BUKAN sekadar pasukan pengakap biasa-biasa ya? Pengakap Kelana B-Blackflurry buktikan mereka mampu berbakti untuk meringankan beban petugas barisan hadapan (frontliner).

Simpati dengan kesusahan yang dihadapi frontliner yang terpaksa membuat peralatan perlindungan diri (PPE) sendiri, pasukan Pengakap Kelana B-Blackflurry yang berpangkalan di Pasir Mas, Kelantan itu tampil menggerakkan kerja amal.

Sasaran sebanyak 10,000 unit perlindung muka (face shield) menjadi fokus utama selepas kejayaan projek pertama berjaya menyiapkan 1,000 unit, berkat sumbangan dana orang ramai.

blackflurry
SASARAN sebanyak 10,000 unit perlindung muka menjadi fokus utama Pengakap Kelana B-Blackflurry.

Bagi Nor Azlin Mat Nor, apalah sangat sumbangan face shield jika dibandingkan dengan kegigihan pasukan frontliner yang bertungkus-lumus berkhidmat dan pada masa sama, menyiapkan PPE sendiri.

“Cukup meruntun hati apabila terbaca dalam satu hantaran di media sosial yang mana petugas barisan hadapan ini terpaksa membuat PPE sendiri sedangkan mereka sibuk menguruskan wabak Covid-19.

“Terdetik daripada itu, saya bersama 20 sukarelawan yang juga ahli pengakap mengambil inisiatif untuk mengurangkan beban mereka,” katanya yang kini sudah berjaya menyiapkan 4,500 unit perlindung muka.

Menurut ketua Projek Face Shield Heroes itu, sebanyak 1,000 unit diagihkan untuk keperluan petugas kesihatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II manakala 500 unit lagi untuk Hospital Tumpat.

“Kita juga mengagihkan bantuan sama kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Kuala Bharu Medical Centre. Tidak lupa juga kepada Hospital Kuala Krai yang memerlukan.

Iklan
Blackflurry
SUMBANGAN diagihkan untuk keperluan petugas kesihatan di beberapa hospital di Kelantan.

“Kami memahami keadaan kritikal dengan jarak yang jauh, sumbangan 1,000 unit perlindung muka untuk petugas di Hospital Kuala Krai diharapkan dapat meringankan beban,” ujarnya.

Berkongsi mengenai inisiatif murni itu, penolong pemimpin pasukan tersebut turut menyarankan kepada persatuan yang berkelapangan supaya dapat membantu membuat PPE yang diperlukan.

Iklan

“Mungkin persatuan yang ada ketika ini boleh bantu siapkan PPE yang diperlukan petugas frontliner dari rumah sahaja seperti yang kami jalankan ketika ini.

“Bagi mereka yang ingin membantu menjahit atau membuat PPE atau sumbangan dana, boleh rujuk facebook atau instagram @blackflurryrovers untuk maklumat lanjut,” bicaranya.

Blackflurry
SUMBANGAN bagi menghargai kegigihan pasukan frontliner yang bertungkus-lumus berkhidmat demi negara.