HATI siapa yang tidak tercuit tatkala menonton video lucu hasil suntingan instafamous kreatif, Hammad Zamakhshari Mohd Noor, 33.

Sering berkongsi momen di media sosial bersama adik istimewanya, pancaran keikhlasannya yang bersahaja menunjukkan kasih sayang pasti mencairkan hati sesiapa sahaja yang menyaksikan keletah mereka.

Barangkali lebih menyentuh jiwa warga siber, meskipun sudah berumah tangga dengan kekasih hati yang dikenali sebagai Cik Bunga atau nama sebenarnya Nur Mahfuzah Zulkifli, 30, kasih abang terhadap adiknya itu dilihat tidak berkurang.

Bapa anak satu yang lebih dikenali dengan gelaran Abang Penyayang Makhlok Macho itu cukup dikenali ramai selepas video suntingannya tular sehingga meraih undian tertinggi pada Anugerah Personaliti Media Sosial 2017.

Siapa sangka, hubungan mesra adik-beradik yang sering dikongsikan dalam akaun Facebook, Instagram dan YouTube itu mempunyai peminatnya tersendiri sehingga mencecah lebih 800,000 pengikut.

Masakan tidak, video lucu dirakam secara spontan menunjukkan seolah-olah satu diari harian gadis istimewa, Afiatul Salsabiila, 22, yang lebih mesra dipanggil Cik Piah untuk tontonan umum.

bengah
HUBUNGAN Cik Piah dan Cik Bunga yang rapat juga mencuit hati warga siber.

Bagi Hammad Zamakhshari, asalnya idea merakam aktiviti harian dirinya bersama adik bongsu yang disahkan sindrom Down (SD) sejak kecil itu sekadar suka-suka untuk mengisi masa lapang.

“Saya mula kongsikan momen kami sekeluarga dan ada ketikanya saya berdua dalam Facebook sejak 2009 lagi. Bila orang suka kongsi dan ikut perkembangan Cik Piah, pengikut pun semakin ramai,“ ujarnya yang acap kali juga berkongsi momen isteri tersayangnya, Cik Bunga yang betah melayan keletah adik bongsunya itu.

Ketika wabak Covid-19 yang melanda negara, rupa-rupanya bekas pereka grafik itu turut terkesan apabila terpaksa menahan rindu terhadap adik tersayang lebih-lebih Ramadan kali ini.

Beliau masih tidak dapat bersua muka dan berbuka puasa bersama kerana terpaksa berkurung di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Doakan Cik Piah

“Hanya telefon dan video call menjadi penghubung antara kami untuk bertanya khabar. Sedangkan selalunya, setiap petang saya akan singgah rumah emak dan jumpa Cik Piah untuk lepaskan rindu atau beli juadah buka puasa.

“Saya suka bawa dia keluar makan dan beli barang yang diperlukan sehingga kami gelar dia ‘Gold Digger’,“ katanya yang dipanggil dengan nama ‘Mat’ bukannya ‘Bengah’ (Abang Ngah) oleh Cik Piah memandangkan hubungan mereka rapat.

Tidak pernah membezakan kasih sayang antara adik-beradik, lulusan Segi University College dalam jurusan Multimedia itu seboleh-bolehnya mahu menjaga hati adik istimewanya itu walaupun berjauhan dan sudah berkahwin.

Iklan
bengah
HAMMAD Zamakhshari bersama isteri, Cik Bunga atau nama sebenarnya Nur Mahfuzah merakam kenangan bersama cahaya mata mereka.

“Walaupun kami berbeza umur 11 tahun, namun hubungan sangat rapat. Masa dia kecil pun, saya suka dan sayang sangat dekat dia dengan mukanya yang comel dan jalan pun masih mengesot.

“Perangai pun macam baby walaupun sudah meningkat remaja. Pernah masa kecil saya tanya mak, kenapa adik tidak besar-besar,“ ceritanya dengan nada lucu.

Ketika itu, ibunya yang juga bekas guru hanya mampu tersenyum dan memintanya mendoakan kesihatan Cik Piah. Tambahan pula, adiknya itu menghidap penyakit jantung berlubang dan menjalani pembedahan ketika usia lapan tahun.

“Alhamdulillah, injap jantungnya yang berlubang semakin tertutup dan kesihatannya bertambah baik. Cuma moodnya masa datang bulan agak merunsingkan semua orang.

Iklan

“Kini, boleh lihat sendiri keadaannya dalam media sosial melalui rakaman video yang dimuat naik untuk tontonan peminat Cik Piah,“ katanya.

Turut berharap agar rantaian wabak Covid-19 segera dapat diputuskan, anak kelahiran Perak itu memohon kerjasama rakyat Malaysia supaya akur dengan arahan duduk di rumah.

“Saya pun rindukan keluarga lebih-lebih lagi emak, abah dan Cik Piah yang lama tak bersua muka. Kalau semua beri kerjasama duduk di rumah diam-diam, insya-ALLAH rantaian wabak dapat dihapuskan dan kembali menjalani hidup seperti biasa.

“Lagi-lagi bila dah ada anak sendiri, kita faham kerinduan seorang emak dan ayah terhadap anak-anak lebih-lebih lagi pada bulan puasa. Saya juga berharap wabak ini dapat dibendung,“ ungkapnya.