CEO UPSC wanita pertama beriltizam naikkan prestij UPSC. Tolak persepsi wanita tak layak jadi pemimpin

CEO UPSC
September 26, 2021
Oleh Arziana Mohmad Azaman

BARU-BARU ini, SinarPlus memperoleh peluang keemasan mewawancara wanita pertama yang menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Wan Nazifah Wan Abdullah, 49.

Pertemuan secara empat mata bersama beliau membuka peluang kepada kami untuk mendekati dan merisik lebih banyak informasi tentangnya yang masih ramai lagi yang tidak tahu.

Sebaik sahaja tiba di Studio Karangkraf Sinar Harian, Shah Alam, Selangor dan memulakan sesi tatarias, Wan Nazifah terus membutirkan kata-kata yang meyakinkan, sekali gus menyerlahkan lagi sisi kepimpinan seorang wanita.

CEO UPSC

Bersembang dengannya membuatkan penulis terus mendokumentasikan segala panduan dan nasihat yang dikongsikannya.

Ternyata, pengalaman yang direntas anak kelahiran Kelantan itu selama lebih sedekad dalam industri hospitaliti kesihatan bukan calang-calang.

Maka, tidak hairanlah beliau dipilih menerajui jawatan CEO, UPSC. Kepercayaan yang diberikan kepadanya membuatkan wanita itu terus berazam meletakkan prestij organisasi itu pada mata dunia.

Tatkala ditebak soalan apakah perasaannya menyandang posisi yang begitu signifikan tersebut, wanita yang anggun dengan busana kasual dengan nada tenang berkata, keterujaannya mengendalikan satu pasukan yang hebat memberi satu tantangan yang sukar untuk diungkapkan.

CEO UPSC

"Lebih mencabar apabila saya diberi jawatan yang disandang seorang lelaki penuh aspirasi yang juga seorang Dekan Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Mohd Zamrin Dimon.

"Beliau yang merupakan pakar bedah kardiotorasik di negara ini mempunyai sarat pengalaman dalam menguruskan sebuah hospital. Kehadirannya banyak membantu saya dalam tempoh dua tahun ini dan sememangnya beliau seorang pemimpin yang luar biasa," ujarnya.

Meskipun mantan Ketua Pegawai Eksekutif di Kota Bharu Medical Centre (KBMC) itu mengakui dirinya tidak memiliki latar belakang dalam bidang perubatan, namun ilmu dan pengalaman lebih 16 tahun dalam bidang pengurusan hospitaliti kesihatan akan dimanfaatkan sepenuhnya.

"Ya, pada hemat saya, cabaran itu berganda-ganda lebih-lebih lagi saya seorang wanita. Untuk mengambil alih tanggungjawab daripada seseorang yang menjadi sumber inspirasi ramai ini sebenarnya berat. Saya perlu meletakkan objektif, misi dan visi yang jelas.

CEO UPSC

"Namun, berbekalkan pengalaman yang ada, saya akan terus berusaha untuk menjadi lebih baik. Apa yang boleh saya katakan, saya agak gementar kerana nature UPSC agak berbeza. Apa-apapun saya anggap ia sebagai satu peluang untuk mencabar diri," ungkapnya tanpa rasa gentar.

Wan Nazifah terus melantunkan semangatnya ketika kami berbicara. Ujar graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan UiTM itu, beliau berpegang kepada prinsip suka belajar.

Dengan sikap itulah membuatkannya tidak kekok untuk berhijrah daripada satu bidang ke bidang yang lain. Ia bermula dengan perbankan, kemudian beralih kepada industri perkapalan dan terkini dalam sektor hospitaliti kesihatan.

Sesungguhnya, kata wanita itu, berkhidmat di KBMC telah mematangkannya dari aspek pengurusan terutamanya.

"Jika dihitung, saya menabur bakti di KBMC selama 14 tahun. Di sana, saya cukup menghargai jasa Pengurus Besar KBMC ketika itu iaitu Mohd Nazri Yaacob yang berlapang dada dan sudi berkongsi ilmu.

CEO UPSC

"Saya belajar bagaimana beliau mengendalikan sesuatu situasi dan mempraktikkan kemahiran berkomunikasi bersama pelanggan serta rakan strategik hospital. Bermula saat itu, saya formulasikan pendekatan terbaik untuk dibawa ke UPSC," tuturnya.

Kemudian, apabila berada di UPSC dan mengetuai pasukan perubatan terbaik di organisasi itu sepanjang tempoh dua tahun, Wan Nazifah terus mencungkil potensi diri yang barangkali sebelum ini tidak nampak.

Baca juga Ratu Unduk Ngadau 2021 mahu semua penduduk hidup sebagai Keluarga Malaysia. Kikis sikap kenegerian

Iklan

"Bagi saya, bukan soal prestasi cemerlang semata-mata, tetapi aspek populariti juga menjadi faktor sampingan supaya setiap keputusan yang dibuat, proses transisi itu menjadi lebih mudah.

"Ini kerana dalam pembuatan sesuatu keputusan, bukan semua pihak boleh menerimanya, lebih-lebih mereka memiliki kepakaran masing-masing. Oleh itu, keseimbangan komunikasi dua pihak amat penting supaya majoriti memahami setiap keputusan dibuat adalah demi kebaikan bersama," katanya dengan yakin.

CEO UPSC

Sudah menjadi lumrah sesebuah organisasi yang pastinya akan berdepan dengan pelbagai liku dan ranjau. Namun, kata Wan Nazifah, semua itu telah mendidik dirinya menjadi seorang pemimpin yang cepat bertindak tatkala berdepan sebarang situasi yang tidak diduga.

"Inilah dikatakan hambatan dalam berkerja dan saya sendiri pernah melalui keadaan yang di luar jangka. Pun demikian, saya mengambil pendekatan agar jangan sesekali panik. Kita perlu mendengar apa isu yang berlaku, hadam dan kemudian berfikir untuk mencari penyelesaian terbaik.

"Keupayaan untuk berfikir secara positif ketika berdepan insiden pada masa singkat bukannya perkara enteng, namun berkat pengalaman dan ilmu menjadikan saya sudah terbiasa untuk berfikir di luar kotak," katanya.

Tolak stigma negatif

Berkesempatan bersama personaliti yang optimis dan berdedikasi itu, penulis melanjutkan perbualan dengan bertanya tentang perspektifnya mengenai keraguan sesetengah pihak yang menyangkal keupayaan wanita menjadi pemimpin dan lebih menganggap mereka hanya sesuai duduk di rumah sahaja.

Mendengarkan sahaja persoalan itu dilontarkan, Wan Nazifah terus memberi respons pantas. Dengan pernyataan penuh penegasan, beliau kurang bersetuju dengan pandangan kuno itu.

Baca juga Masuk 'bandar berhantu', tidur dengan lipas, 10 hari tak mandi! Itu antara momen ekstrem Hazwani dalam laksana misi kemanusiaan

"Kaum Hawa sebenarnya mampu menjadi insan yang unggul dalam apa jua bidang yang diceburi mereka. Disebabkan stigma negatif sedemikian rupalah, para wanita perlu berusaha lebih keras untuk membuktikan keupayaan diri.

"Kena ingat, kerja-kerja di dapur juga mengajar seseorang untuk menitikberatkan sifar kesabaran, kecekapan dan kreativiti. Semua skil itu jika digemblengkan dalam organisasi, tidak mustahil formula empirik tersebut akan memantapkan lagi sesuatu tugasan atau kerja menjadi lebih efisien," katanya.

CEO UPSC

Iklan

Anak ketiga daripada 14 beradik itu terus berhujah. Ungkapnya, beliau mengakui bahawa sehebat mana pun insan bergelar wanita, golongan itu tahu di mana ‘tempat‘ mereka.

Maka, pendapat yang mengatakan wanita perlu bersaing setara dengan lelaki ditolak wanita itu.

"Kenapa saya berpandangan begitu? Jujur saya katakan, keupayaan wanita tidak akan sama dengan lelaki dalam apa jua perjuangan kerana wanita ini lebih mudah beremosi.

"Justeru, adalah lebih baik jika kita berlawan dengan ‘diri sendiri‘ dan bukannya dengan kaum Adam," katanya yang turut berpandangan kesedaran terhadap pemerkasaan wanita di Malaysia semakin meningkat.

Baca juga Simpan cita-cita mahu menjadi pakar psikologi, Che Puan Sarimah ligat perjuangkan isu kesihatan mental

Jelas wanita yang gemar mendekorasi kediaman itu, sumbangan kaum Hawa dalam kemajuan pembangunan ekonomi dan masyarakat di negara ini dilihat bertambah baik kerana bersama-sama dan beriringan dalam menyuntik elemen kekuatan dalam sesebuah pasukan.

Bercerita tentang galangan menjadi pemimpin dan pada masa sama bergelar suri rumah dan ibu, Wan Nazifah berkata, peranan itu memang tidak mudah.

CEO UPSC

"Justeru, sebagai wanita yang diberi tanggungjawab sebagai ketua, kita perlu lebih kreatif dan proaktif dalam apa juga hala tuju yang dibawa supaya organisasi yang dipimpin mampu berkembang menjadi lebih baik.

"Meskipun ramai wanita masih tidak percaya, bahkan meragui kemampuan diri dalam menerajui sektor industri, apa yang boleh saya katakan, perlu cepat bertindak supaya dapat menganalisis lebih mendalam bakat sedia ada," ujar pencinta rona firus dan coklat itu.

Keluar dari zon selesa

Lazimnya, dalam hidup ini, setiap daripada kita pastinya mempunyai ikon atau idola yang dijadikan sebagai panduan, contoh, ikutan dan sumber inspirasi. Begitu juga dengan Wan Nazifah.

Selain Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, CEO UPSC itu berterus terang bahawa suaminya, Shamsul Bahrin Abdullah, 54, adalah individu penting yang menjadi tulang belakang hidupnya.

CEO UPSC

"Suamilah sistem sokongan terbaik dan beliau banyak membentuk saya daripada seorang yang pendiam, kini menjadi lebih berani dan berkeyakinan tinggi," katanya memahat kata.

Saat ditanya bagaimana ibu kepada seorang cahaya mata yang berusia sembilan tahun itu membahagikan masa bersama keluarga di tengah-tengah kesibukannya, Wan Nazifah mengakui dirinya tidak mempercayai konsep tersebut. Baginya, paling penting adalah elemen komunikasi sesama suami dan anak.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

"Ini kerana ada masanya saya masih bekerja walaupun berada di rumah dan apa yang saya buat, saya akan kongsikan cerita apa yang berlaku di pejabat dan berterus terang mengenai tugasan yang sedang dilakukan.

"Jika pasangan kita memahami keadaan dan bertolak-ansur, semua urusan menjadi mudah. Sebab itu, bagi saya sokongan emosi sangat penting untuk terus fokus dalam apa juga tanggungjawab yang digalas," kongsi beliau sambil tersenyum manis.

CEO UPSC

Sebelum melabuhkan bicara, pemimpin yang mempunyai semangat juang yang tinggi itu sempat menitipkan kata-kata azimat buat para wanita di luar sana.

Katanya, amat penting untuk kaum Hawa keluar dari zon selesa agar potensi diri sebenar dapat terus digali. Selagi tidak memulakan sesuatu perubahan, mereka akan terus berada di takuk lama kerana tanpa usaha, kejayaan tidak akan datang bergolek.

"Sebab itu, saya nasihatkan semua wanita agar kita menilai dan memilih masa sesuai untuk menghentikan sesuatu, memulakan dan meneruskan. Kita juga perlu sentiasa memotivasikan diri dan menanam sifat positif dalam diri.

"Kepada golongan muda pula, jangan terlalu memilih mencari kerja. Kita perlu sesuaikan diri dengan apa juga keadaan dan bekerjalah sepenuh hati kerana satu hari nanti kita mampu berada di atas," nasihatnya.

About Arziana Mohmad Azaman