Isu Rohingya: Pendapat berbeza pengkaji muda yang sayangkan negara ini dapat lebih 1k share

May 2, 2020
Azimah

SIAPA yang tidak sayangkan negara yang menjadi tanah tumpah darah kita bukan?

Barangkali perasaan itulah jua yang ‘memanggil’ wanita muda ini menulis tentang isu pelarian yang hangat diperkatakan dan dibincangkan baru-baru ini – Rohingya. Pendapatnya itu mendapat lebih 1k perkongsian di Facebook.

Ya, memang ramai yang memberikan pendapat dan ‘menghentam’ pihak tertentu tentang isu golongan ini. Tidak kurang juga yang mempolitikkannya.

Tapi apa pula pendapat anak muda biasa sebagai anak Malaysia yang bakal mewarisi negara ini?

Hakikat yang dikongsikan pelajar yang mengkaji tentang NGO dan isu-isu pelarian di Malaysia dari Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Atika Shafinaz Nazri ini misalnya memang berbaloi dibaca.

Bagi pewaris negara yang sudah cukup umur, tetapi masih belum memahami apa yang sedang melanda negara ini ambillah sedikit masa untuk membacanya. Moga pandangan anda lebih luas dan ‘nampak’ apa yang sedang berlaku.

Bukankah kita yang akan mewarisi negara tercinta ini…

Kepada Sinarplus, satu ayat diterjemahkan Atika berkenaan penulisannya ini: ‘Saya sayangkan negara saya’… 

Menemu bual pelarian

Menurut Atika, dia sebenarnya mengambil masa yang lama untuk menulis ini. Beliau turut berfikir-fikir sama ada wajar atau tidak kerana pandangan dan pendiriannya berbeza dengan para sukarelawan terutama rakan-rakan dalam dunia kemanusiaan.

“Saya mohon maaf kepada semua terlebih dahulu jika pandangan saya ini tidak sehaluan dan sealiran dengan kalian.

“Apa yang saya ingin sampaikan berdasarkan sepanjang kajian pengajian yang saya lakukan melibatkan keseluruhan pelarian di Malaysia, bersama dengan mereka menjalankan pemerhatian turut serta, menemu bual masyarakat Malaysia yang berada bersama dengan kelompok mereka, mengikuti program NGO, temu bual bersama pakar akademik dan Majlis Keselamatan Negara.

“Saya mendapati terdapat beberapa penulisan yang menyatakan Rohingya ini adalah berasal dari Bangladesh. Mohon maaf, Rohingya bukan dari Bangladesh, mereka ini sememangnya berasal daripada Arakan, Myanmar. Rujuk dengan lebih detail penulisan Intan Suria Hamzah (http://ejournals.ukm.my/gmjss/article/view/17712/5454),” katanya.

Menurut Atika, jumlah pelarian daripada negara Myanmar merupakan jumlah terbesar yang berada di Malaysia. Seperti Malaysia, Myanmar juga mempunyai kepelbagaian etnik iaitu Cina, Buddha, Rohingya, Myanmar Muslim dan beberapa etnik lain.

Mengikut laporan UNHCR, etnik Rohingya adalah paling besar berada di Malaysia iaitu 101,010 Rohingya sahaja, berbanding etnik lain daripada negara Myanmar.

Hasil temu bualnya bersama beberapa pelarian Rohingya mendapati mereka sudah menetap di Malaysia bertahun lamanya.

“Ada yang pernah saya temu bual di Kedah, seorang pakcik telah berada di Malaysia selama 27 tahun. Ada yang berbelas tahun dan ada yang baru sampai. Bagi pelarian yang sudah lama menetap di Malaysia mereka ini ada yang masuk menaiki kapal terbang. Manakala sebilangan besarnya yang sampai ke Malaysia melalui jalan laut dan darat.

“Biasanya laluan laut yang digunakan adalah di perairan Perlis. Kini, laluan tersebut telah menjadi tumpuan pihak berkuasa dan kerana itu mereka menukar laluan masuk ke Malaysia melalui Langkawi. Bagi yang masuk ikut jalan darat mereka akan menggunakan laluan Padang Besar, Perlis.

“Persoalannya bagaimana mereka boleh memasuki Malaysia dengan begitu mudah? Kerana wujud tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab menjadi ejen. Ejen ini daripada Myanmar, Thailand dan Malaysia. Malah, orang Rohingya/ Myanmar sendiri ada yang menjadi ejen. Saya pernah menemu bual beberapa Rohingya, mereka menyatakan anggaran bayaran kepada ejen untuk seorang adalah sekitar 1500-5000 ribu ringgit. Lebih malang lagi, ada pihak yang menjadi dalang kemasukan pelarian Rohingya ini,” katanya.

ATIKA yang juga seorang sukarelawan bersama anak-anak pelarian Rohingya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan.

Kenapa sekarang orang Malaysia begitu marah dengan Rohingya? Atika berkata, kita kena faham isu pokoknya yang menjadi pencetus kemarahan orang Malaysia. Ia nya BUKAN tentang tidak berperikemanusiaan atau bersikap rasis. Selama ini pun sudah berdekad lama pelarian Rohingya berada di Malaysia, dan kita sebagai masyarakat Malaysia menerima baik kehadiran mereka.

Sebelum ini juga kita tidak pernah membantah, menghalau atau menghalang untuk mereka berada di Malaysia dan bekerja.

“Bagi saya kita bersikap baik dan berlapang dada. Bukankah ini menunjukkan masyarakat Malaysia mempunyai sifat perikemanusiaan? Semasa saya membuat kajian di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Johor, banyak sumbangan yang saya terima daripada orang Malaysia untuk diberikan kepada Rohingya. Banyak juga sumbangan-sumbangan masyarakat sivil yang diberikan kepada NGO untuk membantu pelarian Rohingya. Jadi, adakah saya atau orang lain ini yang tidak bersetuju dengan Rohingya tidak ada sifat kemanusiaan?

“Adakah kami ini bersikap rasis? Kalau kami ini tidak ada rasa belas kasihan, tidak akan kami menghulurkan bantuan. Isu nya sekarang, adalah orang marah, sebilangan etnik Rohingya mula menunjukkan keberanian yang luar biasa, mencabar penguatkuasa dan masyarakat setempat,” soalnya.

Risau ekonomi negara

Kita kena faham, Malaysia bukan negara anggota Konvensyen Pelarian 1951 yang boleh memberi hak bekerja secara sah dan pendidikan secara formal di sekolah-sekolah kerajaan kepada pelarian.

Kata Atika, terdapat banyak prosedur yang perlu kita telusuri untuk menjadi negara anggota 1951 ini terutamanya dari aspek sosio-ekonomi. Kadar kemiskinan di Malaysia masih tinggi dan ini merupakan salah satu faktor yang menunjukkan tidak sesuai untuk kita menjadi negara anggota.

Sebenarnya, Malaysia ini baik. Ramai sahaja etnik Rohingya yang bekerja tetapi kerajaan kita tutup mata masih membenarkan mereka bekerja walaupun pada hakikatnya pemegang kad UNHCR, tidak boleh bekerja.

“Dalam pada masa sama, saya juga tidak nafikan, ramai etnik Rohingya yang ditahan kerana bekerja tetapi di antara jumlah yang ditahan kerana bekerja dan bekerja tetapi bebas adalah jauh bezanya. Jumlah mereka yang bekerja tetapi masih bebas berganda bezanya jika dibandingkan dengan mereka yang ditahan.

“Saya fikir, kerajaan kita sudah banyak bertolak ansur dalam hal ini. Bayangkan kalau kita menjadi negara anggota Konvesyen 1951, menerima pelarian, kita perlu memenuhi semua tuntutan di dalam perjanjian tersebut. Nanti akan ada banyak lagi pelarian daripada negara luar yang akan masuk Malaysia. Hakikatnya, kita belum stabil lagi. Kita bukan negara membangun. Dan kita belum lagi mencapai super diversity iaitu kepelbagaian,” tegasnya.

Teliti pelbagai aspek

Isu Rohingya bukan sekadar isu yang boleh dinilai dari aspek kemanusiaan semata-mata. Ia perlu diteliti dari pelbagai aspek.

Perkongsian Atika beberapa aspek harus diteliti:

1) Soal keselamatan negara

Menurut Atika, kita perlu lihat betapa mudahnya perairan negara diceroboh oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Jika kita masih menerima pelarian Rohingya ini atas dasar kemanusiaan walaupun mereka menggunakan laluan yang salah, sanggup kah kita untuk menerima puluhan bot lain yang akan datang lagi dari Myanmar, Thailand atau Bangladesh?

“Mereka kata “ohhh Malaysia baik masih menerima bot-bot yang sampai, boleh bawa masuk bot lain pula lepas ini” Jadi isu ini tidak akan ada kesudahan nanti. Sebab itu tindakan yang diambil oleh TUDM menghalang pelarian Rohingya memasuki Malaysia baru-baru ini sebagai tanda “amaran” keras/tegas kepada ejen dan pelarian Rohingya untuk tidak lagi sewenang-wenangnya menceroboh perairan Malaysia. Lagi pun, bukan membiarkan mereka begitu sahaja, dengan bantuan TLDM bekalan makanan dan petrol diberikan kepada mereka.

“Kita selalu fikir ohh itu bot Rohingya. Hakikatnya tidak kerana dulu ada terdapat kes yang dikongsikan kepada saya ada sebuah bot mendarat di Malaysia, di dalam bot tersebut 60 peratus Bangladesh dan 40 peratus Rohingya. Saya ambil contoh kes yang sama berlaku di Laut Mediterranean, Eropah apabila terdapat jumlah yang besar pelarian daripada negara Arab terutamanya Syria mendarat di laut tersebut hingga menjejaskan kestabilan politik Eropah,” kata beliau.

Jelas Atika lagi, pada mulanya Eropah juga seperti kita, menerima sahaja masuk atas dasar kemanusiaan, tetapi apabila berlakunya kemasukan bot yang tidak terkawal akibatnya wujud pelbagai isu yang memberi impak ke atas ketidakselamatan negara dan ekonomi.

Pendaratan pelarian di Laut Mediterranean telah menjadi satu mimpi ngeri, kebimbangan kerajaan dan penduduk di Eropah.

“Apakah jaminan yang kita ada di dalam bot tersebut semuanya etnik Rohingya? Bagaimana pula dengan status kesihatan mereka? Orang kita sekarang sedang berjuang duduk di rumah untuk melawan COVID-19, datang orang luar yang tidak pasti status kesihatannya membawa kebimbangan kepada para petugas frontliners. Tidak kah kita merasa empati kepada frontliners sendiri? Para doktor kita sendiri pun tidak cukup kakitangan untuk menjalankan saringan COVID-19 ini. Kasihan tengok mereka berhempas-pulas.

“Tengok frontliners yang perlu membuat saringan kepada pelajar Malaysia yang baru tiba di Kuala Lumpur. Letih dan kasihan tengok mereka. Kalau kita benarkan kemasukan bot Rohingya, kita kena fikir lagi nak buat saringan, tempat tinggal, kewangan, makanan. Banyak perkara yang perlu diteliti bukan sekadar kemanusiaan semata. Akhirnya nanti, semua dilepaskan kepada kerajaan,” katanya.

2) Masalah sosial

Menurut Atika, sejujurnya sebelum ini beliau menjalankan kajian secara lebih dekat dengan turun ke padang, tidak mengetahui bahawa etnik Rohingya terlibat dengan jenayah sosial yang benar-benar kritikal.

“Mereka ini bukan individu ya, tetapi berkelompok, berkumpulan terlibat dengan jenayah mencuri, dadah, pemerdangan manusia dan isu perempuan (tentang perempuan ini saya tak dapat nak jelaskan terperinci). Terutamanya di sekitar Bukit Mertajam, Pulai Pinang. Saya juga mendapati etnik Rohingya ini amalan cara hidup terutama melibatkan agama Islam sedikit membimbangkan. Yang saya mendapati jelasnya, mereka boleh tinggal di dalam satu rumah ada dua-tiga buah keluarga tanpa batasan. Pernah saya pergi ke sebuah rumah Kg Lebai Man, seorang wanita bekeluarga suaminya keluar bekerja, tetapi ada lelaki (suami orang) lain yang berada di rumah dia.

“Sama juga kes ketika saya melawat di rumah lain, suaminya keluar bekerja dan dia tinggal bersama abang iparnya. Di kem pelarian di Bangladesh, suami berada di negara lain, tetapi mengejutkan apabila si isteri mengandung tanpa mengetahui anak yang dikandung itu lelaki mana. Khemah wanita keluar masuk lelaki lain. Mohon maaf, ini bukan 2-3 kes ya berlaku. Bukankah ini gejala sosial yang boleh mendatangkan impak buruk sosial pada Malaysia?,” soal beliau.

Katanya, Malaysia sendiri banyak isu sosial yang perlu ditangani. Lagi satu masalah, etnik wanita Rohingya ini subur. Anak baru enam bulan lahir, mereka mengandung lagi, kemudian mengandung lagi dan lagi. Nanti bila mengandung tanpa dikawal, maka bertambahlah populasi etnik Rohingya di Malaysia. Kemudian, bila dah makin ramai, isu sosial, pekerjaan, kewangan, makanan, kesihatan dan pendidikan akan makin bertambah.

3. Sosio-ekonomi

Kongsi Atika lagi, ramai daripada mereka bekerja secara diam-diam menjadi pemotong rumput, baiki rumah, buruh binaan. Yang ini tidak menjadi masalah.

“Yang menjadi masalah apabila segelintir daripada mereka berani buka perniagaan secara terbuka, terang-terangan. Saya pergi ke Bukit Pinang, Kedah, terdapat sebuah kedai yang dimiliki oleh Rohingya. Kawasannya sangat besar. Tiada permit, macam mana boleh berani buka? Sudah tentu, orang kampung di situ merasa marah, tergugat dan tidak selamat dengan kehadiran mereka. Dianggarkan terdapat hampir 1000 – 1500 yang tinggal di sana.

“Kita lihat di pasar-pasar borong dia dah memonopoli. Terutama pasar borong Selayang. Kerajaan Malaysia sebelum ini pernah buat projek rintis memberi kebenaran pelarian Rohingya bekerja di sektor perladangan, tetapi dia tak nak. Dia nak bekerja sendiri. Saya turun beberapa kali melihat sendiri di kawasan Apartment Taman Seri Murni, area Selayang. Bukan Rohingya sahaja, Myanmar Muslim pun sama. Sememangnya di situ dah macam negara Myanmar. Mereka buka gerai-gerai kecil jual sirih dan makanan tepi jalan. Imigresen banyak kali buat serbuan di situ angkut barang-barang dan tangkap. Tapi, nanti seminggu dua buka balik gerai-gerai itu. Bila ada serbuan, tutup sekejap, lepas itu buka balik sehinggalah sekarang.

“Area pasar Selayang tu saya tidak salahkan Rohingya sepenuhnya, salah juga orang Malaysia yang tidak bertanggungjawab memberi lesen kepada Rohingya untuk dapat kaut untung lebih. Jadi, penguatkuasa perlu cari dalang ini semua. Belum masuk isu bergaduh lagi di kawasan situ. Menjerit-jerit, macam mana orang Malaysia tak marah? Kita tidak duduk area situ, mungkin kita tidak rasa apa penduduk Malaysia yang tinggal di kawasan itu rasa. Ada juga kedai yang dibuka di Kajang. Kalau kita tidak kawal dari sekarang, dia akan memberi kesan kepada long-term ekonomi rakyat Malaysia. Seperti apa yang berlaku dalam kalangan warga Bangladesh, Indonesia, banyak dah buka kedai sendiri. Orang ada gaji tetap mungkin tak kisah isu ini, tetapi bagaimana pula nasib penjaja gerai kecil orang Malaysia?,” tulis beliau.

4) Kesihatan

Jelas penuntut Doktor Falsafah (PhD) yang dijangka akan tamat pengajian September ini, Rohingya ini kurang sikit pendedahan tentang kepentingan menjaga kesihatan.

“Walaupun banyak pihak dah bagi perkongsian mengenai kesihatan, tetapi mereka masih lagi tidak ikut. Penyakit TB, HIV, Heb B, Heb C yang ada dalam kalangan mereka. Penyakit yang boleh berjangkit dengan orang sekeliling. Saya pergi melihat kawasan mereka di Alor Star, kanak-kanak tidak berbaju, tidak berkasut, pijak tahi ayam sana sini, lepas itu masuk rumah macam itu sahaja.

“Apa yang menakutkan adalah mereka hidup di tengah-tengah kelompok kita yang boleh bagi ancaman penyakit berjangkit. COVID-19, terdapat sebilangan pelarian Rohingya yang pergi ke Himpunan Tabligh. Kerajaan dah bagitahu keluar datang ke klinik berhampiran buat saringan dan tidak akan menangkap mereka tetapi ada yang tidak pergi, menyorok. Ada pula yang menipu pada klinik. Rupa-rupanya dah positif. Menggerunkan, seperti yang saya cakap di atas, mereka ini ada yang tinggal 3-4 buah keluarga serumah. Bercampur-campur. Lepas itu bila dah ramai-ramai, ada yang keluar ke kedai, tidakkah bahaya begitu? Oh ya lagi satu, ada satu klinik dibuka khas untu pelarian dan warga asing, ada pelarian yang datang nak check kesihatan, bila bagi ubat mereka marah. Kenapa bagi Panadol ini sahaja? Baik saya pergi klinik kerajaan. Bukan 2-3 kes ya,” katanya.

5) Pendidikan

Ya, mereka menuntut untuk mendapat pendidikan di sekolah kerajaan.

Kata Atika lagi, sekolah swasta yang ada sekarang pun mereka dah timbul banyak masalah.

“Budak perempuannya, masuk sekolah sehingga 11 tahun, 12 tahun dah tak nak sekolah sebab nak kahwin. Ada yang nak pergi sekolah tetapi mak ayah tak bagi. Saya ada mengikuti satu program, buat kelas percuma di surau area rumah mereka. Sediakan keperluan semua, mereka tinggal datang sahaja. Itu pun tak datang, para aktivis terpaksa datang ke rumah jemput anak-anak ini datang belajar.

“Ada pula tu, maknya suruh anaknya bawa adik yang masih baby lagi ke surau sekali. Hakikatnya, mak dia ada di rumah tidak buat apa-apa. Macam mana nak belajar? Pernah saya pergi satu sekolah tu, ayah pelajar datang marah cikgu, padahal salah anak. Dia hasut mak ayah yang lain untuk boikot sekolah. Jika pelarian Rohingya di bawa masuk ke sekolah, bersediakah kita untuk mempunyai bahasa tambahan? Bersediakah sekolah kerajaan untuk menghadapi isu-isu sebegini? Saya fikir ruang kemanusiaan yang diberi kerajaan untuk pelarian ke sekolah yang dibina oleh NGO cukup besar. Mereka masih lagi boleh mendapat pendidikan. Kerajaan tidak pernah menghalang,” katanya.

Bukan rasis

Menurut beliau, isu Rohingya ini bukan isu tidak beperikemanusiaan atau rasis.

“Ada yang kata kami yang menolak Rohingya ini rasis. Kalau pelarian Arab sambut baik. Saya tidak nafikan, pelarian dari negara Arab juga bermasalah tetapi bilangan mereka dengan bilangan pelarian Myanmar jauh ketara berbeza. 154, 080 dari Myanmar, 101 010 darinya adalah daripada etnik Rohingya. Pelarian Arab (Yaman 3680, Syria 3290, Iraq 1270, Palestin 790) Bila digabungkan semuanya ini masih tidak dapat menandingi pelarian etnik Rohingya. Oleh sebab itu, masalah lebih ketara nampak daripada etnik Rohingya.

“Turki, negara yang paling banyak menerima pelarian terutama daripada Syria. Walaupun Turki negara anggota Konvesyen Pelarian 1951, mereka sekarang tidak sanggup lagi menampung pelarian kerana banyak masalah sosial yang timbul. Kes jenayah meningkat. Banyak peminta-peminta sedekah berlegar-legar di kaki lima kedai. Impaknya, memberi imej buruk terhadap sektor pelancongan Turki. Perniagaan di kedai-kedai banyak dimonopoli oleh pelarian. Oleh kerana itu salah satu manisfesto kerajaan pembangkang di Turki adalah untuk mengusir pelarian kerana mereka faham bahawa rakyat Turki tidak dapat lagi menerima masalah yang dibawa oleh pelarian. Erdogan terus mengambil langkah membuka sempadan Turki-Eropah untuk memberi laluan kepada pelarian Syria memasuki Eropah.

“Sekarang ini pelarian etnik Rohingya sudah berada di merata negeri kita. Mereka ini dah selamat keluar daripada Myanmar. Sepatutnya mereka mengikuti undang-undang negara kita tapi demand mereka tinggi sekarang ini. Mereka tidak boleh demand semua perkara,” jelas beliau dalam penulisannya.

Beliau ada juga terima komen menyatakan yang “rakyat kita sendiri pun banyak bermasalah, ramai pengotor, ada yang membunuh, ada yang merogol, ramai menagih dadah dan sebagainya. Kenapa nak beza-bezakan dengan Etnik Rohingya?”

Ini jawab Atika:

“Begini tuan-puan, sebab rakyat kita banyak lagi yang bermasalah lah kita perlu terlebih dahulu mengambil peduli, mengendalikan dan menyelesaikan isu terbabit. Ini, hal dalam negara kita pun masih banyak lagi tidak selesai, kita nak tambah dengan masalah lain yang dibawa oleh orang lain pula?

“Saya hairan kenapa kita nak salahkan Malaysia, sepatutnya kita bersatu memberi tekanan kepada Myanmar kerana ianya berpunca dari sana. Ramai orang Malaysia suruh hantar pelarian dari Myanmar ini balik. Masalahnya sekarang adalah mereka ini memang tidak boleh balik, Myanmar memang tidak terima mereka, menafikan hak kewarganegaraannya. Oleh itu, apa yang kita boleh buat adalah beramai-ramai mendesak Myanmar untuk menghentikan penindasan ke atas etnik ini, memberi hak warganegara, mengambil dan menerima mereka untuk pulang ke Myanmar.

“Profesor di institut saya selalu berkata, segelintir masyarakat Malaysia trend nya suka merendah-rendahkan rakyat sendiri, negara sendiri. Dalam pelbagai isu pun. Negara kita dah banyak buat benda baik. Di OIC, PBB, Malaysia lantang bersuara isu-isu kemanusiaan. Lihatlah dalam isu COVID-19, Malaysia di antara negara yang dianggap mempunyai pengurusan wabak terbaik. Tapi malangnya, segelintir kita tidak bangga dengan apa yang ada pada Malaysia. Kenapa akhirnya Malaysia pula kena tanggung semua ini? Kita perlu ingat bila demand lagi tinggi melebihi supply, sesebuah negara akan collapse,” katanya.

Dalam pada masa sama, Atika tidak menafikan ada lagi etnik Rohingya yang baik dan rajin. Ada juga sebilangan mereka sering diambil kesempatan dengan pihak tidak bertanggungjawab terutama rasuah duit. Walau bagaimanapun, isu etnik Rohingya tidak boleh dilihat dari aspek kemanusiaan semata kerana jika diabaikan akhirnya ia akan memberi impak buruk terhadap keselamatan negara, komuniti, sosial, sosio-ekonomi, kesihatan dan pendidikan Malaysia. Bahkan hakikatnya, isu ini akan memberi kesan balik yang mendalam kepada pelarian Rohingya juga.

“Saya juga merayu kepada kawan-kawan jika kita tidak bersependapat dan membantah Rohingya, jagalah adab berkata-kata dan menulis. Berhujahlah dengan baik tanpa perlu menghina dan memaki hamun.

“Saya lihat ada yang sampai ugut nak merogol dan membunuh Tengku Emma. Tuan-Puan, tidak bersetuju bukan lesen untuk kita menyatakan apa sahaja yang melampaui batas,” pesannya.

Nah… jelas sedikit isu tentang Rohingya ini bukan. Apa peranan anda sebagai warga negara pula?

Tepuk dada, tanya selera. -AG #PastiAdaSinar