BOLEH buat duit dengan bermain game online? Sudah tentu ramai anak muda kian menjadikan ketaksuban bermain permainan dalam talian sebagai trend.

Jika pandai bahagi masa antara pelajaran dan hobi, ia tidak menjadi masalah.

Itulah nasihat yang dititipkan Dr Yew Weng Kean. Siapa beliau? Ikon bintang e-sukan yang berjaya membawa nama Malaysia ke persada Sukan Sea 2019 tidak perlu diperkenalkan lagi.

Barangkali ramai kaki game mengenali taiko Hearthstone yang berjaya menumpaskan atlet Thailand, Werit Popan dengan penuh bergaya.

Ya! Bukan calang-calang orang yang boleh menewaskan pihak lawan selepas ‘terceduk’ di pusingan kedua. Namun begitu, bekas pelajar SMK La Salle Petaling Jaya itu bangkit menyamakan kedudukan sekali gus menang besar di pusingan keempat.

esukan
MAJLIS penyerahan insentif Sukan SEA yang disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah (kiri) kepada beliau sempena kejayaannya.

Menolak persepsi bahawa permainan dalam talian merosakkan mentaliti anak bangsa, Penolong Profesor di Universiti Heriot Watt itu menyifatkan, jika seseorang pandai mengimbangi masa menguruskan urusan harian dan hobi alaf baharu itu, ia tidaklah menjadi masalah.

“Bagi saya, tidak salah jika terlalu ghairah dengan permainan dalam talian secara profesional. Tetapi, jika masih bergelar pelajar, perlu utamakan pendidikan kerana ia lebih penting.

“Pesanan buat anak muda, saya tidak nafikan masing-masing memiliki kecenderungan dan kelebihan tersendiri dalam game yang mereka sukai. Cuma satu, jangan lupakan ilmu,” ungkapnya kepada Sinar Plus dalam nada yang penuh bermakna.

Pemenang pingat emas pertama Malaysia bagi acara Hearthstone, temasya e-sukan yang julung kali dipertandingkan Sukan SEA 2019 itu tidak menolak untuk menyertai kejohanan seumpanya pada masa akan datang.

“Mungkin selepas ini saya akan cabar diri untuk acara permainan berbeza selain Hearthstone. Masa depan masih panjang lagi. Saya akan berusaha yang terbaik untuk mengekalkan kejuaraan.

“Sokongan ibu bapa dan keluarga juga penting. Saya akan buktikan kemampuan mencapai kejayaan seimbang dalam bidang akademik dan hobi secara profesional,” kongsinya selepas diraikan sempena Domino’s Champions E-sports Obsession baru-baru ini.

Iklan
esukan
DR Yew (tengah) diraikan sempena Domino’s Champions E-sports Obsession di Petaling Jaya baru-baru ini.

Manipulasi minda

Mengimbas kembali sejarah diciptanya, buat kali pertama atlet Malaysia berjaya mempamerkan aksi cemerlang dalam acara yang pertama kali dipertandingkan secara dwitahunan melibatkan 11 negara.

Bijak menyusun strategi pertempuran dan licik membaca taktik pihak lawan, barangkali antara rahsia kejayaan buat anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor dan pasukannya itu.

Pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Kejuruteraan Elektronik tersebut tidak menafikan hasil kerja keras dan pengumpulan data untuk tempoh dua bulan sebelum pertandingan, menjadikan strategi perlawanan berjaya dikuasai.

Iklan

“Seperti kelaziman, sebelum game bermula, kami akan pastikan semua data penting dan strategi perlawanan dapat dikuasai. Ini kerana permainan minda cukup penting.

“Latihan untuk game Hearthstone selalunya ambil masa lebih kurang dua sehingga tiga jam sehari bergantung kepada jadual yang ditetapkan,” ujarnya berkongsi pengalaman sepanjang beraksi sebagai atlet pertama e-sukan di Manila.

Tidak menyangka rezeki memihak kepadanya, penerima Anugerah Outstanding Engineer Graduate Award itu tidak keberatan berkongsi kemenangan pertama buat dirinya dan Malaysia.