BELIAU berada jauh nun di sana. Namun, capaian internet telah memudahkan komunikasi penulis bersama dengan Pensyarah Pengimejan Perubatan (Radiologi) di Gulf Medical University, Ajman, Emiriyah Arab Bersatu, Dr Mohd Nazmi Che Nordin.

Komunikasi antara kami sangat mudah. Berhubungan melalui Whatsapps, kemudian telah membawa kami bertentang empat mata melalui aplikasi Zoom.

Tepat jam 12.30 tengah hari pada hari Selasa baru-baru ini, sesi wawancara bermula, walaupun kadangkala terdapat sedikit gangguan talian. Ya, beza zon waktu menjangkau empat jam. Namun, ia langsung tidak menjadi penghalang kepada temu janji kami.

dr mohd nazmi che nordin

“Sebenarnya, saya baru lapan bulan mengajar di UAE. Di kampus swasta ini, rata-rata penuntut dari Rusia, Nigeria, Palestin dan Jordan, jadi masing-masing ada budaya dan resam sendiri. Itu belum ambil kira dengan masyarakat di sini. Mudah kata, saya masih dalam proses belajar menyesuaikan diri lagi,” katanya membuka mukadimah.

Sebenarnya, UAE bukanlah singgahan pertama Dr Mohd Nazmi sebagai anak perantau. Sebelum terbang ke bumi Arab, beliau pernah melanjutkan pengajian di peringkat PhD dalam bidang Pengimejan dan Intervensi (Radiologi) selama empat tahun (2017 hingga 2020) di Hong Kong, China.

Seusai itu, demi mahu menimba pengalaman dan membina profil kerjaya di peringkat antarabangsa, rezekinya akhirnya termaktub di UAE.

dr mohd nazmi che nordin

“Itulah sedikit salasilah perjalanan hidup saya. Sebelum ke Hong Kong, saya belajar di Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) dalam bidang sama. Saya juga pernah mengintai peluang bekerja di United Kingdom, New Zealand dan Australia, namun sudah tertulis saya berada di sini (UAE).

“Ironinya, saya ditemu bual secara maya oleh pihak Gulf Medical University secara maya pada bulan Ramadan yang mulia juga,” katanya.

Berseorangan

Kepada SinarPlus, pemuda berusia 32 tahun yang masih bujang itu berkata, berada di UAE, beliau tidak berasa terlalu janggal.

Masakan tidak, berkongsi pengalaman menyambut Ramadan di sana, lelaki yang berusia 32 tahun itu tidak berasa asing di bumi Arab kerana komuniti anak Malaysia cukup ramai iaitu dianggarkan lebih 3,000 orang.

“Jika dibandingkan Ramadan di Hong Kong setahun lalu, saya seorang diri sahaja kerana tiada penuntut Malaysia di sana. Saya pasti akan membawa bekal setiap hari sebagai juadah berbuka kerana pilihan makanan halal tidak banyak.

dr mohd nazmi che nordin

“Di UAE pula agak mudah kerana banyak restoran halal, cuma harganya agak mahal. Sebab itu, saya lebih suka untuk masak sendiri, lagi jimat,” katanya yang duduk berseorangan di sebuah apartmen studio di tengah bandar Ajman.

Bagi memastikan menu kegemarannya dapat dinikmati pada setiap hari, Dr Mohd Nazmi memberitahu, beliau sanggup belajar memasak daripada ibunya, Azizah Said, 54, melalui panggilan video. Antara sajian yang dipelajarinya secara virtual adalah asam pedas dan sambal tumis.

“Alhamdulillah, di sini bahan rempah-ratus memang mudah didapati. Mama beritahu senarai bahan dan kemudian akan beri tutorial satu persatu untuk setiap masakan kesukaan saya. Setakat ini, saya dah boleh masak, tetapi memang tak boleh lawanlah masakan mama di kampung halaman.

“Secara jujurnya, saya tak berapa suka makanan menu Asia Barat. Tekak orang Melayulah katakan,” katanya berseloroh.

Hidup berkelana di perantauan, membuatkan anak kelahiran Perlis itu lebih berdikari.

“Jika dulu saya jenis tak suka masuk dapur, tetapi bila dah merantau ini, saya kena lebih ‘bekerja keras‘ terutama bab menyediakan makanan. Di sini memang tiada satu pun kedai masakan Melayu, jadi saya tiada pilihan,” katanya.

Kalau diikutkan, sudah hampir dua minggu Dr Mohd Nazmi berpuasa di UAE. Ujar lelaki itu, sepanjang tempoh tersebut, beliau berseorangan ketika berbuka puasa mahupun bersahur.

“Ini adalah hakikat yang perlu saya hadapi apabila berada di negara orang. Bayangkan setiap kali sahur dan iftar, wajah mama dan abah pasti terbayang. Momen saya ‘kacau‘ mama yang sedang memasak di dapur dan menghabiskan lauk-pauk yang dimasaknya sentiasa berada dalam benak fikiran saya.

“Lazimnya, kalau berada di kampung, pada hari pertama puasa, kami sekeluarga akan berkumpul beramai-ramai untuk iftar, solat tarawih berjemaah dan paling menarik, mestilah dapat makan masakan mama. Kali ini, suasana berbeza sungguh, saya bersendirian. Saya juga tidak dapat pulang beraya ketika Syawal ini,” katanya.

Pastinya, tutur mantan duta Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia itu, keriangan hari raya pasti tidak dapat dirasai.

“Ya, saya sudah dapat rasakan kepiluan itu. Dari hati yang terdalam, saya cukup sayu kerana tidak dapat mencium tangan kedua ibu bapa di pagi raya,” katanya.

dr mohd nazmi che nordin

Iklan

Mengikut perancangan, pemuda peramah itu berkata, beliau mungkin akan cuba untuk pulang ke Malaysia untuk menyambut Hari Raya Aidiladha pada bulan Julai depan.  Untuk rekod, beliau sudah mengambil vaksin Covid-19.

Bagi mengisi kekosongan hati, Dr Mohd Nazmi berkata, sepanjang Ramadan ini beliau mengambil kesempatan menjual beberapa barangan seperti kurta, jubah dan abaya melalui laman Facebook.

dr mohd nazmi che nordin

“Sebenarnya, kalau nak diikutkan, memang agak tertekan apabila duduk seorang diri tanpa keluarga. Jadi, saya manfaatkan masa yang ada dengan benda yang saya suka iaitu berniaga selain menyiapkan kajian. Walaupun untung yang dapat tak sebesar mana, tetapi saya puas,” ujarnya.

Dunia seni

Lupakan seketika tentang Ramadan dan raya, penulis mengambil kesempatan bertanya tentang sampai bilakah beliau akan terus berkelana di negara asing?

Dr Mohd Nazmi sambil tersenyum berkata, beliau sama sekali tidak akan menolak jika ada rezeki yang lebih baik untuk mengajar di universiti tempatan.

“Saya sebenarnya mahu mencari lebih banyak pengalaman dan ilmu di negara luar demi membina kerjaya yang lebih baik. Masih terlalu awal untuk mengatakan bila akan balik mengajar di Malaysia memandangkan saya baru lapan bulan di sini.

“Selain mencantikkan resume, saya tidak menolak jika ada tawaran di tanah air. Lagipun kontrak saya di Gulf Medical University hanya dua tahun saja. Apa-apapun saya berserah pada rezeki ALLAH SWT,” ujar beliau.

Iklan

Seperkara, kata alumni UiTM itu, beliau turut mendapat dorongan padu daripada ahli keluarganya.

“Ibu dan ayah saya seorang cikgu, mereka sangat menggalakkan saya untuk mencapai segala impian yang saya pasakkan. Saya memang nekad untuk pastikan diri terima PhD sebelum umur 30 tahun. Alhamdulillah, saya berjaya mencapai impian itu walaupun lewat setahun.

“Sekarang ini, saya sibuk mengajar dan pada masa sama menyiapkan kertas penyelidikan sambil mencari jodoh yang belum kunjung tiba,” katanya dengan hilaian tawa.

dr mohd nazmi che nordin

Lebih sejam bersembang dengannya, barulah penulis mengetahui doktor berkenaan pernah berlakon dalam drama siri Tundukkan Playboy Itu.

Justeru, apa jadi dengan penglibatannya dalam dunia seni, sudah berakhirkah?

“Jika difikir kembali, memang rindu nak masuk set penggambaran semula dan ketika saya sambung Phd di Hong Kong pun, ada pengarah menawarkan job, namun disebabkan kedudukan geografi, saya terpaksa menolak dengan baik,” katanya yang memberitahu, pembabitannya sebagai pelakon adalah selepas memenangi pertandingan Mister Planet Malaysia pada tahun 2015.

Berbalik kepada cerita lebaran, Dr Mohd Nazmi menyampaikan salam kerinduan kepada ahli keluarga dan sanak saudara di Malaysia.Ya, pada pagi Aidilfitri nanti, ujar beliau, hanya panggilan video bakal pengubat kerinduan.