TIDAK mengendahkan keadaan lutut yang melecet teruk, berdarah dan diselaputi najis haiwan. Semua dugaan itu tidak mematahkan semangat Azrulkhan Hasrullah Matsah untuk terus merangkak sehingga berjaya tiba ke Kem Induk Gunung Everest.

Walaupun dadanya sakit dan sukar bernafas dek muka dipenuhi debu pasir akibat menunduk terlalu lama namun tidak menghalang anak keempat daripada sembilan beradik itu untuk tiba di tapak kem setinggi 5,364 meter dari aras laut.

Impiannya hanya satu. Mahu membuktikan anak Malaysia kelainan upaya (OKU) mampu sampai ke Kem Induk menggunakan kekuatan tangan dalam pada suhu mencecah sehingga -16 darjah Celsius.

Lumpuh kedua-dua kaki kerana menghidap penyakit polio ketika berusia lapan bulan selepas diserang demam panas tidak menjadi penghalang buat anak kelahiran Kuching, Sarawak tersebut meneruskan misi luar biasa.

Pemilik nama pena Adam Khan itu dilihat meraup mukanya ketika diminta berkongsi pengalaman 15 hari ke Kem Induk Everest seraya berkata, ia pengalaman tidak akan dilupakan.

adam khan
BUKU yang berjaya dihasilkan Adam yang menceritakan kisah hidupnya sekali gus memberikan inspirasi kepada orang ramai.

“Saya tidak dapat elak debu pasir masuk ke dalam hidung walaupun memakai penutup mulut kerana merangkak jalan berpasir. Sampaikan saya batuk, batu hitam keluar dari hidung.

“Sepanjang misi ke Kem Induk, saya menggunakan kekuatan tangan untuk melalui trek berbatu curam dan licin dengan ais. Lutut melecet teruk walaupun pakai seluar tebal,” ceritanya ketika ditemui Sinar Plus di Seri Kembangan baru-baru ini.

Ditanya mengenai kesungguhan mencabar diri dengan aktiviti ekstrem, Adam Khan tidak menafikan dia tidak berpeluang untuk mencuba aktiviti seumpama itu ketika zaman kanak-kanak dan remaja.

“Masa di sekolah saya lebih kepada duduk di dalam kelas seorang diri ketika sesi pendidikan jasmani. Saya bosan dan bila tengok rakan-rakan bermain bola, saya jadi cemburu.

“Ketika di universiti pula, saya lebih banyak libatkan aktiviti persatuan OKU. Tidak pernah terfikir untuk sertai aktiviti mendaki bukit atau gunung hinggalah pada satu hari hati saya bagaikan dijentik sesuatu,” kongsinya.

Gambar yang dikongsi di media maya oleh bekas rakan sekolah yang menyertai aktiviti mendaki gunung menjentik hatinya. Ketika itu bagai dirasuk, Adam Khan mahu menyertai trip seterusnya.

“Saya hubungi rakan dan meluahkan hasrat untuk menyertai misi mendaki. Tapi rakan menolak lembut kerana bimbang keadaan saya.

adam khan
ADAM Khan menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihan, Sharifah Syafiqah Syed Nasir.

“Namun ALLAH berikan jalan apabila seorang rakan yang juga OKU mengajak mendaki Bukit Broga. Itulah bukit pertama saya berjaya daki sebelum lebih 10 bukit seluruh negara saya tawan bersama Team Anak Gunung,” ujarnya bangga.

Iklan

Pastinya pengalaman pertama mendaki menjadi peristiwa manis tidak dapat dilupakan apatah diberi sokongan insan tidak dikenali ketika mendaki Bukit Broga pada tahun 2017.

Tidak dinafikan pada mulanya, perasaannya sentiasa berbelah bagi dan runsing memikirkan apa kata orang.

“Masa itu saya cuba lawan diri sendiri dan kuatkan hati untuk teruskan misi. Ketika menunduk untuk melalui jalan berbukit, tiba-tiba saya terdengar satu suara menjerit “Bro engkau boleh Bro, you can do it!” berulang kali diiringi tepukan.

“Saya terkejut dan mendongak. Terkedu melihat ramai orang tidak kira Melayu, Cina dan India memberikan sokongan dan membuka laluan untuk saya. Masa itu memang rasa seram sejuk dan bulu roma meremang,” katanya sebak.

Iklan

Penulis buku Kembara Merangkak Puncak yang pernah menawan Gunung Kinabalu itu tidak menolak keupayaan OKU berbeza mengikut kemampuan sedia ada.

adam khan
ADAM berkongsi pengalaman sepanjang 15 hari merangkak sebelum selamat tiba di Kem Induk Gunung Everest.

“Menulis ini pun satu benda baharu dalam hidup saya namun saya tetap bersyukur kerana dapat siapkan buku dalam tempoh lapan bulan dengan bimbingan editor.

“Buku pertama ini adalah coretan hidup supaya memberikan inspirasi kepada semua,” bicaranya yang juga pemilik saluran Sumber Inspirasi di YouTube.

Profil

  • Nama: Azrulkhan Hasrullah Matsah
  • Nama komersial: Adam Khan
  • Umur: 28 tahun
  • Kerjaya: Pengurus syarikat perkhidmatan dan latihan serta pengurusan program OKU, penceramah motivasi dan penulis buku
  • Status: Berkahwin
  • Isteri: Sharifah Syafiqah Syed Nasir
  • Asal: Kuching, Sarawak
  • Tahap pendidikan: Siswazah Komunikasi Massa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
  • Pencapaian:Anugerah Atlet Istimewa UIAM (2016) Misi Gunung Kinabalu
  • Malaysia Book of Records: OKU Pertama Merangkak Puncak Gunung Kinabalu 2017
  • Anugerah Pencapaian Luar Biasa UIAM 2018
  • Tokoh Belia Selangor 2018
  • Anugerah Belia Perdana Johan Kategori Khas 2019
  • Malaysia Book of Records: Most Extraordinary Malaysia 2019
  • Instagram: @siswalabahlabah
  • Facebook: Hasrullah Azrulkhan