SEMENJAK isu kemiskinan haid heboh diperkatakan, nama Dr Syarifah Fatimah Al Zahrah Syed Hussien Al-Attas, 32, menjadi tumpuan.

Masakan tidak, penyelidik jelita itu kerap dipanggil untuk menghiasai pentas perbahasan untuk berbincang tentang topik hangat berkenaan.

Setiap soalan yang diajukan, nampaknya dijawab dengan baik oleh ahli akademik tersebut.

Baru-baru ini, penulis berpeluang bertentang mata dengan Pensyarah Kanan, Fakulti Sosiologi dan Antropologi, International Islamic University Malaysia (IIUM) itu di Studio Sinar Harian, Shah Alam, Selangor.

dr fatimah

Pada hari sama, beliau sebenarnya sedang memenuhi jemputan program SinarPlus yang tidak asing lagi, Borak Bibir Merah bertajuk Kemiskinan Haid, Kenapa Wanita Perlu Bersuara?

Sesuai dengan posisinya, perwatakan Dr Syarifah Fatimah Al Zahrah atau mesra disapa Dr Fatimah kelihatan tegas, namun tatkala berbicara, setiap butir perkataannya ditutur secara lembut dan penuh ‘berisi‘.

Dr Fatimah membuka tirai perbualan kami pada pagi itu dengan mengimbau keinginannya yang terpahat sejak kecil. Mungkin pada persepsi sesetengah orang, impiannya agak pelik dan luar biasa.

Baca juga Pernah merangkak ambil makanan, Farahanim Razak imbas hamil kembar seiras

Namun, beliau tanpa segan-silu berbangga untuk mengatakan bahawa dirinya mahu menjadi sukarelawan!

Ya, satu cita-cita murni yang jarang difikirkan oleh anak muda zaman sekarang.

Kata Dr Fatimah, beliau seboleh-bolehnya mahu menghulurkan bantuan kemanusiaan dan menceriakan kanak-kanak di kawasan pedalaman.

dr fatimah

“Jiwa saya cukup sensitif melihat dokumentari anak kecil yang hidup miskin dan tidak cukup makan. Keadaan itu membuatkan saya berfikir dan terus berfikir bagaimana cara terbaik untuk membantu mereka.

“Apabila saya meningkat remaja, saya mahu menjadi doktor kanak-kanak pula, tapi sayangnya saya takut darah,” ujarnya sambil tertawa kecil.

Apa jua aral yang melintang, hasrat yang dipasak tidak dibenamkan begitu sahaja.

Bagi merealisasikannya dan sesuai dengan bidang sosiologi dan antropologi (ilmu tentang manusia) yang sedang dipelopori, wanita berkenaan memperluaskan skop dengan melakukan kajian yang tertumpu kepada golongan rentan berkenaan.

Kisah sedih

Dr Fatimah memberitahu penulis, isu tabu tersebut amat dekat di dalam sanubarinya.

Itu semua bermula ketika beliau menyertai program sukarelawan bantuan makanan kepada kelompok gelandangan di ibu kota pada tahun 2018.

“Pada tahun yang sama, saya sebenarnya baru pulang dari New Zealand sebaik sahaja tamat pengajian. Boleh dikatakan memang saya bersemangat untuk menabur bakti di tanah air sendiri termasuk menyertai aktiviti amal yang dijalankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Ketika sibuk melaksanakan salah satu misi, tiba-tiba datang seorang kakak bertanyakan tentang bantuan tuala wanita dan kit penjagaan diri. Soalan itu membuatkan emosi saya tersentuh. Saya terkedu dan terus berfikir, bagaimana ya golongan wanita gelandangan hidup ketika datang haid? Sedangkan mereka tiada duit untuk membeli makanan, apatah lagi untuk membeli pad sanitari,” soalnya.

Paling membuatkan Dr Fatimah betul-betul terkesan apabila mengetahui beberapa kes meruntun perasaan.

Antaranya seperti wanita yang terpaksa memakai semula pad pakai buang, sanggup berlapar termasuk kisah pelajar perempuan ketinggalan pelajaran kerana tidak dapat menghadirkan diri ke sekolah gara-gara ‘datang bulan’.

Baca juga Masuk ‘bandar berhantu’, tidur dengan lipas, 10 hari tak mandi! Itu antara momen ekstrem Hazwani dalam laksana misi kemanusiaan

“Semua itu berlaku disebabkan kesempitan hidup. Melihat kelompangan dan masih ada yang keciciran, ia telah membuatkan saya lebih kuat dan berani membangkitkan isu ini agar diberikan perhatian sewajarnya,” kata Penasihat #PeduliMerah berkenaan.

dr fatimah

Hal-hal yang memberi impak mendalam seterusnya mendorong graduan Victoria University of Wellington, New Zealand itu menjalankan penyelidikan mengenai kemiskinan haid.

Kajian beliau antara lain memfokuskan kepada anak perempuan yang terdiri daripada keluarga miskin bandar yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur.

Ia dijalankan pada awal tahun 2019 dengan geran penyelidikan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Baca juga Istimewa Langkawi & kerjaya sebagai doktor di mata Dr Sandra Raman

“Sebelum saya terpanggil untuk mengkaji kemelut ini, sebenarnya saya sendiri sudah membuat carian artikel akademik dan laporan media berkaitan, namun agak mengecewakan kerana tidak banyak yang membincangkan isu tersebut.

“Pada pandangan saya, masalah kemiskinan haid ini terlalu luas. Jadi, dalam kajian yang dilakukan, saya telah memfokuskan kepada empat elemen utama iaitu (isu) produk haid yang mencukupi dan selamat; kemudahan kebersihan; pendidikan sistem reproduktif dan kebolehan menguruskan haid dengan cara bermaruah (privasi).

dr fatimah

“Saya mahu memastikan keupayaan remaja atau wanita mampu kendalikan (haid) dengan cara sihat dan selamat,” jelas ahli Persatuan Sosiologi Antarabangsa dan Persatuan Sains Sosial Malaysia itu lagi.

Ternyata, keazaman dan kesungguhan Dr Fatimah yang juga Penyelaras Pusat Hal Ehwal dan Pembangunan Masyarakat di kampusnya membuahkan hasil apabila topik yang diperjuangkan beliau semakin membuka minda orang ramai.

Projek Kiriman Si Kancil

Jiwa kemanusiaan yang ada di dalam diri Dr Fatimah memang terserlah.

Ketika berbual dengan ibu anak satu itu, beliau memberitahu penulis tentang Projek Kiriman Si Kancil yang sedang giat dijalankannya bersama beberapa pensyarah, penuntut dan alumni IIUM yang prihatin.

Baca juga “Lelaki yang takut sebab tidak tahan dengan sifat saya yang suka sangat bercakap dan gila-gila. -Tyra Kamaruzzaman pilih fokus kerjaya berbanding cinta

Kongsi beliau, projek tersebut umpama sebuah perpustakaan mini yang menempatkan sejumlah buku dan bahan ilmiah. Sasaran mereka, pastinya di kawasan yang memerlukan seperti di Pusat Pemeriksaan Pendidikan dan Komuniti (PREPKOM) PPR.

dr fatimah

“PPR Sungai Bonus, Kuala Lumpur menjadi perintis Projek Kiriman Si Kancil yang telah pun dimulakan sejak awal pandemik iaitu sekitar Mac tahun lalu,” katanya.

Iklan

Sejak dilaksanakan, wanita anggun itu melafazkan kesyukuran ke hadrat ILAHI apabila lebih 500 naskhah buku telah didermakan oleh individu yang bermurah hati.

“Kami masih terbuka dan mengalu-alukan sumbangan daripada masyarakat. Kiriman boleh dihulurkan dengan menghubungi Instagram kami, @kirimansikancil.

“Sudah menjadi objektif dan visi kami untuk memastikan budaya membaca dalam kalangan anak-anak PPR bukanlah satu paksaan, tetapi momen yang menyeronokkan bersama keluarga. Kalau boleh, anak-anak ini mempunyai akses untuk bahan bacaan yang diminati dan melakukan aktiviti menyeronokkan.

“Sekurang-kurangnya Projek Kiriman Si Kancil ini memberikan persekitaran selamat dan sihat buat mereka. Kalau diizinkan, saya mahu setiap PREPKOM PPR mempunyai perpustakaan mini seperti ini supaya jurang pendidikan dan ketidaksamaan taraf hidup dapat dirapatkan,“ ujarnya penuh kesungguhan.

Ya, segalanya tentang Dr Fatimah adalah mengenai misi amal yang dilaksanakan. Sesuatu yang sangat menarik untuk diperkatakan sebenarnya.

dr fatimah

Ungkap ahli akademik itu lagi, selain Projek Kiriman Si Kancil, beliau juga aktif bersama Girl2Leader Malaysia yang merupakan salah satu program kepimpinan untuk generasi muda.

Melihat kepada semangatnya yang berkobar-kobar, adakah pada suatu hari nanti Dr Fatimah mahu mengasas dan mewujudkan NGO kebajikan sendiri?

Balasnya sambil tersenyum: “Buat masa sekarang, fokus utama saya adalah melangsaikan projek-projek yang sedang dan bakal dijalankan.

“Saya mahu pastikan semua yang direncanakan mencapai matlamat terlebih dulu.”

Sihat cantik

Tinggalkan seketika hal-hal yang serius. Penulis kemudian memberanikan diri bertanyakan soalan yang barangkali tidak pernah diajukan kepadanya iaitu tentang kecantikan kulit wajah beliau yang diibaratkan seperti seorang selebriti.

Bukan sahaja penulis, malah jurumekap, Aim Azam turut mengakui hal yang sama.

Sebaik kata-kata pujian itu diucapkan, DrFatimah hanya tersenyum sahaja dan terus membiarkan Aim menata rias kelopak mata dan pipinya.

dr fatimah

Iklan

Selepas seketika, barulah beliau bersuara. Akuinya, tiada rejim penjagaan yang diimplemenkan. Semuanya hanya yang asas sahaja iaitu membersih, melembap dan menyegarkan muka semata-mata.

Soal membeli produk kecantikan pada harga premium yang sering menjadi igauan wanita, itu bukan pilihannya, tegas anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Pun demikian, wanita berkenaan sangat menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Baca juga Popular di media sosial, Cupcake Aisyah luah hasrat cuba nasib dalam bidang pengacaraan

“Seperkara lagi, bagi saya, jika mental dan dalaman sihat, pasti luaran juga sihat,” katanya.

Namun, sebelum itu, pencinta rona biru itu sempat berkongsi tip penjagaan kesihatan yang dipraktikkan sejak dulu.

Selain gemar menikmati buah-buahan dan sayur-sayuran segar, beliau tidak akan sesekali meninggalkan rutin meneguk air masak secukupnya.

dr fatimah

Jangan lupa follow kami di Instagram!

“Air penting untuk mengelakkan diri dehidrasi. Lagi satu, masa tidur mesti cukup,” tuturnya yang merupakan individu yang sentiasa sibuk memenuhi tuntutan mengajar di kuliah, menghadiri webinar, menyelia tesis pelajar, ditambah dengan aktiviti amal yang sentiasa memenuhi diari.

Bagaimana pula dengan senaman? Ujar ahli akademik berhati waja itu, beliau akan melakukan aktiviti kardio tiga kali seminggu di rumah sahaja.

“Disebabkan pandemik wabak Covid-19 masih berleluasa, saya lebih selesa untuk melakukan aktiviti senaman di rumah sambil memantau anak.

“Apa yang penting, kita lakukan aktiviti yang disukai dan tenang-tenang saja,” katanya.