SEKSI dan kemas. Itulah signatur yang sering ditonjolkan Afiq Mohamed yang terbukti berjaya menempah nama besar dalam industri fesyen tempatan dalam usia masih muda.

Amat mementingkan potongan reka bentuk fesyen yang kemas dan versatil, anak jati Negeri Sembilan itu sentiasa menjadikan ikon fesyen sebagai sumber inspirasi untuk berjaya.

Meskipun usia masih berusia 30 tahun, pemilik jenama AfiqM ini mula menonjol dengan skala yang sangat kecil dengan dorongan minat cukup mendalam dalam bidang rekaan fesyen.

“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya mengambil kursus setahun dalam bidang jahitan di Giat Mara sebelum menyambung pengajian di Kuala Lumpur Metropolitan University (KLMU) selama tiga tahun.

“Peluang untuk menyertai satu pertunjukan fesyen masa di universiti dulu memang tidak dilepaskan dan itulah pengalaman pertama terdedah dengan dunia pertunjukan fesyen yang cukup gah,” ujarnya.

REKAAN glamour yang ditonjolkan AfiqM menghiasi karpet merah.

Anak tunggal daripada tiga beradik itu terampil dengan rekaan yang praktikal dan versatil dari segi fabrik, warna dan siluet tersendiri.

Apa tidaknya, pemilihan baju yang melekap cantik pada tubuh badan si pemakai menjadi satu kepuasan yang sukar digambarkan dengan pemilihan fabrik yang selesa dan moden.

Ternyata, Afiq lebih menggemari rona gelap kerana dalam setiap sentuhannya nampak mewah dan glamour selain bijak bermain dengan palet warna disesuaikan dengan fabrik pilihan.

Terkini, rekaannya menjadi tumpuan apabila diperagakan selebriti televisyen terkenal, Sherry Alhadad dalam beberapa program yang menampakkan sisi berbeza dalam ciptaan kali ini.

“Saya rasa tidak sulit menghasilkan baju untuk mereka yang bersaiz besar kerana secara peribadi, kita boleh pakai apa sahaja asalkan selesa dan mendatangkan keyakinan dalam diri.

“Orang bertubuh besar pula harus sedar hakikat ini. Lihat sahaja Sherry, dia boleh pakai apa sahaja,” katanya yang selesa mereka fesyen mengikut keselesaan si pemakai.

Iklan
AFIQM
SHERRY antara selebriti terkenal memperagakan busana AfiqM yang menyerlah dengan rekaan gaun petang berona hijau zamrud.

Meskipun masih hijau dalam industri fesyen namun Afiq tidak terkecuali berdepan cabaran dan halangan untuk terus mencipta karier dan jenama lebih kukuh.

Baginya, setiap lapangan karier ada cabarannya yang tersendiri dan mengambil pendekatan optimis kerana setiap tantangan merupakan satu pengajaran.

“Kita harus melaluinya dengan tenang. Ia mungkin lebih mudah untuk dihadapi jika mempunyai minat yang mendalam karier dan seteruk mana pun dugaan, kita boleh bangkit lagi.

“Alhamdulillah, saya banyak diberi sokongan oleh teman teman industri. Nasihat buat pereka fesyen muda, teruskan usaha dan fokus pada produk anda. Beri yang terbaik setiap waktu,” bicaranya.

Iklan

Untuk kekal dalam industri bukannya mudah tetapi bagi Afiq, beliau percaya keunikan setiap rekaan yang lain daripada lain menjadi kelebihan kepada seseorang pereka.

“Tidak dinafikan persaingan terlalu banyak bahkan fesyen terlalu pantas untuk dikejar. Tetapi saya sentiasa melakukan yang terbaik untuk memastikan kelangsungan jenama terus menjadi sebutan.

“Apa yang penting, rekaan unik, segar dan siluet tersendiri menjadi signature buat jenama AfiqM supaya nampak lebih menonjol daripada pereka yang lain. Identiti rekaan itulah yang menjadikan kita terus keterhadapan,” ujarnya.

AFIQM
KOLEKSI baharu jenama AfiqM dengan #afiqmss20 yang dikongsikan dalam akaun media sosial.