BAGAIKAN tidak percaya, melodi indah yang singgah pada halwa telinga kami pada petang itu merupakan alunan piano yang dimainkan oleh seorang kanak-kanak autisme.

Deria pendengaran budak lelaki itu yang mesra disapa Raees atau nama sebenarnya Raees Aryan Ezmir dikatakan cukup sensitif dan peka pada bunyi-bunyian.

Dia dikatakan berupaya memainkan semula melodi yang sama dengan sekali dengar sahaja.

Ibunya, Irin Putri Azmi ketika ditemui kru SinarPlus semasa rakaman penggambaran program 3L: Live, Love & Laugh bertajuk Belaian Anak Autisme baru-baru ini tersenyum tatkala melihat kesungguhan cahaya mata sulungnya yang ralit menekan mata piano.

Kepada SinarPlus, Irin Putri berkata, pada asalnya beliau tidak menyangka akan memiliki seorang anak syurga, namun beliau pasrah dan bersyukur dengan anugerah terhebat daripada ALLAH SWT.

Ketika ditemui, wanita itu sedikit pun tidak menunjukkan wajah kekecewaan, malah beliau ceria tatkala bersembang tentang Raees.

raees autisme

Memulakan ceritanya, ibu kepada dua anak itu berkata, ketika mengandungkan Raees, beliau sihat walafiat. Pendek kata, semuanya baik-baik sahaja.

“Cuma ada overdue sedikit, namun semua itu tidak menjejaskan proses kelahiran. Pun demikian, saya sedari berlaku kelewatan dari segi percakapan meskipun umurnya sudah dua tahun.

“Apabila saya memberi arahan, misalnya minta Raees ambil mainan, saya tak pasti sama ada dia faham atau tidak,” ceritanya.

Di sekolah pula, guru kanak-kanak berkenaan juga mengesan kelainan dari segi skil komunikasi dan interaksinya.

“Cikgu Raees maklumkan dia ada masalah pendengaran kerana setiap kali dipanggil, Raees tak beri respons.

raees autisme

“Dia seolah-olah berada di dunianya sendiri. Pada saat itu, saya yakin soal pendengaran bukan masalah sebenarnya,” katanya.

Mahukan kepastian, produser program di sebuah stesen televisyen itu merujuk kepada pakar psikologi. Malangnya, masih tidak menemui sebarang jawapan yang meyakinkan.

Maka, carian demi carian dilakukan menerusi internet dan akhirnya, Irin Putri berjaya membuat kesimpulan sendiri.

Baca juga Anak kecil lambat bercakap tidak semestinya mereka autisme, ini penjelasan pakar

“Namun, saya sangat berharap Raees bukanlah anak autisme. Namun, pada masa sama, hati ini seolah-olah reda menerima apa juga ujian yang mendatang.

“Apabila Raees disahkan autisme, saya sudah bersedia dan menerimanya seadanya,” katanya.

Mudah dijaga

Pastinya menjaga anak istimewa tidak mudah. Namun, ungkap wanita berusia 39 tahun itu, Raees lain daripada yang lain.

“Raees mudah dijaga dan tidak pernah mengamuk secara tiba-tiba. Bagi segelintir anak autisme, saya akui ada tantrum tertentu tetapi Raees, jika dia mahukan sesuatu, paling kuat pun dia hanya menangis.

“Belum pernah berlaku amukan serius,” katanya.

raees autisme

Ujar Irin Putri lagi, anak kesayangannya itu mempunyai ciri-ciri khas tertentu. Selain sangat menggemari minum air kosong, Raees suka objek yang berpusing seperti kipas dan mesin basuh.

Iklan

“Satu lagi kelebihan Raees, dia suka mendengar dan kemudian mengalunkan semula melodi yang didengari dengan pianonya.

Baca juga Ajar anak autisme memahami maksud TIDAK atau NO, 6 cara dikongsikan Pengerusi Autisme Malaysia

“Muzik membuatkan energi bertambah, dia akan ke sana dan ke sini. Bak kata cikgu yang mengajarnya, fikirannya penuh dengan muzik dan bunyi,” tuturnya.

Melihat ‘kekuatan‘ Raees, Irin Putri lantas mendaftarkan anaknya mengikuti kelas pembelajaran khas piano sejak tahun 2018 bagi meningkatkan lagi kemahiran si kecil itu.

Setahun selepas itu, Raees telah diberi peluang mengadakan persembahan di depan khalayak pada bulan November 2019.

raees autisme

“Ketika itu, saya ada program di Manila, Filipina dan terus bergegas pulang kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat persembahan pertama Raees.

“Sesungguhnya, saya sangat berbangga dengannya,” katanya penuh teruja.

Iklan

Beritahu Irin Putri, jika bukan disebabkan pandemik Covid-19, sudah ada banyak program yang dirancang untuk permata kesayangannya itu. Namun, kini semua pembelajaran termasuk persembahan dilakukan secara online.

Kesedaran

Bagaimana hubungan Raees dengan adiknya, Razeen Ayman yang berusia tujuh tahun? Jawab wanita tabah berkenaan, mereka berdua sangat akrab dan saling menyayangi antara satu sama lain.

Saat dilontarkan soalan bagaimana penerimaan orang ramai terhadap anaknya, Irin Putri tersenyum.

raees autisme

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Kata ibu jelita itu, rata-rata masyarakat Malaysia sudah banyak kesedaran dan tidak memandang anak-anak istimewa sesuatu yang pelik lagi.

Justeru, pesan beliau kepada ibu bapa yang senasib dengannya, jangan sesekali malu atau sedih.

“Kita perlu lihat dugaan ini dari sudut positif. Ia juga merupakan satu nikmat ALLAH yang penuh dengan hikmah.

“Jika orang lain susah dapat anak, kita yang sudah diberikan anak ini perlulah cuba yang terbaik menjaga anak syurga ini,” katanya.