MEMBAYANGKAN sahaja sudah cukup susah namun gadis tanpa tangan, Norfarrah Syahirah Shaari mampu membuktikannya apabila melipat cebisan kain menggunakan jari kaki dengan sempurna.

Lincah sahaja melihat jari jemari kaki kakitangan Kolej Komuniti Teluk Intan kelainan upaya itu menjahit kelengkapan perlindungan diri (PPE) petugas perubatan barisan hadapan (frontliner).

Video berdurasi 1 minit 59 saat itu dengan kaspyen bersahaja menarik perhatian ramai lebih-lebih lagi menjadikan sesiapa yang melihatnya terkesima dengan keupayaan gadis luar biasa itu.

“Ramai yang nak tengokkan macam mana saya menjahit guna kaki. Ok, saya tunjuk skill saya menjahit guna kaki je dengan cara saya sendiri. Semangat nak menjahit baju PPE Frontliner ni.

“Ni je yang mampu saya dan team staf kolej komuniti Teluk Intan serta beberapa sukarelawan tukang jahit sekitar Teluk intan yang semangat nak membantu. Semoga urusan kami dipermudahkan, amin,” kongsinya dalam media sosial.

inspirasi
KEMAHIRAN menjahit menggunakan kaki membuatkan sesiapa sahaja terkesima melihat video yang tular di dalam media sosial.

Siapa sangka, penceramah motivasi itu terus memberikan inspirasi kepada orang ramai dengan beberapa videonya yang tular memandu kereta dan tutorial memakai selendang serta telekung.

Iklan

Projek amal dan tanggungjawab sosial (CSR) #DariKomunitiUntukKomuniti itu melibatkan 10 sukarelawan yang juga kakitangan Kolej Komuniti Teluk Intan termasuk Norfarrah Syahirah.

Aktiviti menjahit PPE untuk frontliner Hospital Teluk Intan dan Klinik Kesihatan Teluk Intan oleh team sukarelawan itu bersama 30 tukang jahit komuniti yang tinggal di sekitar 10 kilometer dari kolej terbabit.

Iklan
inspirasi
SUKARELAWAN yang juga kakitangan Kolej Komuniti Teluk Intan bersama tukang jahit komuniti bekerjasama menyiapkan PPE.

Sebanyak 400 meter kain PPE yang dipotong di kolej dan di rumah beberapa tukang jahit dikumpulkan sebelum diagihkan kepada sukarelawan untuk dijahit di rumah masing-masing.

Dengan tanda pagar #darikomunitiuntukkomuniti, video yang tular dalam media sosial meraih hampir 5,000 tontonan selepas dikongsikan penyanyi dangdut versatil yang juga penyampai radio Kool FM, Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin.