LEBIH setahun wabak Covid-19 melanda negara dan dalam tempoh itu juga ramai kakitangan awam mahupun swasta diarahkan untuk Bekerja Dari Rumah (BDR).

Apatah lagi pada saat kita sedang berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Seperti yang diarahkan kerajaan, 80 peratus kakitangan awam diminta melaksanakan BDR, manakala swasta pula sebanyak 40 peratus.

Situasi sebegini mungkin menyebabkan sebahagiannya berasa hilang 'mood' untuk bekerja memandang suasana yang berbeza.

Masakan tidak, persekitaran rumah dilihat lebih sinonim sebagai tempat untuk berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga.

Kebetulan bahang Aidilfitri masih lagi terasa, maka keinginan untuk menghabiskan balang-balang biskut raya pasti membuak-buak.

Apa-apapun jangan jadikan itu sebagai alasan.

Iklan

Justeru, bagi meniupkan semangat untuk BDR sekali gus menyempurnakan tugasan dengan jayanya, SinarPlus kongsikan tip berkesan yang boleh kita sama-sama praktikkan:

1. Wujudkan ruang kerja khusus

  • 'Mengisytiharkan' sesebuah kawasan tertentu agar dapat dijadikan sebagai ruang bekerja.
  • Cuba elakkan bekerja di depan televisyen atau meja makan yang berpotensi akan mendapat gangguan daripada ahli keluarga lain.
  • Sebaiknya, cuba bekerja di ruangan yang memiliki pergerakan yang minimum seperti di dalam bilik.
  • Boleh juga lakukan kerja di bahagian sudut ruangan yang tidak menjadi tumpuan ahli keluarga lain.
  • Paling utama adalah fokus kerana penting bagi memastikan kita sentiasa memberi tumpuan sepenuhnya untuk menyelesaikan tugasan tanpa memikirkan sebarang aktiviti lain seperti memasak, membasuh baju, menyiram pokok atau menonton televisyen.

2. Berada dalam 'mood' bertenang

Iklan
  • Setiap daripada kita mempunyai gaya tersendiri dalam menyelesaikan tugas seperti mendengar muzik atau sebaliknya.
  • Bagi yang gemar mendengar muzik, tidak salah asalkan tidak terlalu kuat dan mengganggu individu lain atau anda sendiri hanyut dengan dunia sendiri sehinggakan tidak sedar apa berlaku di sekeliling.
  • Sebelum ingin mula bekerja, pastinya tiada bunyi bising atau sebarang gangguan yang akan merencatkan mood bekerja dalam keadaan tenang.

3. Mendisiplinkan diri

  • Cuba didik diri agar berdisiplin dalam melakukan tugas di ruangan yang telah ditetapkan.
  • Apabila ruangan tersebut sudah dijadikan sebagai tempat bekerja, pastikan anda tetapkan masa yang sesuai agar tugasan juga dapat siap dalam tempoh ditetapkan.
  • Tetapkan waktu yang sama seperti pukul 8 pagi atau 9 pagi mengikut waktu pejabat biasa.


4.'Boikot' alat elektronik

  • Selepas waktu bekerja, sebaiknya anda cuba elakkan diri daripada menggunakan peralatan elektronik yang digunapakai sewaktu bekerja.
  • Perkara ini dapat membantu minda kita untuk membezakan waktu bekerja dan berehat meskipun berada di rumah.

5.'Jaga jarak' bagi mengelakkan gangguan

  • Elak memilih ruangan yang bising seperti ruang tamu sekiranya untuk melakukan kerja atau video mesyuarat.
  • Jauhi gangguan asing seperti perbualan antara ahli keluarga, haiwan peliharaan atau gangguan bunyi sehingga menyebabkan anda tidak tenang untuk bekerja.
  • Jika memerlukan, beritahu rakan-rakan atau jiran tetangga bahawa anda sedang bekerja meskipun berada di rumah.
  • Sekiranya anda perlu ke kedai, cuba selesaikan tugasan terlebih dahulu sebelum melakukan hal-hal peribadi lain.


Biarpun terpaksa bekerja di runag, kita juga perlu meluangkan waktu untuk melakukan aktiviti riadah lain seperti senaman ringan atau berkebun di luar rumah.

Pada waktu terluang, cuba melakukan aktiviti yang digemari atau mempelajari kemahiran baharu.

Paling utama kita perlu membiasakan diri dengan norma baharu ini.

Satu lagi, jangan lupa memakai pelitup muka, sanitasi tangan dan jaga jarak sewaktu berada di tempat awam. #kitajagakita