KATA orang, anak sungai lagi berubah, inikan pula hati orang. Bidalan lama itu sesuai untuk menggambarkan transisi kehidupan baharu pelawak dan selebriti yang disifatkan serba boleh dalam segenap bidang, Nabil Ahmad.

Boleh dikatakan hampir seantero negara sudah maklum dengan usaha bersungguh-sungguh mendalami ilmu agama. Benar, itulah Nabil sekarang. Seboleh mungkin, kata selebriti itu, beliau berharap dengan landasan baharu yang sedang dilaluinya kini akan berkekalan sehingga ke hujung nyawa.

Ramai berpendapat, ‘peralihannya‘ juga secara tidak langsung memberi refleks kepada khalayak bahawa ada waktunya manusia itu terkadang alpa dalam mengejar cita-cita duniawi.

Namun, satu perkara yang tidak berubah pada penulis tentang Nabil adalah, beliau tetap seperti dulu. Ramah, mesra dan kelakar. Pendek kata, mudah diajak bersembang.

Ketika membuka slot bicara, penulis sengaja menyogok duta Mahsuri itu dengan usikan manja teman seperjuangan yang juga gandingan serasinya dalam program Gegar Vaganza, Jihan Muse.

Jihan antara lain pernah berkata: “Nabil pernah cakap kepada saya bahawa ulang-alik ke Tanah Suci beberapa kali, rupanya hidayah itu ada di Batang Kali.“

Mendengarkan pernyataan itu diulang, personaliti terkenal itu tertawa kecil seraya menghela nafasnya. Terlebih dulu katanya, beliau bersyukur dengan kehadiran seorang teman iaitu Jihan yang begitu menyokong dirinya.

Kemudian, pelakon filem Romeo Kota itu lantas bercerita tentang titik mula penghijrahannya seusai pulang daripada pengajian bersama sekumpulan tabligh di Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor pada awal tahun lalu.

“Alhamdulillah saya tidak menyangka usaha menunaikan umrah dan haji adalah untuk memperbaiki diri ke jalan ALLAH. Setelah sekian lama mencari, akhirnya saya bertemu dengan hidayah dan reda ILAHI. Saya mengharapkan akan terus istiqamah kerana manusia itu kadangkala hatinya mudah berubah,“ kata Nabil merancakkan ritma perbualan kami baru-baru ini.

Tidak menyesal

Saat ditebak apa tujuan beliau berkongsi penghijrahannya kepada umum? Ya, soalan itu berbunyi agak sinis, namun beliau dilihat tidak kisah untuk menjawabnya.

“Ia sebenarnya adalah salah satu usaha dakwah saya kepada masyarakat. Sebelum saya menutup mata, sekurang-kurangnya saya telah menjalankan tanggungjawab saya mendorong isteri, anak-anak, keluarga dan kenalan mendalami ilmu agama.

“Saya ingin mereka yang berada di sekeliling turut mempelajari dan mendekatkan diri kepada Islam termasuk membelanjakan rezeki ke jalan ALLAH,“ tuturnya tanpa sekelumit jenaka.

Terus bercerita mengenai penghijrahannya, Nabil memberitahu SinarPlus, beliau sesekali tidak pernah menyesali atas kekhilafan lampau yang pernah menyelubungi diri sebelum ini.

Dengan nada keinsafan, ungkapnya, kesilapan lalu banyak mengajar dirinya untuk menjadi individu lebih baik. Ya, akui Nabil biarpun dilahirkan sebagai seorang Muslim, keteguhan iman yang kurang utuh telah membuatkan dirinya ‘tergelincir‘ daripada syariat Islam.

Seperti sedang mengolah plot cerita, penyanyi lagu Pening berterusan menyusun kata yang membuatkan penulis terdiam tanpa sedikit pun mencelah inti perbualan. Kata Nabil lagi, sinopsis perjalanan hidupnya yang lalu dan kini merupakan aturan yang terbaik YANG MAHA ESA.

“Tiada apa yang perlu disesalkan tentang perkara-perkara silam kerana jika segalanya tidak berlaku, mungkin saya tidak menjadi seperti sekarang.

“Seandainya dahulu saya seorang yang penghafal al-Quran dan tahfiz, pasti masyarakat tidak akan menjadikan saya sebagai rujukan seperti mana berlaku sekarang. Saya mewakili mereka yang berbuat khilaf, mahu mengajak semua kembali ke jalan ALLAH. Inilah salah satu cara dakwah saya kepada masyarakat,“ katanya.

Didik anak

Mempunyai tiga anak perempuan iaitu Naira Mikayla, 9, Leyla Medyna, 6, dan Mishall Imani, 2, tugas seorang bapa sememangnya cukup berat.

Iklan

Pastinya ia akan menjadi lebih terbeban sekiranya kesemua anak itu nanti bakal bertanyakan kisah lampau atau dengan kata lebih mudah, perlakuan naif atau ‘tidak matang‘ yang pernah dilakukannya.

Sebelum berbicara lanjut, pelawak berusia 37 tahun itu berkata, segala cerita yang sudah berlegar menerusi dada internet memang sukar dipadam satu persatu.

Jika, boleh sekalipun, pasti akan ada mulut-mulut menyampai dan membuka semula lipatan sejarah yang sudah membungkam.

“Dalam hal ini, agama dan ilmu penting dalam mendidik mereka. Mungkin pada satu hari nanti kalau anak-anak bertanyakan tentang sejarah lalu, saya akan menerima dengan hati terbuka. Sebagai ibu bapa, saya dan isteri (Nazirah Ayub) sentiasa mendoakan agar anak-anak cinta kepada agama, Pencipta dan Rasul sebagai pegangan hidup,“ ujar Nabil yang turut berkongsi kisah tauladan seorang pemuda yang menjaga dua ekor khinzir.

“Menurut kisah para Rasul dahulu, pemuda itu setia menjaga kedua-dua orang tuanya meskipun mereka telah berubah menjadi khinzir akibat berdusta kepada agama suci ini. Biarpun dalam keadaan begitu, anak itu tetap teguh menjalankan tanggungjawab menjaga ibu bapanya kerana memiliki ilmu dan agama,“ ceritanya dengan makna penuh tersirat.

Dakwah

Iklan

Adakah selepas berubah ke jalan yang lurus, dunia seni akan terus dilupakan? Jawab Nabil, beliau tidak akan meninggalkan mata pencariannya itu.

Dirinya akan terus mengekalkan sifat profesional sebagai pengacara program berbentuk hiburan.
“Saya tidak menjadikan alasan terlalu Islamik sebagai penghalang dalam kerjaya.

“Sekiranya suatu hari nanti akan ada mereka yang mengatakan saya terlalu taasub dengan agama sehingga tidak sesuai untuk jadi pengacara, saya memilih untuk membawa diri bersama Islam,“ katanya memaku visinya untuk terus menyebarkan ilmu agama kepada masyarakat walau dalam apa jua pun keadaan.

Nabil juga menegaskan, beliau juga tidak kisah sekiranya pihak produksi stesen televisyen waima rakan-rakan selebriti yang mungkin akan menyahkan dan menolak dirinya. Bagi anak kelahiran Negeri Sembilan itu, peri penting adalah syiarnya terhadap agama ALLAH yang agung.

“Namun setakat ini, rakan-rakan artis banyak memberi sokongan terhadap perubahan saya dan tidak sekalipun mempamerkan reaksi kurang senang. Ada yang bertanyakan di mana untuk mempelajari ilmu agama dan ada antara kami yang saling bertukar ilmu dan pandangan.

“Pada waktu begini juga, pemilihan kawan itu penting kerana secara tidak langsung mereka turut mendorong kita ke arah kebaikan selain menjadikan kita lebih baik,“ katanya sambil memberitahu, pada setiap hari kenalan ustaz atau individu yang mahir agama akan datang ke rumahnya untuk mengajar mereka lima beranak.

Terkini, Nabil bersama rakan baiknya yang sudah berniqab, Neelofa bergabung dalam satu program bual bicara berbentuk Islamik, N to N.