KUATNYA semangat dia… Perempuan, umur baru 18 tahun, bermalam seorang diri di dalam hutan, di atas pokok lagi.

Itu semangat yang ditunjukkan Veveonah Mosibin, penuntut jurusan Asasi Sains, Universiti Malaysia Sabah (UMS) berasal dari Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah yang viral baru-baru ini.

Apa tidaknya, kisahnya yang berdepan masalah liputan jalur lebar, namun tidak mematahkan semangatnya dengan sanggup tidur di atas pokok semata-mata untuk menjalani peperiksaan secara dalam talian menyentuh hati ramai pihak.

Veveonah dipaparkan terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet yang ‘kuat’ sepanjang peperiksaan (dalam talian) berlangsung pada 9 Jun lalu.

Video pengalaman dilalui dimuatnaik olehnya menerusi saluran YouTube miliknya dengan tajuk 24 Hours On Tree | Challenge (Cabaran 24 jam atas pokok) berdurasi 11 minit 21 saat itu turut mengundang respons ramai pihak.

Semalam, pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pitas antara yang turun padang melawat kampung adik Veveonah.

“Terbaik semangat adik Veveonah dalam menghadapi situasi menjawab peperiksaan secara atas talian dalam keadaan kawasan yang tidak kuat capaian Internet.

Iklan

“Semoga adik Veveonah akan terus cemerlang dan bersemangat,” kongsi PPD Pitas di Facebooknya.

PPD Pitas ketika melawat Veveonah bersama ibunya semalam dan laporan kisah gadis ini sebelumnya.

Seperti harapan ramai warganet di luar sana, SinarPlus juga mendoakan Veveonah terus cemerlang dalam mencapai cita-cita.

Iklan

Moga lebih ramai pihak yang prihatin dengan kekangan dilaluinya, begitu juga penuntut yang berdepan cabaran sepertinya.

Apa yang penting buat adik-adik di luar sana, lihatlah semangat beliau. Moga memberi inspirasi untuk berjaya! -AG #janganputusasamalaysia