SESIAPA yang sudah membina mahligai perkahwinan pasti mendambakan cahaya mata.

Namun, sekiranya impian itu dimakbulkan, tetapi anak yang dilahirkan itu cacat atau dengan kata lebih mudah, sindrom Down, apa refleks mereka? Adakah wujud perasaan reda atau sebaliknya?

Kepada SinarPlus, Siti Hashima Husin, 28, berkata, beliau adalah daripada puluhan ribu atau mungkin jutaan ibu di dunia yang memiliki anak yang dari segi fizikal tidak sempurna, namun berjiwa besar.

Untuk menolak anak kurniaan ILAHI begitu sahaja, kata wanita berkenan, sudah tentu bukan pilihannya, malah beliau sangat bersyukur. Jujur katanya, kehadiran Muhammad Izz Hakim Idham Hafize atau Hakim yang kini sudah berusia lima tahun bagaikan satu anugerah yang tidak terhingga.

Muhammad Izz Hakim Idham Hafize.

“Dialah anak syurga kesayangan saya, harapan saya adalah mahu terus mendidik dan memastikan anak sulung saya ini menjadi insan yang disayangi dan mendapat penjagaan serta pendidikan sempurna seperti kanak-kanak lain,” kata doktor gigi itu yang bertugas di Klinik Pergigian Izznara Mergong, Alor Setar, Kedah.

Selaku pengamal perubatan, Siti Hashima berkata, beliau banyak kali menemui kes ibu bapa yang malu mengaku memiliki anak yang tidak sempurna.

“Saya tak faham mengapa stigma itu boleh muncul kerana bagi saya, anak seperti itu sangat luar biasa dan saya bangga dengan dirinya,” getusnya.

Kalis cabaran

Berbicara dengan wanita itu memang amat menyenangkan. Cara beliau bercerita tentang Hakim menunjukkan sisi beliau sebagai ibu yang baik dan penyabar. Katanya kepada penulis, anak emasnya itu mempunyai karakter humor yang semula jadi.

“Saya akui, setiap kali rasa nak marah kerana Hakim mengusik adiknya, mesti situasi itu akan berakhir dengan gelak tawa.

“Hakim sangat istimewa dan manja orangnya. Saya langsung tidak pernah memarahinya. Kalau saya cuba marah, beliau akan tersenyum dan memandang dengan jelingan yang sangat tidak boleh digambarkan sehingga saya dan suami membatalkan niat asal tersebut,” kata ibu kepada dua orang anak itu.

Pada masa sama, kata pengamal perubatan itu lagi, tidak sukar untuk menjaga permata hatinya itu.

“Bagi saya, tidak terlalu sukar menjaga Hakim kerana paling mencabar hanya untuk mengajarnya ke tandas sahaja, namun secara keseluruhannya Hakim anak yang bijak,” katanya berterus-terang.

Kalau diikutkan usia, si cilik itu sudah boleh ke sekolah khas. Hal tersebut diakui oleh wanita itu dan beliau sendiri membuka ruang seluas-luasnya untuk Hakim terdedah dengan alam persekolahan.

“Saya sangat tak sangka beliau sangat cepat menyesuaikan diri dengan guru-guru dan rakan di sana, kami sekeluarga sangat bersyukur,” luah wanita hebat tersebut.

Di sebalik semua itu, SinarPlus beranikan diri untuk bertanyakan tentang kemungkinan susur-galur keluarganya yang berkemungkinan menyumbang kepada keadaan Hakim sekarang.

Siti Hashima ringkas memberi jawapan: “Tidak ada. Saya akur dengan segala ketentuan ALLAH. Sebenarnya, macam-macam orang kaitkan dengan sindrom Down. Saya secara jujurnya tidak salahkan sesiapa kerana kadangkala masyarakat kita kurang membaca atau mudah menjatuhkan hukum untuk sesuatu perkara.

“Bagaimanapun, stigma dan pandangan masyarakat tidak semudah yang disangkakan kerana setiap pasangan yang mempunyai anak sindrom Down diuji dengan cara yang berbeza-beza.”

Pernahkah merentas pengalaman dicemuh oleh orang sekeliling lantaran dikurniakan anak yang unik itu? Siti Hashima terdiam seketika mendengarkan lontaran soalan itu, namun kemudian beliau membuka mulut.

“Ya, ada. Peristiwa itu berlaku selepas saya habis solat dan ketika itu hakim berada dengan saya. Seorang hamba ALLAH kemudian terus berkata: ‘Doktor, bagusnya Hakim, doktor solat, Hakim tak merengek pun walau tengah sakit. Sebelah kaki doktor sudah berada di syurga, untung doktor,” imbau wanita itu.

Sesungguhnya, pernyataan itu tidak salah, namun sebagai manusia biasa, Siti Hashima berkata, hatinya terusik.

“Saya kemudian memujuk hati saya sendiri. Saya beritahu pada diri saya, biarlah pandangan orang terhadap saya berbeza-beza, asalkan pandangan ALLAH tidak pernah hilang,” katanya.

Istimewa Amanee

Iklan

Seorang lagi ibu tabah yang berjaya SinarPlus jejaki ialah Marzlinda Ariffin, 53, yang kini menjaga anak sindrom Down, Amanee Amran yang sudah meningkat remaja. Kata Marzlinda, Amanee, 16, merupakan hadiah terhebat oleh ALLAH kepada mereka sekeluarga.

Amanee Amran.

“Anak bongsu saya Amanee kini menjadi kesayangan semua orang. Beliau seorang yang sangat manja dan berdikari,” katanya yang bangga dengan kehadiran anak istimewa itu dalam hidupnya.

Menceritakan keadaan gadis itu sebelum ini, wanita itu berkata, ketika masih bayi, jantung Amanee berlubang. Keadaan itu pulih, namun beliau harus kerap membawa si cilik itu ke hospital untuk pemeriksaan.

“Amanee juga mengalami masalah pendengaran iaitu hanya telinga kanannya sahaja dapat berfungsi dengan baik,” kata pegawai bank itu ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Ketika masih budak juga, Amanee sukar untuk berjalan, namun hari demi hari, prestasinya semakin baik kerana selalu diberi dorongan oleh kakak-kakaknya dan ahli keluarga yang lain.

Ujar Marzlinda, kini Amanee sedang menerima pendidikan di sebuah sekolah khas di sekitar Cheras.

Iklan

“Alhamdulillah, semakin menginjak dewasa, Amanee semakin ceria dan sangat disenangi. Kadang-kadang beliau sendiri nak ikut kanak-kakaknya berniaga popia bergedil dan membuat perhidmatan penghantaran di Ampang, Bangi dan Cheras,” katanya yang tidak mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai keturunan sindrom Down.

Berjiwa besar

Mengenai perihal pemakanan, kata Marzlinda, zuriatnya itu bukanlah seorang yang cerewet, tetapi bergantung kepada mood gadis itu.

“Kadangkala saya rasa Amanee suka akan makanan itu, tetapi jika tidak memenuhi kehendaknya beliau tidak mahu makan.

“Apa-apapun, ayam dan bihun menjadi makanan kegemarannya. Beliau tidak pernah menolak apabila disajikan menu itu,” beritahunya.

Mengakui Amanee hanya boleh mengeluarkan hanya dua ke tiga perkataan sahaja ketika bercakap, wanita itu tetap berbangga dengan sikap anaknya yang sangat rajin menolongnya di rumah seperti melipat pakaian dan mengelap lantai.

“Alhamdulillah, Amanee seorang anak yang memiliki personaliti dan tingkah laku yang membahagiakan semua orang. Saya juga tidak risau lagi kerana Amanee sudah boleh mengurus diri termasuklah semasa datang haid.

“Saya berharap anak kesayangan saya ini akan terus berdikari sampai bila-bila agar dirinya tidak menyusahkan waris yang bakal menjaganya pada masa akan datang apabila saya sudah tiada nanti,” luah Marzlinda.

Sesungguhnya, sama ada Siti Hashimah dan Marzlinda, kedua-duanya merupakan ibu hebat kerana tabah membesarkan amanah Allah SWT itu dengan sebaiknya walaupun berdepan pelbagai kesukaran. Mereka juga kalis cabaran dan tidak pernah kisah dengan perspektif negatif masyarakat.