SETIAP kali pada bulan Rejab, masyarakat Islam akan memperingati peristiwa Israk Mikraj yang berlaku ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Peristiwa tersebut antara lain bertujuan untuk mengajar erti kehambaan kepada ALLAH SWT.

Syaikh Dr Wahbah al-Zuhaili dalam kitab Tafsir al-Munir menjelaskan bahawa perkataan Israk bermaksud perjalanan pada malam hari.

Secara istilah pula, Israk bermaksud perjalanan Rasulullah SAW pada suatu malam dari Masjidil al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin.

ALLAH SWT telah merakamkan peristiwa Israk dalam ayat yang bermaksud: “MAHA SUCI ALLAH yang telah memperjalankan hamba-NYA (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (Mekah) ke Masjid al-Aqsa (Palestin), yang KAMI berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) KAMI. Sesungguhnya ALLAH jualah yang MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI.” (Surah al-Israk, ayat 1)

Sementara perkataan Mikraj menurut bahasa bermaksud naik. Secara istilah membawa makna Nabi Muhammad SAW naik ke Sidratul Muntaha.

Syaikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahwa Sidratul Muntaha adalah tempat tertinggi di langit yang menjadi batas hujung pengetahuan dan amal aktiviti makhluk.

Seterusnya, tiada seorang makhluk pun mengetahui sesuatu yang ada di belakangnya.

Peristiwa Mikraj juga telah dirakamkan oleh ALLAH SWT dalam ayat yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain (iaitu) di Sidratul Muntaha. Dekatnya ada syurga tempat tinggal. (Nabi Muhammad melihat Jibril) ketika di Sidratul Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Nabi Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar.” (Surah al-Najm, ayat 13 hingga 18)

Israk dan Mikraj merupakan tasliyah (hiburan) daripada ALLAH SWT untuk Nabi Muhammad SAW yang dilanda perasaan dukacita kerana dua insan yang disayangi telah meninggal dunia iaitu isteri Nabi Muhammad SAW, Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib sehinggakan tahun tersebut disebut dengan am al-huzn (tahun dukacita).

Perjalanan baginda dalam peristiwa Israk dan Mikraj mendidik masyarakat Islam bahawa ada masa dan ketikanya perlu berehat sejenak untuk memberi laluan dan pengisian terhadap diri sendiri dengan kisah-kisah yang memotivasikan.

ALLAH SWT telah merehatkan seketika Nabi Muhammad SAW untuk memberi hiburan kerohanian atau tempoh bertenang yang akan memantapkan motivasi baginda pada masa akan datang.

Ketika peristiwa tersebut berlaku, Rasulullah telah singgah di Masjid al-Aqsa dan bertemu dengan para nabi.

Baginda kemudiannya dipertontonkan dengan Nabi Musa AS, Nabi Isa AS dan Nabi Ibrahim AS yang mendirikan solat. Sudah tentu perasaan gembira wujud dalam jiwa baginda ketika diperlihatkan dengan sejumlah besar para nabi yang dahulunya turut berjuang menyampaikan risalah.

Transit atau persinggahan Rasulullah di Masjid al-Aqsa adalah sebagai simbolik meneruskan perjuangan para nabi yang majoriti dari bumi Palestin.

Ia bukan sekadar semata-mata kerana masjid tersebut, tetapi turut diperlihatkan dengan situasi para nabi yang mendirikan solat dengan penuh kerehatan dan kegembiraan. Peristiwa itu mendidik dan mengajarkan kepada Nabi Muhammad SAW bahawa solat akan menjadikan seseorang hamba kuat dan kental.

ALLAH SWT telah hadirkan motivasi pertama buat baginda ketika di Masjid al-Aqsa dengan mengimamkan para nabi bagi mengatasi perasaan kedukaaan Rasulullah SAW ketika di Mekah, ditolak dakwah, dicaci dan dicemuh oleh masyarakat.

Iklan

Selanjutnya dalam peristiwa itu, baginda telah diperintahkan kefardhuan solat lima waktu sehari semalam. Kepentingan dan kedudukan solat yang tinggi dizahirkan melalui perintah yang diberikan oleh ALLAH SWT kepada Nabi Muhammad SAW secara langsung tanpa melalui perantara Malaikat Jibril.

Solat menjadi tasliyah (hiburan) bagi hamba ALLAH SWT sewaktu berada di atas dunia ini yang pasti diuji dalam kehidupan.

Seseorang hamba boleh berdialog secara langsung dengan ALLAH SWT dalam setiap bacaan, untaian zikir dan doa yang diungkapkan ketika solat.

Solat juga adalah waktu seseorang hamba untuk hampir, rapat dan dekat dengan ALLAH SWT dalam mengadu permasalahan dan melepas kerinduan serta bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan.

Solat boleh menjalin hubungan dan ingatan berterusan dengan ALLAH SWT tanpa ada ruang untuk terpisah dalam jangka masa yang lama melalui pelaksanaan solat fardhu lima waktu, solat sunat rawatib, solat sunat di malam hari, solat sunat mutlak dan sebagainya.

Iklan

Demikianlah, peristiwa Israk dan Mikraj banyak mengajarkan bahawa solat adalah perkara utama dan penting dalam kehidupan manusia supaya terjalin hubungan dengan ALLAH SWT dalam apa jua situasi.

 

DR. AZRI BIN BHARI
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam, Selangor