan sejujurnya tanpa ada keluhan,” katanya yang tidak pernah menyesal memilih kerjaya terbabit.

Mohd Izzuan siap siaga dengan kes kecemasan

Selain Dayang Rohani Nasib dan Nurul-Aina Mohamad Bidin, seorang lagi petugas barisan hadapan yang senasib dengan mereka berdua bertugas pada Hari Raya ialah Mohd Izzuan Shazmi Abdul Hadi, 29.

Mohd Izzuan Shazmi.

Sudah tujuh tahun bertugas di Hospital Pantai Laguna Merbok, Sungai Petani, Kedah, meraikan Aidilfitri di kawasan hospital sudah menjadi lumrah dalam hidupnya.

Bagaimanapun, kata jururawat itu, lebaran pada kali ini sedikit muram akibat penangan pandemik Covid-19.

“Pun begitu, bagi saya, raya tetap perlu diraikan meskipun wabak Covid-19 masih lagi mengganas. Namun, ia perlu diraikan dalam suasana sederhana dan pada masa sama mematuhi prosedur yang telah ditetapkan kerajaan bagi memutuskan rangkaian virus berbahaya itu,” katanya.

Selaku individu yang lali bekerja pada awal Syawal, Mohd Izzuan berkata, beliau sangat bersyukur dikurniakan ibu bapa yang sangat memahami kariernya sejak dahulu lagi.

Iklan

“Alhamdulillah, ibu dan ayah sentiasa faham akan tugas saya dan tidak pernah mempersoalkan keberadaan saya pada pagi raya.

“Saya yakin dan percaya, ibu ayah sangat berbangga dengan tugas saya. Pendekatan mereka membuatkan saya lebih semangat untuk membantu masyarakat atau pesakit di luar sana yang lebih memerlukan,” ungkapnya.

Ditanya bagaimana rasanya berhari raya di hospital, Mohd Izzuan terdiam seketika. Selepas beberapa saat, beliau berkata: “Mendengar takbir raya yang dilaungkan memang membuatkan saya sebak dan mungkin kepada sesiapa juga yang tidak dapat berada di samping keluarga tersayang.”

Kepada SinarPlus, Mohd Izzuan yang bertugas di Jabatan Kardiologi memberitahu, lazimnya rutin pada pagi raya, beliau dan enam frontliners lain perlu membuat pemeriksaan pada semua pesakit dan merekod tahap kesihatan harian.

“Ketika rondaan (pemeriksaan), suasana akan menjadi hiba seketika apabila kami jururawat akan saling berbalas ucapan hari raya dengan pesakit. Ya, sekurang-kurangnya kami ini sihat, mereka (pesakit) sedang berjuang untuk sihat. Sebenarnya, pengorbanan pesakit juga besar,” katanya.

Jika pembaca SinarPlus terbayangkan bahawa para pesakit akan dijamu dengan hidangan raya, telahan anda salah sama sekali.

Beritahu Mohd Izzuan, segala sajian yang diberikan masih mengikut kondisi pesakit.

“Sebenarnya, tiada menu yang istimewa pun seperti ketupat atau lemang terutama pada pesakit jantung yang saya dan rakan-rakan pantau kini. Saya yakin, prosedur di semua hospital sama. Aspek pemakanan memang perlu diberi perhatian walau pada musim perayaan,” tambah beliau.

Adakah terdapat banyak kes kecemasan yang diluar jangka pernah berlaku pada pagi 1 Syawal yang mulia? Jawapannya, ya, kata Mohd Izzuan.

“Kes kecemasan memang selalu ada. Berdasarkan pengalaman saya, mereka yang ditahan di wad kecemasan kerana beberapa komplikasi antaranya demam dan cirit-birit yang teruk. Terdapat juga kes pesakit mengalami simptom sakit dada sehingga mengalami kesukaran untuk bernafas.

“Pada ketika inilah, kami akan sibuk dan sedaya upaya akan memberi khidmat terbaik kepada semua pesakit tanpa mengira usia, bangsa atau keturunan,” ujarnya dengan nada semangat.