JIWA orang seni ini lain dan sanggup menghabiskan masa lama untuk menyiapkan satu karya. Bagi saya, mereka yang terlibat dalam seni rotan, ia merupakan satu kepuasan yang tak terhingga apabila melihat hasil perabot (rotan) yang dibuat dengan sentuhan sendiri siap dengan sempurna.”

Demikian kata Mat Yasin Mansor yang cukup meminati seni pembuatan perabot dan kraftangan berasaskan rotan.

Beliau kelihatan bersemangat tatkala bercerita dengan kami ketika proses penggambaran bersamanya untuk program Cerita Orang Kita bertajuk Keringat Si Pengusaha Rotan baru-baru ini.

Dengan nada penuh ceria, Mat Yasin berkata, bisnesnya yang bertapak di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor telah diusahakan sejak lebih 20 tahun lamanya.

Berkongsi cerita bagaimana dirinya boleh menceburi bidang itu, usahawan berusia 64 tahun memberitahu, beliau sendiri tidak menduga  rezekinya lebih terarah kepada perusahaan jenis itu.

“Sebenarnya, saya tiada asas membuat perabot rotan. Sebelum ini, saya bekerja sepenuh masa sebagai pemandu lori. Pun begitu, dek kerana minat mendalam, saya belajar dan membuat sendiri secara suka-suka.

rotan

“Siapa sangka, daripada minat untuk isi masa lapang, ramai yang datang mahu menempah pelbagai jenis perabot, kraftangan dan banyak lagi,” katanya sambil memberitahu, beliau memulakan perniagaan itu dengan bermodalkan kos RM300 sahaja.

Meskipun sudah hampir dua dekad berniaga, Mat Yasin berkata, kadangkala bisnes beliau ada pasang surutnya, lebih-lebih penangan Covid-19 yang mendorong kerajaan mengarahkan Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasakan.

“Untuk memperoleh untung yang besar bukannya senang. Kadang-kadang dalam tempoh seminggu, tiada satu pun perabot atau kraftangan rotan yang berjaya terjual.

“Pun begitu, saya masih teruskan membuat perabot yang baharu kerana percaya rezeki ALLAH. Meskipun apa yang saya buat ini belum tentu dapat duit, saya tetap berusaha dengan kudrat yang ada,” katanya yang tetap fokus dengan kerjanya walaupun bibirnya terus menjawab soalan demi soalan yang dilontarkan kru SinarPlus yang diketuai oleh wartawan, Addy Junaidi.

rotan

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Saat disogok soalan kononnya perabot rotan sudah tidak relevan, bapa kepada lapan cahaya mata itu menidakkan kenyataan tersebut.

Tegasnya, keunikan dan kualiti perkakas tersebut masih memiliki peminatnya tersendiri.

“Mungkin hal itu terjadi disebabkan harga rotan agak premium membuatkan mereka susah nak berbelanja. Bak kata orang, alah membeli, menang memakai. Lagi pula, mahu mendapatkan bahan mentah dari hutan pun agak susah sekarang ini.

Baca juga Celoteh fasih berbahasa Melayu, Dr Malar tak sangka dipilih muka depan majalah

“Namun percayalah, perabot rotan ini boleh mampu bertahan hingga 20 tahun lamanya setanding dengan harganya. Jika berbanding kualiti produk zaman sekarang, pakai setahun pun sudah rosak,” katanya.

Mat Yasin menambah, elemen rotan sangat istimewa padanya kerana ia mampu menghidupkan kenangan dan aura pada zaman silam.

Iklan

rotan

Pada masa sama, material berkenaan yang sukar dicari sebenarnya telah membuatkan graf semangatnya semakin membuak-buak untuk meneruskan perusahaan tradisional itu.

“Saya tak kisah berpanas dan bermandi keringat menyiapkan perabot rotan seorang diri. Saya juga terus berurusan mendapatkan bahan mentah daripada pembekal yang rata-ratanya orang asli,” katanya.

Rumit

Melihat proses mereka sesebuah perabot memang sangat renyah. Kata Mat Yasin, ia bermula dengan proses melentur batang menggunakan api bersuhu tinggi. Kemudian, rotan perlu ‘disulam’ dengan teliti sehingga siap sempurna.

Beritahu datuk kepada empat cucu itu, untuk menyiapkan sebuah kerusi rotan buatan tangan, ia mengambil masa lebih kurang tiga hari atau seminggu, bergantung kepada desain yang dipilih pelanggan.

Bca juga Sediakan 40 liang lahad untuk jenazah Covid-19 sehari, penggali kubur terima Anugerah Tokoh Frontliner Khas

Iklan

“Untuk menghasilkan produk berkualiti dan tahan lama, memang memerlukan fokus dan kesabaran yang tinggi. Bagi saya, kalau sudah minat, kita akan berusaha sebaik mungkin.

“Namun, sayang sekali, seni membuat rotan ini sudah tidak diminati anak muda. Saya bimbang seni rotan warisan ini akan dipelopori orang luar dan bangsa kita akan ketinggalan. Kalau boleh belajarlah,” ujarnya penuh berharap.

rotan

Menyambung perbualan, kata Mat Yasin, pada peringkat umurnya kini, bukan keuntungan yang dicari. Ia cukup sekadar untuk menyara hidup dengan kudrat yang masih tersisa untuk memastikan warisan perabot rotan terus utuh dan tidak dimamah zaman.

“Anak-anak boleh dikatakan ada yang pandai dan boleh buat, cuma pengganti untuk yang betul-betul 100 peratus serius mewarisi seni pembuatan perabot rotan masih belum nampak lagi.

“Sebabnya, saya lihat untuk bergantung (hidup) sepenuhnya dengan hasil jualan rotan bukannya mudah. Perlu ada iltizam dan semangat yang tinggi dan perlu cekal,” tuturnya.