Jangan ‘judge’ orang dari segi luaran, kena kenal isi hati dulu. Cantik tak semesti rujuk rupa paras saja

CANTIK itu subjektif. Itu lontaran pandangan sesetengah pihak apabila ditanya apa erti kecantikan pada diri seseorang.

Sebenarnya, tafsiran cantik itu terlalu meluas dan ia berbeza-beza mengikut pemahaman dan juga pendirian masing-masing.

Bagi Dr Soo Wincci, cantik merupakan satu pakej lengkap yang bukan sahaja dinilai pada luaran seseorang, bahkan dalaman mereka.

Ada yang berpendapat kecantikan hanya perlu dinilai pada luaran sahaja. Orang jenis begitu biasanya cepat tertawan dengan pembawaan diri seseorang.

Saya juga selalu membaca pernyataan dan mendengar bahawa seorang wanita yang cantik jelita dikhususkan kepada insan yang memiliki badan kurus dan berkulit putih. Individu yang berisi dan berkulit gelap, dinafikan kejelitaan mereka.

Sebenarnya, saya tidak berapa berkenan dengan persepsi sempit masyarakat itu. Mengapa kita tidak mensyukuri anugerah dan nikmat pemberian TUHAN?

Baca ni Rahsia cantik & sihat dengan jus kunyit, wanita ini kongsi resipi remedi turun-temurun yang mudah tapi berkesan

Kita semua tahu, setiap orang dilahirkan dengan keistimewaan masing-masing. Jadi, setiap daripada kita mahupun mana-mana kaum atau bangsa di seantero dunia memiliki sisi kejelitaan tersendiri.

Pun demikian, sesetengah masyarakat nampak lebih matang. Mereka melihat cantik adalah bergantung kepada kebijaksanaan dan akhlak seseorang.

Kalau anda tanya saya apa itu cantik, jawapan saya mudah. Cantik merupakan satu pakej lengkap yang bukan sahaja dinilai pada luaran seseorang, bahkan dalaman mereka.

Dalaman yang saya maksudkan adalah ketinggian budi bahasa, ilmu dan pengalaman yang direntas oleh individu tersebut.

Bercerita soal itu juga, saya tak nafikan ramai yang sanggup korbankan banyak perkara demi memperoleh penampilan yang menarik.

Hal tersebut mungkin didorong dengan perkembangan media sosial yang memberi pengaruh besar kepada kaum Hawa.

Golongan berkenaan dilihat gemar menonjolkan kecantikan diri di alam maya. Sementelah kini, sudah muncul trend suka membandingkan kecantikan di antara orang ini dan orang itu.

Gambar sumber Pexels

Baca ni Umur lebih 50 tahun tapi belum tumbuh uban, rahsianya guna daun kari dengan yogurt je. Rambut pun hitam berkilat!

Situasi sedemikian secara tidak langsung menyebabkan para wanita semakin ekstrem sehinggakan ada yang sanggup membuat pelbagai ‘benda gila’ semata-mata untuk meraih perhatian. Memang menakutkan!

Bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia, pusat kecantikan tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Apabila wujud kemudahan seumpama itu, wujudlah kumpulan wanita yang sanggup melakukan pembedahan dan suntikan yang merbahaya semata-mata mahu tampak menawan. Natijahnya, timbul kesan sampingan yang memudaratkan diri sendiri.

Tidak cukup dengan itu, lambakan produk seperti jamu, pil-pil dan cecair yang kononnya boleh menjadikan kulit putih secara pantas telah membuatkan ramai terpesona.

Itu satu hal. Namun yang paling dikesali, muncullah pakar-pakar tidak bertaliah dan klinik-klinik tidak berdaftar.

Matlamat mereka semestinya mengejar keuntungan. Mereka tidak kisah apa implikasi atau risiko yang dihadapi oleh pelanggan. Janji duit mereka ‘sapu’ dulu.

Contoh yang paling nyata dan sememangnya digemari ramai adalah suntikan vitamin C.

Kena ingat, ia mempunyai takat dos tertentu, bukan boleh ‘main suntik’ sahaja.

Baca lagi ‘Obses dengan duit dan mahu cepat jadi kaya.’ Cik Puan Gojes tak kisah apa orang nak kata 

Namun, apa yang selalu terjadi, apabila berurusan dengan bukan pakar, suntikan berlebihan kerap terjadi. Kesannya, buah pinggang terjejas teruk dan ada yang wajahnya berubah menjadi lebih teruk.

Terkini, saya lihat ramai yang tertarik dengan pembedahan kosmetik iaitu bariatik yang semakin popular masa kini. Kononnya, ia boleh menurunkan berat badan secara drastik.

Namun, apa yang saya faham, fungsi sebenar pembedahan bariatrik adalah salah satu prosedur mengatasi masalah obesiti, sekali gus memberi manfaat kepada tahap kesihatan seseorang.

Baca ni ‘Menu simple, nasi tetap makan.’ Maintain cantik bergaya walau punya anak ramai, ini rupanya rahsia adik Che Ta tampil langsing

DIET KENTANG

Sejujurnya, saya sendiri pernah mengalami masalah berat badan. Pelbagai cara saya amalkan termasuklah kaedah yang sedikit gila semata-mata mahu mengurangkan berat badan.

Pun begitu, saya akui, cara demikian bukan sahaja memudaratkan kesihatan, malah meninggalkan kesan sampingan yang negatif ke atas diri saya.

Disebabkan itu, saya mengambil langkah yang natural dan sederhana. Apa yang saya lakukan adalah mengamalkan diet kentang.

Iklan

Caranya, saya makan kentang selama tiga hari untuk setiap hidangan.

soo wincci

Baca ni Singkirkan lemak & kulit lebih glowing dengan dua bahan ni. Ibu hamil pun boleh amalkan sebagai suplemen!

Kaedah tersebut bersesuaian dengan saya kerana ia membantu menurunkan berat saya 1 kilogram (kg) pada setiap hari.

Kalau mahu dicongak kembali, saya telah praktikkannya sejak wabak Covid-19 melanda sebelum ini. Ia bukan sahaja murah, malah senang diamalkan.

Bagi menjaga kecantikan kulit pula, saya lebih suka buat sendiri masker wajah dengan menggunakan bahan di dapur seperti oat, telur, limau dan lain-lain.

Justeru, saya ingin menasihati kaum wanita di luar sana, usah terlalu fanatik sehingga sanggup menghabiskan wang ringgit dek kerana terlalu taasub untuk elok sempurna.

Ya, bukan sahaja cantik pada kulit wajah dan badan, pakaian yang disarung juga memainkan peranan.

Dalam hal begitu, bagi saya, pepatah alah membeli menang memakai tidak lagi sesuai dikaitkan dengan situasi ini.

Sebaliknya, bijak membeli, senang hati memakai. Tak semestinya murah, seseorang tidak akan nampak elegan. Janji anda kreatif dan bijak memilih mengikut kesesuaian penampilan diri.

Iklan

Dari satu sisi, saya berharap jangan memandang soal kecantikan ini daripada sudut negatif semata-mata.

Ada banyak lagi kelebihan dan kebaikan di sebalik perilaku obses mahu cantik.

Menariknya apabila memiliki sifat tersebut, ia akan membuatkan seseorang menjadi lebih yakin dan prihatin kepada diri sendiri.

Malah, penampilan yang menarik akan membantu seseorang membina kredibiliti teutama berhadapan dengan orang ramai.

Baca lagi Guna kaedah fertigasi dan polibeg, lelaki ini kongsi cara tanam golden melon di rumah, tetap subur dan hasilnya menjadi!

Secara kesimpulannya, kecantikan atau kejelitaan haruslah tidak membebankan mahupun memudaratkan.

Paling penting bagi saya, perkara yang boleh menjadikan seseorang lebih sempurna seandainya mereka memiliki ilmu yang kemudian dimanfaatkan kepada orang lain.

Selain itu, mempunyai ketinggian budi bahasa, kesopanan, adab dan tatatusila. Dengan semua ciri berkenaan, aura cantik lebih terpancar dan terserlah.

Ingat, jangan terlalu ghairah sehingga menyimpang dari landasan sebenar. Kelak memakan diri. Berpada-padalah dalam memilih cara kita untuk tampil cantik.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi