RAMADAN kali ini jauh berbeza. Lazimnya bulan mulia berkenaan disambut dengan pelbagai aktiviti keagamaan, berbuka puasa perdana, kemeriahan jualan di bazar dan sebagainya.

Namun begitu, kini semua itu terpaksa dihentikan angkara wabak Covid-19 yang masih belum menyusut meskipun Ramadan sudah 10 hari menjelma.

Jika diimbas keadaan masjid dan surau sebelum ini, kemeriahan Ramadan amat dirasakan. Tidak lekang dengan ahli kariah yang datang silih berganti untuk berbuka puasa dan solat tarawih.

Jualan dan promosi sama ada di bazar, restoran atau hotel di negara majoriti umat Islam seperti Malaysia, boleh didapati di mana-mana. Kini suasananya tidak lagi sama. Bagaimana pula dengan umat Islam yang meraikan Ramadan di negara bukan Islam, sebagai contoh di Taiwan?

Zaharah Chen mengungkapkan suasana penuh keinsafan Ramadan di sana dalam perkongsian bersama Sinarplus.

ZAHARAH CHEN
ZAHARAH CHEN

Wakil Persatuan Cina Muslim (CMA) Taiwan itu senang hati berkongsi pengalaman berpuasanya di negara itu.

Puasa 15 jam

“Untuk menahan lapar seharian, kebanyakan kami memilih juadah seperti susu, yogurt, telur, roti dan buah kurma. Ada juga yang mengambil menu berat sedikit seperti mi atau nasi bersama daging.

“Di Taiwan, tempoh berpuasa yang panjang sehingga 15 jam agak mencabar. Lebih-lebih lagi dalam keadaan bekerja dan belajar, namun semua itu dapat diharungi dengan baik,“ ujarnya yang memberitahu persiapan bersahur biasanya dilakukan seawal jam 3 pagi.

Menurut warga Taiwan berusia 36 tahun itu, budaya masyarakat Taiwan juga pelbagai. Barangkali itulah sebabnya Ramadan dan umat Islam diterima baik oleh masyarakatnya meskipun berbeza agama.

“Syukur kerana penerimaan orang bukan Islam di Taiwan tentang Ramadan amat baik. Tiada sekatan dan kami boleh berpuasa seperti biasa.

PENERIMAAN orang bukan Islam di Taiwan tentang Ramadan amat baik dan tiada sekatan berpuasa dan menunaikan solat sepanjang Ramadan terdahulu.

“Bahkan mereka tertanya-tanya bagaimana kami mampu berlapar sehingga 15 jam dan pada masa sama bekerja seperti biasa. Itulah keindahan bulan Ramadan yang mana mungkin kami dapat dustakan,“ ceritanya.

Tutur wanita yang memeluk agama Islam sejak tujuh tahun lalu itu, umat Islam di Taiwan juga terharu apabila menerima sokongan. Pihak berkuasa di kepulauan demokratik berkenaan cukup memahami amalan kepelbagaian agama.

“Setiap tahun, mereka akan mengadakan majlis sambutan Aidilfitri di pelbagai tempat. Umat Islam dan bukan Islam dapat meraikannya bersama, malah berbuka beramai-ramai secara percuma.

Iklan

“Namun, agak menyedihkan tatkala negara dilanda wabak Covid-19, kebanyakan masjid ditutup, tiada lagi solat berjemaah. Keadaan itu amat menyedihkan dan memberi keinsafan yang mendalam,“ luahnya.

Rindu Ramadan terdahulu

Jauh di sudut hati, mereka juga amat merindui suasana Ramadan seperti tahun sebelumnya.

“Suasana meriah majlis bersahur, buka puasa, solat berjemaah dan kelas agama yang turut dihadiri orang bukan Islam menjadi momen tidak dilupakan.

taiwan
KENANGAN… Suasana berbuka puasa di masjid pada Ramadan tahun lalu yang menggamit kehadiran luar biasa umat Islam di Taiwan.

“Masakan tidak, ada masjid di Taiwan menerima hampir 900 orang yang datang berbuka bersama. Kini semuanya hanya tinggal kenangan. Mudah-mudahan Ramadan akan datang kembali meriah,“ doanya penuh syahdu.

Iklan

Tidak seperti di Malaysia, tiada bazar yang besar di Taiwan. Bazar yang ada cumalah pasar kecil yang menjual makanan halal di pekarangan masjid.

“Pasar kecil itulah tempat kami berkunjung saban hari untuk mencari juadah berbuka. Kurma juga agak senang dibeli di pasar raya, kedai buah-buahan dan kedai runcit milik orang Islam.

“Cuma kami tiada juadah istimewa seperti bubur lambuk. Tetapi menu berbuka cukup menarik kerana mendapat sentuhan masakan Indonesia, India, Pakistan dan Taiwan,“ kongsinya.